(Artikel ini telah disiarkan oleh Buletin Utama TV3 jam 8 malam 17 Oktober 2006 yang lalu dengan nama Shaiful Bahri Saidin. Ianya menjadi tajuk utama berita pada malam itu. Terima kasih TV3)
Sebenarnya ianya satu amaran yang cukup keras daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika sidang akhbar sebaik sahaja tiba dari mengerjakan umrah. Mungkin ada hikmah dan petunjuk yang Allah berikan kepada Pak Lah dengan melontarkan amaran yang bagi saya cukup keras.
Amaran Pak Lah bukan sahaja ditujukan kepada Presiden Gerakan yang akan bersara, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, mahupun kepada Pemuda MCA yang menimbulkan isu yang sama iaitu tidak puas hati pencapaian bumiputera dalam ekuiti ekonomi negara seperti yang dinyatakan oleh Unit Perancang Ekonomi(EPU), malah ianya meluas kepada sesiapa sahaja yang ingin menimbulkan kekacauan di negara ini.
Malah Lim juga mempertikaikan cara dan kaedah kajian yang dibuat oleh EPU yang memberi petunjuk ekuiti bumiputera ialah 18.9 peratus dalam sektor ekonomi negara. Seolah-olah Lim terlupa bahawa beliau boleh menghubungi terus EPU untuk mendapatkan penjelasan kerana beliau seorang menteri kabinet.
Nampak sangat sekarang ini sudah ada trend baru dalam arena politik negara di mana parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri yang mempertikaikan hasil kerja kerajaan yang mereka sendiri menganggotainya. Dahulu suara-suara sebegini hanya dilontarkan oleh pembangkang terutamanya DAP. Apakah mereka mengambil kesempatan dan manfaatkan sepenuhnya dalam agenda politik mereka apabila Pak Lah pada awal menjadi Perdana Menteri menggalakkan sifat keterbukaan dan boleh menegur terhadap kerajaan?.
Ditambah pula dengan sindrom sindir menyindir dan tuduh menuduh oleh sebahagian ahli parti komponen BN sudah agak keterlaluan kebelakangan ini. Amaran Pak Lah harus diterjemahkan segera oleh parti komponen BN terutamanya UMNO, Gerakan dan MCA agar gaya pengucapan sebegini dihentikan segera. Ada pemimpin parti MCA mendakwa orang UMNO yang memulakan dahulu corak serangan secara sindiran ini.
Gerakan dan MCA seharusnya menggunakan saluran yang betul dalam mengutarakan sesuatu ketidakpuasan dan masalah yang berbangkit. Hairan juga kerana Lim seorang menteri kabinet boleh menegur EPU dan membangkitkan ketidakpuasan fakta dan angka sedangkan saluran yang betul adalah di mesyuarat mingguan jemaah kabinet negara. Apakah Gerakan ingin mencari pengaruh dan populariti dari pengundi Cina supaya menyokong mereka berbanding dengan MCA dan DAP?.
Jika ingin menambat hati kaum Cina dengan penonjolan sebagai jaguh isu-isu nasional bukannya dengan mengungkitkan hubungan antara kaum dan hak keistimewaan orang Melayu. Malah sindirian yang tajam dari Lim dengan mengatakan orang Melayu masih tidak berpuas hati dalam apa yang ada, orang Cina sudah bosan dengan pengorbanan yang telah diberikan dan orang India langsung tidak dapat apa-apa, amat merbahaya sekali.
Kenyataan Lim seolah-olah Gerakan bukan dalam BN dan ada mirip cakap-cakap politik seperti tahun 1969 pula (ketika itu Gerakan sebagai pembangkang). Apakah tujuan dan tersirat disebalik kenyataan Lim yang sebegini rupa?.
Nada Pak Lah dengan kata-kata,"Kalau niat nak buat kacau, tengoklah apa nak jadi. Nak tanya, tanya dengan baik", jelas menunjukkan ketegasan Pak Lah supaya kenyataan memburukkan kerajaan dan provokasi isu kaum amat serius. Banyak saluran yang terhidang di depan mata Lim untuk diserahkan kepada kerajaan jika beliau tidak berpuas hati dengan beberapa perkara.
Terfikir juga apakah kenyataan Lim itu berbentuk serang balas kepada UMNO apabila menimbulkan soal ekonomi dan terpinggirnya orang Melayu di Pulau Pinang? Jika benar, ianya sungguh tidak profesional dan matang dalam berpolitik bagi seorang vateran politik seperti Lim.
Kepada ahli politik terutamanya parti komponen BN, janganlah mengambil kesempatan di atas sikap toleransi dan keterbukaan Pak Lah untuk meraih simpati dan sokongan politik kepada parti mereka. Banyak cara lain yang boleh dibuat untuk mendapatkan publisiti dari media.
Pemimpin UMNO pula terutama golongan muda, haruslah dapat mengawal emosi dalam membicarakan soal polarisasi kaum. Ini kerana parti lain juga berhak bersuara dan menangkis dakwaan pemimpin UMNO kerana mereka juga mempunyai saluran media yang tersendiri. Mereka juga boleh membalas dengan cara mereka tersendiri. Jika ini berlaku, pemimpin UMNO seharusnya menilai kembali kenyataan yang telah di buat sehingga menguris perasaan kaum lain. Pada mereka (Gerakan dan MCA) akan berkata "orang UMNO boleh tak kan orang Cina tidak boleh".
Kerisauan sebeginilah yang sedang menular dan sudah seperti trend baru dalam berpolitik terutamanya golongan muda. Harus disedari corak berpolitik sebegini tidak menguntungkan BN untuk suatu jangka panjang.
Golongan muda di dalam UMNO, MCA dan Gerakan haruslah selalu bertemu dan berbincang mengenai isu-isu negara. Biarlah sesuatu kenyataan kepada media itu bersepakat dan muafakat. Jangan seperti sekarang ini yang hanya bermesyuarat di peringkat Pemuda BN semata-mata untuk memberikan penjelasan terhadap apa yang telah mereka perkatakan dan menjadi sesi penerangan dan bermaaf-maafan pula. Tiada kredibiliti dalam perjuang Pemuda BN.
Amaran Pak Lah seharusnya disemat di dalam hati setiap ahli politik di negara ini terutamanya BN. Andaian "pembangkang dalam kerajaan" eloklah dihapuskan kerana banyak ruang dan saluran untuk mereka duduk semeja untuk membincang sesuatu masalah dan bukannya mencari salah.
Walaupun boleh menjadi "carik-carik bulu ayam, lama-lama bertemu jua", hakikatnya apabila bulu ayam sudah di carik, takut tidak sempat bertemu semula kerana bulu ayam telah selesa apabila ditiup angin. Akibatnya harapan untuk bertemu semula dan berpadu hanya tinggal kenangan sahaja. Fikir-fikirkanlah.
No comments:
Post a Comment