Dasar sudah ada tetapi perlaksanaannya lembab? Itulah persoalan yang timbul apabila mendapat tahu bahawa negara kita sudahpun mempunyai Dasar Sosial Negara (DSN) yang telah sedia ada untuk pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestalbilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap.
DSN wujud setelah kerajaan mendapati banyak sangat masalah sosial yang membimbangkan negara. Pada tahun 1996 kerajaan telah membentuk Jawatankuasa Kabinet bagi Membanteras Masalah Sosial (JKMMS). Selepas itu perbagai tindakan diambil seperti mengadakan bengkel, perlantikan pakarunding, merangka deraf DSN sehunggalah DSN diluluskan oleh Jemaah Kabinet pada 19 Februari 2003 dan dilancarkan secara rasmi pada 19 Ogos 2003.
Itulah latar belakang secara ringkas kewujudan DSN. Jelas menunjukkan kerajaan pada masa itu menyedari isu-isu dan masalah sosial menggugat kestabilan negara kerana ianya akan mewujudkan masyarakat yang tidak bermoral dan ini akan membantut usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang bermoral, penyayang, bertoleransi, progresif, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020.
Apa yang dibimbangkan ekoran masalah sosial terkini seperti mat rempit, hubungan sex sebelum nikah, penagihan dadah, pertentangan budaya pendatang asing dengan rakyat tempatan, penagihan arak, keruntuhan budaya sopan santun, telah menimbulkan persoalan apakah gejala sosial terutamanya dikalangan remaja dan belia semakin parah?
Kadang-kadang kita menganggapkan masalah sosial adalah perkara jenayah yang hanya patut diselesaikan oleh pihak polis sahaja. Pelaku gejala sosial tidak akan bersalah di segi undang-undang negara jika mereka tidak ditangkap, di dakwa dan di jatuh hukum oleh mahkamah. Apakah pelaku masalah sosial seperti mat rempit yang berkonvoi dan membuat bising dari motosikal mereka suatu kesalahan jenayah?. Ini adalah masalah sosial mat rempit terbabit yang sudah tentu mempunyai sebab mengapa mereka melakukannya. Siapa patut membenteras sikap dan sifat mat rempit ini?.
Memang ada pihak NGO yang cuba berbaik-baik dengan mat rempit ini tetapi adilkah kita membiarkan NGO itu sahaja yang bersusah payah membentuk nilai hidup dan sikap mat rempit ini dan sebahagian besar masyarakat hanya melihat dan malah mengkritik pula usaha murni itu?. Akan tetapi apabila sikap dan sifat mat rempit itu melibatkan kemalangan dan melakukan jenayah ragut, maka ini lah yang sepatutnya disabitkan kesalahan jenayah.
Inilah peranan DSN sebenarnya yang ingin menjamin setiap individu, keluarga dan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik, agama, budaya, gender dan fahaman politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan.
DSN selaku payung kepada pembangunan sosial negara perlulah diperkasakan lagi agar ianya dapat menjadi rujukan dan penyatuan tindakan dan penyelesai masalah di antara berpuluh agensi yang terlibat dengan sosial. Ini kerana Jawatankuasa Pembangunan Sosial Negara yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dianggotai oleh 17 kementerian, Ketua Polis Negara, Biro Tatanegara, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Manakala Majlis Sosial Negara dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai oleh menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar dan ketua menteri, dan ketua setiausaha kementerian. Seluruh anggota yang menduduki jawatankuasa tersebut perlulah ada keazaman politik (political will) untuk menjayakan DSN. Jika ianya tidak diterjemahkan dalam peringkat nasional dan negeri maka DSN akan hanya tinggal sebagai dasar dan tidak mempunyai impak seperti diharapkan.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang menjadi urusetia DSN perlulah merangka satu pelan tindakan khusus (blue print) di peringkat nasional mengenai kaedah penilaian impak sosial serta usaha bersepadu pelbagai peringkat untuk diselaraskan di bawah jentera-jentera utama kerajaan seperti Majlis Tindakan Negara, Majlis Tindakan Negeri dan Majlis Tindakan Daerah. Dengan penelarasan ini adalah diharapkan isu-isu pembangunan sosial dan indikator sosial akan menjadi tetap dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan dalam apa jua aspek yang melibatkan masalah sosial negara.
Kerana kelemahan sebeginilah, apabila berlaku masalah sosial, tuding menuding pun berlaku di antara agensi mana yang akan bertanggungjawab untuk menangani masalah sosial tersebut. Jika telah ada mekanisme yang sangat cantik seperti yang disebutkan di atas, apakah pelaksanaan menjadi masalah utama? Atau apakah urusetia tidak melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan oleh kabinet?.
Ini kerana sejak DSN diwujudkan, Majlis Sosial Negara hanya telah bersidang sebanyak 3 kali dan yang terakhir pada 17 Mac lalu. Itu diperingkat nasional, cubalah kita renungkan pula di peringkat negeri dan daerah. Kesepaduan antara agensi kerajaan tidak sekata menyebabkan apabila berlaku sesuatu masalah sosial di sesuatu tempat, agensi terbabit seperti hilang pedoman. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan agensi kerajaan di peringkat daerah tidak tahupun kewujudan DSN dan Majlis Tindakan Sosial Daerah.
Disamping itu kewujudan Pusat Rujukan Sosial (PRS) juga tidak diketahui ramai. Antara peranan pusat tersebut ialah sebagai satu pusat perkhidmatan bagi masyarakat setempat mendapat maklumat dengan mudah dan segera, tempat pertemuan dan perbincangan di antara pihak kerajaan, NGO dan masyarakat. KPWKM telah mewujudkan 47 buah PRS di seluruh negara kecuali Sarawak dengan negeri Pahang paling banyak PRS iaitu 9 buah. Masalahnya beramaikah rakyat negara kita tahu kewujudan PRS ini?.
Apa yang diharapkan semua pihak haruslah memandang serius masalah sosial negara dan di pihak kerajaan pula, mekanisme yang ada perlulah dimanfaatkan sepenuhnya. Penglibatan pihak NGO dan masyarakat setempat jangan dipinggirkan kerana mereka inilah yang akan membantu mengurangkan masalah sosial negara.
DSN perlulah diperkasakan segera dan publisiti perlulah meluas terutamanya peranan PRS supaya semua lapisan masyarakat merasakan bertanggungjawab bersama menangani masalah sosial. Jika segala yang dirangka itu berjalan pula dengan kemasnya, saya percaya DSN akan menjadi suatu dasar negara yang mencapai matlamat penubuhannya.
KPWKM perlulah berfungsi dengan aktif sebagai urusetia DSN kerana tanpa berat sebelah peranan kementerian tersebut, nescaya masyarakat akan menghargai peranan kementerian tersebut lebih daripada gambaran sekarang ini yang lebih ke arah wanita dan orang kurang upaya sahaja.
Kita perlu tukar mentaliti kita sendiri iaitu apabila wujud sahaja masalah sosial, pihak polis lah yang pertama sekali bermain di fikiran kita. Selepas ini kita tukar, iaitu apabila berbicara tentang masalah sosial, DSN terbayang di fikiran kita. Samalah seperti apabila timbul masalah ekonomi Bumiputera, Dasar Ekonomi Baru (DEB) bermain di fikiran kita.
No comments:
Post a Comment