Thursday, October 05, 2006

KUAN YEW TUNJUK BELANG CARA DIPLOMASI SAMSENG



Yang tersurat dan tersirat telah jelas dan nyata sekarang ini. Surat Lee Kuan Yew sebenarnya lebih kepada penonjolan karisma beliau yang bongkak dan tidak akan mudah mengaku kalah terutamanya dalam hubungan antara dua negara. Kita di sini masih sibuk dengan ketidakpuasan di hati ekoran penjelasan bertulis Kuan Yew. Pada masyarakat di Singapura terutama pihak medianya, cerita surat Kuan Yew ini begitu kecil pada mereka. Mungkin kerana pada mereka tiada apa yang bersangkut paut dengan aktiviti harian mereka. Akhbar Singapura sedang sibuk dengan cerita jerebu.

Kuan Yew yang dikenali dengan panggilan MM (Mentor Minister) oleh pihak media Singapura lebih bersifat kepada keangkuhan dan ingin menunjukkan kemenangan dan kebenaran apa yang diperkatakan olehnya dalam kemelut orang Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik. Seolah-olah beliau telah menyatakan 'kemenangan' terhadap isu yang timbul.

"Kemenangan" pada beliau jelas dilihat pada empat perkara yang terkandung di dalam surat balas beliau kepada Perdana Menteri.

1. Kuan Yew seperti mengistiharkan kemenangan negaranya dalam isu jambatan indah dan mendedahkan Malaysia belum bersedia untuk ke Mahkamah Antarabangsa dalam isu tersebut.

2. Beliau mengesahkan dengan nyata hubungan `Singapura dan Malaysia amat buruk semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

3. Kuan Yew dengan lantangnya menuduh orang Melayu Malaysia terutama UMNO tidak ikhlas di dalam memperjuangkan hak keistimewaan dan kedudukan orang Melayu Singapura.

4. Mengapa perlu ada nota kaki selepas tandatangan beliau?. Seolah-olah ada perkara lagi yang tertinggal dan masih belum selesai. Jelas beliau tidak jujur dalam menjawab surat Pak Lah dengan menegaskan beliau akan "..I will have to release my letter to the media after you have received it".

Surat balasan beliau jelas dan nyata sebenarnya apa yang masih terbuku dan tersemat di hatinya. Kuan Yew sememangnya dikenali senagai seorang arkitek idealogi dan perangka strategi yang hebat. Amat sukar untuk mengalahkan beliau apabila membicarakan soal maruah, hubungan antara negara dan etnik. Beliau sememangnya terkenal dengan sifat licik dan berbelit-belit dalam memberikan kenyataan.

Yang pasti isi kandungan surat beliau sebenarnya bukannya ditujukan khas kepada Pak Lah, tetapi kepada seluruh masyarakat dunia untuk dihebahkan bahawa beliau memang hebat dan tidak mudah dipatahkan kata-katanya. Beliau ingin semua orang tahu apa sebenarnya kemelut yang sering melanda antara dua negara ini. apa perlu mengungkitkan kembali isu lama yang kita jangkakan sudah selesai.

Seolah-olah beliau ingin mengajar kita bagaimana untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan negaranya. Bongkaknya terserlah apabila menjelaskan jika hendak bekerjasama dengan Singapura boleh, tiada masalah, tetapi apa habuan dan faedah yang Singapura dapat?.

Lebih ketara lagi untuk mengklasifikasikan beliau ini sebagai pencetus masalah ialah kenyataan beliau yang seolah-olah ingin melaga-lagakan corak pentadbiran zaman Dr Mahathir dan Pak Lah. Tentu ada muslihat yang tersendiri apabila beliau "mengutuk" hubungan tidak erat kerajaannya semasa era Dr Mahathir dan dalam masa yang sama "menyanjung" prinsip hubungan diplomatik kerajaan pimpinan Pak Lah dengan negaranya.

Apakah beliau ingin mencetuskan pergeseran yang lebih hebat lagi antara Pak Lah dan Dr Mahathir dengan terang-terangan beliau pro kepada Pak Lah dan kontra kepada Dr Mahathir?. Apakah beliau berperanan utama dalam pergeseran pendapat dua pemimpin kita ini?.

Jelas sifat beliau sebagai batu api masih tidak padam lagi sejak tahun 50-an lagi. Beliau yang cukup terkenal dalam permainan kutuk mengutuk, ungkit mengungkit dan pencetus bara kemarahan antara kaum, masih belum hilang lagi sifat buruknya walaupun umur sudah menjelang senja.

Kegemaran beliau bermain api sememangnya menguntungkan karier politiknya kerana kaum sejenisnya akan memihak kepadanya dan kaum yang dicemuh akan menentangnya. Gaya inilah yang membolehkan beliau dapat bertahan dalam politik dan menjadi "Raja" di Singapura.

Jika kita menyahut cabarannya yang secara tidak langsung itu, apakah mengugat keamanan serantau?. Contohnya kita menjanakan seluruh tenaga dan kekuatan yang ada memajukan Melayu Singapura kerana Kuan Yew seolah-olah mencabar kita membantu 'adik kandung' kita di seberang Tambak Johor. Akan tetapi itulah cara diplomasi Kuan Yew. Yang pastinya halangan antara negara menjadikan amat mustahil UMNO boleh membantu ekonomi Melayu Singapura. Jelas cerdik Kuan Yew yang provokasi kita tetapi beliau sendiri telah tahu apa jawapannya. Beliau sangat gemar menjerang air yang sudah suam menjadi panas menggelegak semula.

Sebenar-benarnya isi kandungan surat Kuan Yew kepada Pak Lah adalah pada nota kaki di akhir surat tersebut. Itulah hasrat dan niat buruknya. Tergambar sudah sifat berpura-pura baik dan dalam pada itu memalukan kita dengan cara ala samseng berdiplomasi umpamanya sebegini kata Kuan Yew.."jika kau dah beritahu semua orang surat yang kau hantar kepada aku, sekarang aku hebahkan kepada semua orang termasuk media apa isi kandungan surat aku kepada kau. Biar semua orang tahu".




No comments: