Perdana Menteri pula memberikan reaksi yang riang dan dengan nada yang gembira. Ditambah pula perjumpaan itu akan hanya di hadiri oleh mereka berdua dan tiada pihak ketiga. Mengikut rancangan pertemuan tersebut akan berlaku sebelum Aidil Fitri yang akan datang.
Yang menghairankan masih ada golongan yang ingin menangguk di air yang keruh dan seperti tidak "rela" pertemuan itu diadakan. Masih ada kumpulan yang meragui pertemuan tersebut dan malah ada pemimpin pembangkang orang Melayu seperti sudah tahu apa hasil pertemuan tersebut sedangkan ianya belum terlaksana lagi. Nada pemimpin pembangkang tersebut seolah-olah mereka ahli Umno dengan mengatakan pertemuan itu nanti belum tentu selesai konflik dan meragui keikhlasan Dr. Mahathir. Apakah PAS kecewa perjumpaan antara dua tokoh tersebut akan mengurangkan modal dan idea membangkang mereka?
Semua sedia maklum lidah media PAS seperti akhbar dan laman web Harakah sejak kebelakangan ini begitu menonjolkan pemberitaan menyokong Dr. Mahathir. Seolah-olah Dr. Mahathir adalah pemimpin parti mereka. Kesempatan sebegini sememangnya menjadi tradisi PAS sejak dahulu lagi walaupun mereka sanggup menjilat ludah yang telah diluahkan. Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu, merekalah yang paling aktif mengutuk dan menghina negarawan tersebut.
Sungguh hairan sikap orang Melayu sebegini.Umum mengetahui di kalangan ahli Umno sendiri ada yang memihak kepada Dr. Mahathir menerusi beberapa laman web yang dikendalikan oleh pihak yang pro kepada Dr. Mahathir. Tidak salah sebenarnya untuk menyokong pendirian politik dan pendapat sesiapa pun. Tetapi wajarkah memperalatkan nama UMNO untuk mengutuk pemimpin Umno sendiri?. Tidak salah jika ingin memberikan kritikan dan pendapat yang membina untuk menegur pemimpin tertentu. Tetapi adakah wajar jika sepanjang masa mengutuk pemimpin parti sehingga lebih dahsyat dari pembangkang?.
Mengapakah golongan ini seperti tidak sukakan perpaduan dan adakah mereka gemar melihat perselisihan pendapat di antara Perdana Menteri dan negarawan ulung negara itu?. Apakah motif sebenar mereka?. Apakah mereka ini terdiri dari golongan yang sentiasa tidak bersyukur dan asyik menempelak sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin Umno?. Atau mereka ini golongan kecewa yang tidak mendapat tempat dalam Umno?
Laman web mereka ini menggunakan lambang Umno dan mereka juga mendakwa ahli Umno. Tetapi jika diperhatikan keseluruhan artikel di dalam laman web berkenaan, seolah-olah tiada satu pun perkara yang baik dilakukan oleh Pak Lah. Apakah mereka ini golongan penentang Umno yang bertopeng sebagai ahli Umno dengan penampilan imej dan perlambangan Umno di laman web mereka?.
Beberapa hari ini jelas menunjukkan golongan ini mula resah apabila Dr. Mahathir bersetuju untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Umno. Apakah keresahan mereka kerana selepas ini sudah tiada modal untuk berbicara di laman web mereka?. Serangan melalui internet ini telah mendapat sambutan daripada pengunjung dan pelayar internet. Apakah golongan seperti ini boleh dilebelkan sebagai pengkhianat parti kerana lebih gemar melihat pemimpin dan bekas pemimpin Umno bersengketa?. Jauh sekali untuk memberi pandangan ke arah perpaduan dan kekuatan dalaman parti sendiri.
Belumpun lagi pertemuan itu diadakan, golongan ini sudah mempunyai teori dan andaian mereka sendiri yang menjangkakan pertemuan itu akan menemui kegagalan. Gelagat mereka seperti mereka pula yang terlibat di dalam konflik antara Pak Lah dan Dr. Mahathir. Malah dipersendakan pula tindakan kumpulan yang menganjurkan pertemuan itu sehingga mereka melebelkan kumpulan penganjur ini sebagai pembodek politik?.
Celupar sungguh kata-kata golongan ini sehingga mengalakkan perselisihan pendapat antara dua tokoh ini biarlah jangan ada penyelesaian. Sikap golongan sebegini amat menyedihkan kita sebagai orang Melayu. Mereka meracuni fikiran orang Melayu dan menggalakkan ketidakstabilan politik Umno supaya mereka terus "bernyawa" dengan sebaran propaganda politik murahan menerusi internet. Apakah pihak tertinggi Umno tidak menyedari hal sebebegini dan tidak bolehkah dikenakan tindakan? Saya rasa tindakan boleh diambil kerana mereka menggunakan lambang, bendera dan nama Umno sebagai pengenalan utama laman web mereka.
Belum pun pertemuan empat mata dua tokoh orang Melayu itu berlangsung, sudah ada komen dan ulasan yang diberikan, pelik bukan? Malah ada laman web (http://www.beritakmu.net/) yang mengutarakan tajuk "Pertemuan Mahathir-Pak Lah: kesudahan yang boleh diramal" sebagai pembuka kata laman mereka. Mengapakah perlu dipertikaikan pertemuan yang bakal diadakan itu?. Lebih hina lagi mereka merendahkan martabat Pak Lah sebagai Presiden Umno. Apakah mereka ingin menipu orang ramai dengan "tag line" mereka "Kumpulan Menyokong Umno"?.
Mengapakah timbul keraguan sebelum pertemuan?. Siapakah mereka sebenarnya yang kini ragu dan seperti "panas buntut" apabila pertemuan tersebut menjadi kenyataan?. Sungguh hairan sikap orang Melayu sebegini yang tidak suka kepada perdamaian dan lebih gemar kepada perselisihan. Golongan oportunis dan sukakan pergolakan ini sebenarnya memperalatkan politik sebagai mata pencarian utama mereka. Mereka sudah tiada kerja lain lagi yang hendak dibuat selain dari menghina, mengutuk, mengkritik dan mencaci pemimpin mereka sendiri.
Sekadar memberikan contoh, laman web http://www.beritakmu.net/. "KMU" itu ringkasan dari nama "Kumpulan Menyokong Umno". Akan tetapi 90 peratus isi kandungan laman berkenaan adalah mengutuk Umno dan mencemuh kepimpinan Pak Lah sehingga seperti tiada satupun kebaikan yang dilakukan oleh Perdan Menteri.
Sebuah lagi laman web yang bertopengkan imej dan nama Umno ialah http://www.umno-reform.com/. Antara kolumnis tetap laman ini ialah individu yang baru-baru ini telah dipecat dari Umno. Pengendali laman web ini secara terang-terang menggunakan nama Umno pada nama webnya dan isi kandungan adalah mengutuk Umno secara total.
Wajarkah kita membiarkan dua contoh laman web itu bermaharaja lela meracuni fikiran umat Melayu. Jika benarpun untuk mendaulatkan kebebasan bersuara dan manfaatkan arus kemodenan ICT, janganlah menggunakan nama Umno sebagai platfom untuk menarik pengunjung ke laman web mereka. Jika benar mereka ikhlas untuk berbicara hal politik tanah air, mengapa tidak menggunakan imej sendiri tanpa bertopengkan Umno?
No comments:
Post a Comment