Thursday, October 05, 2006

JEREBU MENJADI SINDIRAN AKHBAR INDONESIA


Jerebu yang mula melanda negeri-negeri di Semenanjung telah mula menampakkan semakin teruk. Bermula di Sarawak, akibat tiupan angin, jerebu kini melanda beberapa tempat seperti Seremban, Nilai, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Malah cerapan oleh Jabatan Kaji Cuaca menunjukkan API Indeks di beberapa kawasan di Semenanjung mula melebihi indeks 100. Walaubagaimanapun indeks di beberapa bandar di Sarawak masih di takat melebihi indeks 150.
Cerita lama seperti beberapa tahun lepas kini berulang. Dakwaan beberapa pihak di Indonesia menyalahkan pihak syarikat milik Malaysia yang menjalankan aktiviti perladangan di Kalimantan sebagai punca jerebu hasil pembakaran terbuka ladang-ladang milik syarikat Malaysia yang beribu-ribu hektar luasnya.
Beberapa akhbar di Indonesia telah melaporkan perkara yang sama beberapa hari yang lepas. Mereka seolah menyalahkan rakyat Malaysia yang menyebabkan keadaan jerebu kembali menjelma. Malah ada akhbar di Indonesia secara humornya berkata malapetaka yang melanda Sarawak adalah akibat perbuatan rakyatnya sendiri yang berladang di Kalimantan.
Sindiran, perli dan berita berunsur sinis dan seolah-olah mengejek jelas ketara pada hari ini, Khamis 5 Oktober 2006. Akhbar Jawa Pos Dan Indo Pos pada hari ini menyiarkan berita utama di muka depan beserta dengan gambar yang seolah-olah menyindir kerajaan kita. Gambar tersebut (seperti di atas) adalah gambar yang menunjukkan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya diselaputi oleh jerebu, dengan ayat seperti berikut "KOMPLEKS PUTRAJAYA : Kantor PM Malaysia terlihat samar akibat tebalnya asap dari kebakaran hutan kelmarin. (www.jawapos.co.id)
Lebih sinis lagi berita di Jawa Pos menggunakan tajuk "ASAP KEPUNG KANTOR PM MALAYSIA". Mengapa boleh terjadi sindiran sebegini?. Mungkinkah pihak media di Indonesia masih marah kesan jerebu diakibatkan oleh peladang dan pembalak dari Malaysia?. Jika benar jerebu disebabkan peri laku rakyat Malaysia, saya rasa tidak salah jika kerajaan Indonesia mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
Persoalannya fenomena sebegini berlaku setiap tahun yang sudah sedekad lamanya. Mungkin disebabkan itu media di Indonesia mula menyindir kerajaan kita dengan dipaparkan bangunan pentadbiran Perdana Menteri diliputi jerebu.
Cuma saya berpendapat agak keterlaluan mengaitkan masalah jerebu ini dengan penyiaran gambar pejabat Perdana Menteri diselubungi jerebu sebagai berita utama muka depan akhbar Jawa Pos dan Indo Pos. Memang itu hak mereka untuk menerbitkan apa sahaja berita yang mereka rasa sesuai kerana media Indonesia sememangnya terkenal dengan sikap keterbukaan dan bebas memberikan pendapat dan penyiaran.

No comments: