KETEPIKAN RANKING, TINGKATKAN KUALITI UNIVERSITI
Mengapa perlu Naib Censelor Universiti Malaya begitu bersedih sehinggakan beliau berkata ia merupakan satu daripada hari yang meyedihkan dalam kerjayanya? Semua ini berpunca daripada Ranking Universiti Dunia 2006 yang dikeluarkan oleh Times Higher Educational Supplement (THES) baru-baru ini.
Tahniah kepada Utusan dan penulis rencana Muhammad Muammar Gaddafi Omar dari Lembaga Akreditasi Negara (LAN) kerana penyiaran tulisan bertajuk "kaedah penarafan THES bukan terbaik" pada hari Sabtu yang lalu.
Bagi saya yang bukan seorang ahli akademik, rencana tersebut amat baik yang memberikan penjelasan kaedah penarafan THES di buat dan bagaimana pula kaedah penarafan cara tempatan. Sekurang-kurangnya apabila Naib Censelor UM membaca rencana tersebut, akan dapat mengurangkan rasa sedih beliau.
Jelas terbukti kesedihan Naib Censelor UM itu adalah mewakili seluruh warga universiti di Malaysia yang menyaksikan kemerosotan dari segi kedudukan universiti terbaik dunia. Apakah kita dengan mudah menyalahkan tenaga pentadbir dan pengajar universiti tempatan sehingga menyebabkan kedudukan UM semakin merosot? Apakah tanda aras yang dikeluarkan oleh THES itu merujuk keadaan sebenar pencapaian akademik universiti kita?.
Pada pendapat saya seeloknya pihak universiti termasuk pelajarnya lebih menumpukan kepada kualiti daripada kuantiti. Usah dirisaukan kedudukan universiti tempatan di nombor berapa dunia kerana walaupun mencapai nombor satu sekalipun, tetapi kualiti pelajar hanya setakat baik di dalam pencapaian akademik sahaja, tidak berguna juga. Kualiti jatidiri dan menepati standard piawaian tenaga kerja perlu ditekankan disamping cemerlang dalam akademik.
Sememangnya amat sukar untuk menyaingi Universiti Harvard, Cambridge dan Oxford yang masing-masing menduduki tempat pertama. kedua dan ketiga dalam Ranking Universiti Dunia 2006.(lihat http://www.thes.co.uk/).
Untuk pencapaian peringkat Asia, sekurang-kurangnya UKM dan UM masih merasa lega kerana universiti tersebut termasuk di dalam 50 Universiti Terbaik Asia. Kedudukan UKM pada tangga ke 48 dan UM pula ditangga ke 49. Itupun kerana THES mengambil kira Australia dan New Zealand termasuk di dalam benua Asia yang mana sebanyak 14 universiti negara tersebut termasuk di dalam senarai 50 terbaik Asia. Jika ditolak 14 universiti tersebut, kedudukan UKM dan UM sudah semestinya lebih baik.
Pentadbir, ahli akademik, kakitangan dan pelajar universiti tidak perlu gundah gulana jika takut dicemuh oleh masyarakat terutamanya ahli politik yang gemar mengambil kesempatan. Hakikatnya jika dikategorikan di kalangan negara ASEAN, kita hanya tewas kepada Singapura dan Thailand. Kita masih bagus jika dibandingkan dengan Indonesia, Filipina, Brunei, Myanmar, Laos, Kemboja dan Vietnam. Walaupun National University of Singapore menduduki universiti terbaik Asean, ketiga Asia dan ke 19 dunia, namun universiti negara kita tidak perlu gusar kerana universiti tersebut telah berada di kedudukan dan kecemerlangannya yang tersendiri sudah sekian lama.
Agak mengecewakan apabila skop "citations/faculty score" yang membawa 20 peratus jumlah keseluruhan penarafan oleh THES terhadap UKM dan UM amat mengecewakan dan memalukan. Ini kerana UKM memperolehi 0(kosong) mata dan UM 1(satu) mata sahaja untuk skop "citations/faculty score". Bagaimana ianya boleh berlaku sehinggakan THES memberi penilaian dengan sebegitu buruk sekali?. Skop tersebut membawa maksud kekerapan kajian pihak universiti yang menjadi bahan rujukan dan mendapat penghargaan. Apakah benar kajian yang dibuat oleh THES ini? Para akademik universiti tempatan pasti tahu jawapannya.
Peratusan markah keseluruhan untuk UKM yang menduduki tangga ke 185 dunia ialah 29.2 peratus, manakala UM yang ditangga ke 192 memperolehi 28.6 peratus. Amat jauh jika hendak dibandingkan dengan National University of Singapore yang memperolehi 63.1 peratus.
Walaubagaimanapun masih ada ruang untuk mempertikaikan sistem petunjuk prestasi yang disediakan oleh THES. Dengan lain perkataan THES bukannya petunjuk ukuran sebenar untuk menilai pencapaian dan kecemerlangan universiti kita. Mungkin pihak Kementerian Pengajian Tinggi bersama LAN dapat menyedikan petujuk prestasi universiti tempatan sebagai kajian dan bandingan tahap cemerlang dan kualiti sesebuah universiti.
Namun begitu warga universiti di Malaysia masih lagi dihargai dan dikenang jasanya kerana telah melahirkan ramai graduan yang bermutu tinggi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja negara. Kepercayaan terhadap universiti tempatan masih tidak goyang di dalam melahirkan insan yang berkualiti untuk bersama-sama membangunkan negara dan bangsa. Universiti tempatan masih lagi mendapat tempat dan perhatian utama daripada pelajar dan ibu bapa sebagai tempat pilihan pertama untuk menimba ilmu.
Walaupun selepas ini akan ada pihak yang menyindir dan mengkritik pentadbir universiti tempatan, namun para pengkritik perlulah sedari bahawa UM dan UKM sahajalah universiti yang diterajui oleh majoriti orang Melayu yang masih mendapat tempat di antara 200 universiti terbaik dunia. Jiran kita, Indonesia yang mempunyai berpuluh universiti tiada tempat di dalam 200 terbaik dunia.
Lebih membanggakan juga UKM yang mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama mendapat tempat yang terbaik buat pertama kalinya.
Mungkin ada yang akan mengaitkan dengan pencapaian orang Melayu dalam akademik yang membuatkan ranking UM jatuh. Kepada golongan seperti ini, mereka haruslah berpijak di bumi nyata. Meletakkan kesalahan seratus peratus kepada tenaga pengajar universiti tempatan kerana ranking dunia yang tidak memberangsangkan adalah tidak adil sama sekali.
Seluruh warga universiti sememangnya berkhidmat dan berusaha untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti sepanjang masa walaupun tiada kajian THES. Kita jangan meragui tahap profesional pensyarah, pentadbir dan sesiapa sahaja yang berkhidmat di universiti tempatan. Mereka juga mahukan standard dan kualiti pendidikan tinggi negara mencapai tahap yang sewajarnya. Jangan pandang sinis dan mencaci mereka hanya disebabkan prestasi kedudukan universiti tempatan merosot di dalam senarai THES.
Warga universiti tempatan tahu tugas mereka adalah mendidik dan membentuk insan yang akan menjurus kepada peradaban dan kemajuan bangsa kita sendiri. Jangan persoalkan tanggung jawab mereka.
Pada pendapat saya usah dirisaukan kedudukan di ranking dunia kerana kita mempunyai agenda dan acuan kita sendiri untuk mengurus tadbir dan mendidik anak bangsa. Walaupun angka akan mununjukkan yang terbaik, tetapi kualiti dan taraf universiti merosot tidak ada gunanya juga.
Walaupun menduduki ranking yang terbaik, tetapi pelajarnya tidak bermutu dan mempunyai nilai akhlak dan jati diri yang rendah, juga tiada ada gunanya.
IPTA yang ada sekarang sudah cukup bagus dan menuju landasan yang betul sebenarnya. Cuma perlu ada penambahbaikan di ruang-ruang yang tertentu agar IPTA kita lebih dihormati dan diperakui oleh bangsa kita sendiri sebagai yang terbaik. Tiada ada gunanya orang luar memperakui universiti kita tetapi warga negara sendiri memperlekehkannya.
No comments:
Post a Comment