Saturday, October 07, 2006

SWASTA SUKA "GODA" PENJAWAT AWAM

Swasta suka "goda" penjawat awam
Oleh SA'ODAH ELIAS

KUALA LUMPUR: Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Seri Isahak Yeop Mohamad Shar berkata persepsi masyarakat mengenai masalah rasuah di kalangan kakitangan awam berat sebelah kerana jarang mengaitkan masalah ini dengan sikap sektor swasta.
Sektor swasta, katanya, sama-sama bersalah dalam isu ini, malah dalam banyak kes, kesalahan lebih besar patut ditanggung mereka.
"Mereka sentiasa menduga kakitangan awam. Kadang-kadang nilai yang ditawarkan untuk menggoda kakitangan awam bukan sedikit. Oleh itu persepsi bahawa hanya kakitangan awam sahaja yang ?nakal? tidak tepat, sedangkan amalan ini di sektor swasta sama hebat.
"Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah memegang banyak jawatan tinggi sama ada di peringkat negeri dan pusat, saya tahu bagaimana kakitangan awam terpaksa berdepan dengan dugaan apabila disogok ratusan ribu ringgit," katanya kepada mStar Online.
Kali terakhir beliau cuba dirasuah ialah ketika memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan mempengerusikan lembaga tender kementerian itu.
"Seorang ahli perniagaan secara terang-terangan menawarkan ?hadiah? RM300,000 sekiranya saya dapat membantu bidaannya untuk satu projek. Yang lebih memeranjatkan saya ialah apabila dia dengan selamba memberitahu saya tidak perlu bimbang tentang pegawai bawahan lain kerana semuanya boleh dibereskan.
"Inilah yang saya maksudkan dengan dugaan yang dihadapi kakitangan awam. Sekiranya tawaran itu dibuat kepada seorang pegawai yang menghadapi kesempitan wang, cuba bayangkan apakah kesudahannya," tambah beliau.
Isahak berkata, ada kakitangan awam yang terjebak dalam rasuah tanpa sedar kerana sentiasa "digoda" oleh ahli-ahli perniagaan yang menawarkan rasuah dalam bentuk yang kurang jelas seperti satu "imbuhan" atau sebagai pinjaman.
Katanya, pemberian menjelang perayaan kepada kakitangan awam yang sudah menjadi seperti satu amalan di negara ini juga dikira sebagai rasuah, lebih-lebih lagi jika nilainya mencecah ribuan ringgit.
Oleh itu, katanya, masyarakat tidak patut menuding jari kepada penjawat awam semata-mata, tetapi perlu sama-sama memainkan peranan untuk membanteras masalah ini di semua peringkat dan di semua sektor.
Berdasarkan pengamatan ini, kata Isahak, IIM berpendapat langkah paling berkesan menangani masalah ini ialah dengan meningkatkan daya tahan masyarakat keseluruhannya terhadap rasuah di samping mengukuhkan integriti mereka.
IIM, katanya, sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengukuhkan integriti di kalangan masyarakat di samping memberi kesedaran bahawa rasuah itu satu jenayah, bahawa ia sesuatu yang menjijikkan dan ia adalah hasil haram yang tidak patut digunakan untuk membesarkan zuriat.
"Inilah nilai yang mahu kita tanamkan dalam masyarakat terutama di kalangan generasi muda. Kita perlu tekankan betapa pentingnya kita beramanah, lebih-lebih lagi jika kita memegang tanggungjawab atau kuasa," jelasnya.
Katanya, fokus terhadap generasi muda ini sangat penting kerana kajian yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Utara Malaysia mendapati 30.5% pelajar yang ditemubual, menyatakan mereka sanggup menerima rasuah sekiranya ada kuasa dan peluang yang terbuka.
"Jika beginilah persepsi generasi muda terhadap rasuah, maka kita akan menghadapi masalah rasuah yang serius pada masa akan datang dan sesuatu perlu dilakukan segera," tegasnya.
Sejak ditubuhkan dua tahun lalu, katanya, IIM telah menjalan lebih 800 program pendidikan dan latihan sama ada anjurannya sendiri atau dengan kerjasama pihak lain, termasuk sektor swasta bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat, terutama generasi muda tentang etika dan integriti
Di pihak kerajaan, katanya, usaha perlu dipertingkatkan untuk memperbaiki sistem penyampaian di semua jabatan dan agensi, terutama yang kerap berurusan dengan orang ramai seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sebarang kelewatan dalam proses membabitkan permohonan daripada sektor swasta dan orang ramai bagi mendapatkan permit, lesen atau kelulusan projek, katanya, sentiasa membuka tanggapan bahawa ia memerlukan "pelincir" dan ini menyediakan ruang kepada penawaran sogokan.


No comments: