Friday, October 13, 2006

E MAIL KETUA SYARIAH TAKAFUL BOLEH JEJASKAN KEHARMONIAN KAUM

E mail daripada Mohd Fauzi Mustaffa, Pengurus Jabatan Syariah, Takaful Malaysia, kepada warga kerja Takaful Malaysia pada 3 Oktober yang lalu, telah disebarkan oleh kakitangan Takaful Malaysia kepada kenalan, sahabat handai dan saudara mara ke seluruh pelusuk dunia. Seolah-olah ianya seperti e mail berangkai pula. Dan kini e mail tersebut menjadi bualan hangat di negara kita yang dihuni oleh pelbagai kaum dan pegangan agama. E mail tersebut sudah mencetuskan perbalahan kaum pula sekarang ini. Apa keistimewaan e mail daripada seorang yang berpengetahuan tinggi dalam perundangan Islam itu?.
Apabila membaca e mail Fauzi (seperti lampiran di bawah), persoalan utamanya ialah seperti arahan kepada kakitangan Takaful Malaysia melarang mereka mengucapkan Selamat Deepavali kepada penganut agama Hindu. Dalam e mail tersebut Fauzi berkata ucapan "Happy Durga Pooja", "Happy Lakshmi Pooja" dan "Happy Deepavali" seolah-olah mengucaspkan selamat kepada tuhan Hindu yang bernama Durga, Lakshmi dan Krishna, dan menurutnya bertentangan dengan akidah Islam.
Mungkin kenyataan Fauzi adalah suatu pendapat peribadi, namun apabila beliau menggunakan kapasitinya di dalam Takaful Malaysia dan mengedarkan e mail dalaman kepada seluruh kakitangannya, ianya telah memberikan suatu gambaran yang buruk terhadap imej korporat syarikat insurans Islam itu sendiri. Seolah beliau memperlihatkan kepada umum betapa sempitnya kefahaman Islam yang beliau miliki.
Lebih sentimen lagi kenyataan beliau berbunyi, " Seluruh kakitangan (Takaful) Malaysia adalah dilarang untuk mengucapkan ucap selamat kepada ketiga-tiga perayaan di atas dan lain-lain yang sepertinya kerana ianya boleh menyebabkan berlakunya syirik".
Lebih hebat lagi Fauzi yang seperti pemilik Takaful dan lagak ala mufti mengarahkan seperti berikut,"bagi mereka yang telah terlanjur mengucap selamat kepada penganut Hindu seperti seperti ketiga-tiga greetings di atas maka hendaklah segera bertaubat dan tidak mengulangi lagi pada masa-masa akan datang".
Sebagai seorang yang berkhidrmat di bawah sebuah syarikat yang berprofail tinggi yang melibatkan pelabur dan pelanggan bukan Islam, kenyataan sebegitu amat mendukacitakan dan tidak sesuai dengan negara kita yang berbilang bangsa dan agama. Beliau tidak menunjukkan sifat kepimpinan terpuji atas sifatnya sebagai Pengurus Jabatan Syariah, Takaful Malaysia.
Apakah e mail tersebut boleh dikategorikan sebagai ekstrem dan berbau menghasut? Pada pandangan masyarakat India sudah tentu berkata "ya". Kepada kita yang seagama dengan Fauzi, apakah komen kita?.
Sebagai seorang yang cukup terdidik dan mahir di dalam undang-undang Islam, pandangan beliau yang ekstrem sebegitu adalah amat menyedihkan dan memeranjatkan.
Apa pula pandangan kita jika ada arahan tertentu yang melarang kaum India yang beragama Hindu mengucapkan Selamat Hari Raya kepada orang Islam?
Mungkin Fauzi terlupa bahawa beliau duduk di bawah sebuah syarikat korporat insurans Islam yang disegani di Malaysia. Jika jualan insurans berkurangan dan merudum jatuh pelanggannya, apakah Fauzi rela bertanggungjawab?. Mungkin tempat yang sesuai untuk Fauzi ialah penceramah bebas untuk program Ehwal Islam atau pun Al-Kulliyyah di tv tempatan.Mungkin jiwa beliau ke arah itu sebenarnya.
Akan ada selepas ini golongan yang akan mengambil kesempatan memutar belitkan e mail berkenaan atas tujuan politik dan menghasut kaum lain supaya membenci Islam. Inikah yang kita kehendaki di dalam mengagungkan dan memartabatkan syiar Islam di Malaysia?
Percayalah akan ada kenyataan dari orang yang bukan Islam menghina Islam secara terbuka selepas ini. Relakah kita berdepan dengan fenomena sebegini?.

LAMPIRAN : E MAIL
From: Mohd Fauzi Mustaffa - Pengurus Jabatan Syariah, Takaful Malaysia
Sent: Tuesday, October 03, 2006 3:13 PM
To: TM All Internet Mail ; TM All Intranet Mail
Subject: Durga Pooja Greetings / Lakshmi Pooja Greetings / Deepavali Greetings


ﻡﻜﻴﻠﻋﻢﻼﺴﻠﺍ

Tuan/puan warga kerja Takaful Malaysia yang dihormati,

Marhaban Ramadhan, semoga kita semua mendapat manfaat dan keberkatan daripada bulan yang mulia ini.

Sebagaimana yang tuan/puan sedia maklum bahawa selain dari perayaan Aidil Fitri yang akan disambut oleh umat Islam pada bulan ini, penganut agama hindu juga merayakan 3 perayaan mereka seperti yang disebut dalam subjek di atas.

Sukacita saya ingin maklumkan bahawa kakitangan Takaful Malaysia perlu berhati-hati dengan ungkapan ucap selamat sempena perayaan tertentu yang selain daripada perayaan yang terdapat dalam Islam. Ucap selamat tersebut mestilah diteliti impilikasinya terutama yang melibatkan hukum dan akidah.

Antaranya ialah ucap selamat Happy Durga Pooja atau Durga Pooja Greetings. Ia bermakna selamat menyambut hari kebesaran Dewi Durga. Sambutan ini adalah festival yang paling penting bagi orang-orang Hindu. Ia menandakan ketaatan dan kepatuhan kepada Dewi Durga yang dianggap sebagai Mother of the Universe. Ia disambut oleh oleh penganut agama Hindu pada hari-hari berikut:

29 Sept 2006 - Durga Pooja - Saptami
30 Sept 2006 - Durga Pooja - Mahastami
01 Okt 2006 - Durga Pooja - Navami
02 Okt 2006 - Dussehra - Vijaya Dasami

Untuk makluman tuan/puan, Durga Pooja mengikut kepercayaan penganut agama hindu adalah tuhan dewi yang mempunyai tangan yang banyak dan bersilang yang biasanya kelihatan di kuil-kuil hindu.

Antaranya lagi ialah ucap selamat Happy Deepavali atau lebih dikenali di Benua Kecil India dengan nama Happy Diwali. Deepavali atau Diwali menandakan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan. Ia berkaitan dengan agama hindu juga di mana mitosnya bagi penganut agama hindu di Malaysia ialah tuhan agama hindu yang bernama Krishna telah membunuh Narakasura. Lalu penganut agama hindu merayakan kemenangan ini dengan menyalakan lampu serta berpesta. Manakala mitos di Benua Kecil India pula ialah kemenangan Ramayana membunuh Ravana.

Mengikut kepercayaan hindu, sempena perayaan deepavali mereka akan menerangi rumah mereka dengan cahaya kerana dewi Lakshmi iaitu dewi kekayaan akan berkunjung ke rumah yang diterangi cahaya dan akan memberkati keluarga terbabit. Oleh itu perayaan Lakshmi Pooja akan diadakan 2 hari sebelum deepavali untuk mendapatkan rezeki dan berkat yang berganda.

Setelah meneliti ketiga-tiga perayaan tadi maka jelaslah ianya ada kaitan secara langsung dengan kepercayaan agama hindu. Seluruh kakitangan Malaysia adalah dilarang untuk mengucapkan ucap selamat kepada ketiga perayaan di atas dan lain-lain lagi yang sepertinya kerana ianya boleh menyebabkan berlakunya syirik. Budaya korporat Takaful Malaysia yang bersendikan Syariat tidak mengizinkan ianya berlaku sekalipun untuk pelanggan yang beragama hindu atau agama lain yang mana ucap selamat tadi membabitkan tuhan mereka. Ucapan Happy Durga Pooja, Happy Lakshmi Pooja dan Happy Deepavali seolah-olah mengucap selamat buat tuhan hindu yang bernama Durga, Laksmi dan Krishna. Dan ianya jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Allah berfirman dalam surah ali-'Imran ayat 18 yang bermaksud: "Allah telah bersaksi bahawa tiada tuhan selain Dia". Dalam surah Muhammad ayat 1 Allah berfirman yang bermaksud: "Maka ketahuilah bahawa tiada tuhan selain Allah".

Bagi mereka yang telah terlanjur mengucap selamat kepada penganut hindu seperti ketiga-tiga greetings di atas maka hendaklah segera bertaubat dan tidak mengulanginya lagi pada masa-masa akan datang.

Semoga usaha kita untuk mengamalkan Syariat sebagai budaya korporat Takaful Malaysia diberkati Allah dan mencapai kejayaan yang kita harapkan.

Sekian untuk makluman. Terima kasih.

ﻢﻼﺴﻠﺍﻮ

i-CARE (integrity – Customer Focus, Accountability, Respect, Entrepreneurship)

Strengthening the Organization Culture towards a World Class Organization - The TAKAFUL MALAYSIA Way

MOHD FAUZI MUSTAFFA
Shariah Dept
CEO's Office
Syarikat Takaful Malaysia Berhad (TAKAFUL MALAYSIA)
Level 10, Main Block
Dataran Kewangan Darul Takaful
No.4, Jalan Sultan Sulaiman
50000 Kuala Lumpur.



What will the world find in 2020?
Leave a part of your 2006 in the Yahoo! Time Capsule. Contribute now!

No comments: