Saturday, October 28, 2006

KEBAL ZAKARIA AKHIRNYA TEWAS JUGA

Kontroversi Datuk Zakaria Md Deros, ADUN Pelabuhan Klang akhirnya terjawab apabila Sultan Selangor menasihati beliau agar melepaskan jawatan sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Klang. Teguran Baginda seharusnya diambil tindakan serius oleh ahli politik dan pemimpin masyarakat di Selangor supaya melaksanakan tanggungjawab, menggunakan kuasa dengan betul dan mengikut undang-undang.

Teguran Sultan Selangor itu menggambarkan rakyat sudah prihatin dan peka terhadap pemimpin mereka sehinggakan ada yang membuat aduan terus kepada sultan. Selepas ini pemimpin masyarakat, wakil rakyat dan ahli politik di Selangor haruslah ikhlas dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Kes Zakaria adalah contoh dan pengajaran kepada wakil rakyat dan ahli majlis yang sedang berkhidmat agar menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat dalam melaksanakan tugas. Kepentingan peribadi wajib dipinggirkan dalam menjalankan tugas.

Saya pasti banyak lagi aduan yang diterima oleh baginda dari rakyat Selangor. Mungkin masalah Zakaria ini adalah yang paling utama setakat ini sehinggakan baginda memanggil mengadap Zakaria ke istana.

Cuma yang agak menghairankan mengapakah perlu menunggu sultan memanggil Zakaria untuk "mengesahkan" salah laku yang dilakukan oleh Zakaria?. Apakah kerajaan negeri tidak ada kuasa atau "kebalkah" Zakaria sehingga arahan istana perlu dikeluarkan terlebih dahulu untuk dilaksanakan oleh pentadbiran negeri?.

Dikalangan penduduk bandar Klang, peristiwa Zakaria dipanggil sultan merupakan topik utama perbualan di mana-mana sahaja. Sehinggakan ada yang berseloroh "Sultan Selangor marah kepada 'Raja Klang'".

Imuniti dan kekebalan Zakaria di Klang bukannya menjadi rahsia sejak dari dulu lagi. Kuatnya Zakaria sehinggakan tiada siapa berani menegurnya. Rakyat sungguh hairan kerana kesalahan yang dilakukan sudah jelas tetapi masih tiada tindakan yang dilakukan oleh MPK mahupun kerajaan negeri. Jika Zakaria bukan seorang Datuk, bukan seorang ahli majlis, bukan seorang ketua bahagian dan bukan seorang ADUN, sudah pasti "istana" di Kampung Idaman sudah diambil tindakan dan mungkin sudah dirobohkan kerana tiada kelulusan pelan.

Jelas menunjukkan adanya pilih kasih dalam menguatkuasakan undang-undang. Itulah disebabkan kekebalan ahli politik, maka rakyat kini mengadu hal terus kepada sultan. Hendak mengadu kepada MPK, susah kerana "kawalan" Zakaria kuat di situ. Hendak mengadu kepada Menteri Besar Selangor, beliaupun ahli politik yang lebih kurang sama sahaja dengan Zakaria. Pilihan yang tepat, mengadu kepada Sultan Selangor.

Teguran Sultan Selangor mengenai seseorang itu perlu menginsafi dirinya dan bersyukur terhadap rahmat dan nikmat yang telah dianugerahkan sehingga mendapat gelaran Datuk dan bergelar YB, perlu direnungi demi kebaikan diri kita sendiri.

Pendedahan oleh sultan tentang Zakaria yang bersikap angkuh, kasar dan telah banyak menyakiti hati rakyat jelata dengan menggunakan kuasa yang dipertanggungjawabkan kepada beliau, hasil aduan dan makluman yang diterima oleh baginda dari orang ramai, amat mengejutkan. Lebih pedas lagi baginda menegur Zakaria supaya bersikap sopan santun dan berbudi bahasa seperti seorang Melayu. Bagi rakyat biasa teguran tersebut juga ditujukan kepada semua pemimpin di negeri Selangor.

Pentadbiran kerajaan negeri perlulah memberikan kursus khas kepada semua pemimpin masyarakat termasuk wakil rakyat seperti kursus berbentuk komunikasi dan cara berurusan dengan orang ramai. Mungkin juga patut diberikan kursus berbudi bahasa dan bersopan santun seperti kempen kerajaan pusat sekarang.

Zakaria adalah contoh jelas dan nyata terdapatnya segelintir wakil rakyat yang lebih mementingkan soal peribadi dan keluarga demi mengejar kekayaan dan kemewahan dengan meggunakan kuasa yang ada. Tingkah laku yang baik juga amat dituntut oleh rakyat terutamanya pengundi setempat.

Harapan rakyat amat besar jika kerajaan selepas pada ini betul-betul menapis dan menyelidik latar belakang seseorang sebelum dilantik menjadi ahli majlis mahupun sebagai calon Barisan Nasional. Mungkin penampilan seseorang itu apabila betemu dengan pemimpin atasan adalah baik dan tertib, tetapi amat berbeza sekali apabila berdepan dengan orang ramai.

Iktibar daripada kes Zakaria ini diharap dapat diambil dengan bersungguh-sungguh oleh rakan-rakan politiknya agar rakyat tidak memberikan "undi protes" semasa pilihan raya nanti. Jika ini berlaku, ia amat malang kepada BN dan UMNO.

Rakyat percaya masih ada lagi aduan mengenai wakil rakyat dan pemimpin lain yang diterima oleh Sultan Selangor. UMNO Selangor perlu juga mengadakan post mortem terhadap prestasi terkini wakil rakyatnya. Biarlah teguran sultan itu menjadi pedoman untuk menjadi seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat dan mengenepikan soal peribadi dan mencari kesenangan.

Sebagai pemimpin, sewajarnya menunjukkan kepimpinan melalui teladan supaya menjadi ikutan rakyat bawahan. Tetapi apabila pemimpin mengamalkan melanggar undang-undang, bagaimana pula hendak menegur rakyat yang melanggar undang-undang?.

Akta Bangunan, Parit dan Saliran 1974 amat penting di sesuatu pihak berkuasa tempatan (PBT). MPK dan kerajaan negeri pasti menghadapi masalah selepas ini untuk melaksanakan akta berkenaan terhadap orang ramai selagi kes "istana" Zakaria tidak diselesaikan dan diambil tindakan. Rakyat mahu tahu sejauh mana akta tersebut dilaksanakan terhadap Zakaria. Amat tidak adil jika tambahan dapur yang kecil di sebuah rumah murah dikenakan tindakan maksimum kerana tidak menyerahkan pelan ubahsuai, tetapi sebuah "istana" boleh didirikan juga tanpa pelan bangunan yang diluluskan.

No comments: