Sunday, October 01, 2006

LEE KUAN YEW BERANI MELATAH KERANA MELAYU LEMAH

Apabila Lee Kuan Yew mengkritik kerajaan Malaysia dan Indonesia yang beliau anggap telah meminggirkan orang Cina secara sistematik, beliau sebenarnya telah menjolok sarang tebuan yang telah lama terbuku di hati orang Melayu di seluruh pelusuk Nusantara. Kenyataan Kuan Yew itu seperti memberi lampu hijau untuk diperbincangkan secara umum dan terbuka masalah kaum Melayu dan Cina di Nusantara.

Seperti menunggu masa sahaja siapa yang ingin memulakan isu perkauman ini, orang Melayu Nusantara sepatutnya berterima kasih kepada Kuan Yew kerana telah membuka gelanggang untuk diperdebatkan bersama. Sekurang-kurangnya generasi muda kini yang rata-rata buta sejarah, terpanggil untuk meingimbas kembali nostalgia dan buruk pekung siapa Kuan Yew sebenarnya.

Saya sangat bersetuju rencana oleh 'Pemerhati Politik' bertajuk 'Siapa Meminggirkan Siapa' di dalam Utusan pada 30 September yang lalu. Pada saya penulis sangat arif dan penuh maklumat untuk membuka tembelang siapa sebenarnya Lee Kuan Yew. Lebih dari itu ia memberikan siraman kesedaran kepada warga Malaysia sendiri yang seperti tidak tahu hujung pangkal asyik memperkatakan negara Singapura itu terbaik dalam segala segi berbanding dengan Malaysia. "Fanatik Singapura" ini ramai berkeliaran di Johor Bahru. Mereka ini hanya bertopengkan sekeping kad pengenalan Malaysia sahaja, tetapi hati dan jiwa mereka telah dicuci dengan war-war "Singapore always the best".

Celupar Kuan Yew itu sebenarnya telah memberanikan lagi orang Melayu Singapura meluahkan perasaan mereka yang terbuku sekian lama. Mereka seperti pengemis di negara sendiri dan kadang-kadang ditafsirkan sebagai warga kelas kedua. Ini semua adalah gara-gara serapan idealogi yang disuntik oleh Kuan Yew sejak beliau memerintah Singapura pada tahun 1959 lagi. Walaupun sekarang ini taraf beliau secara rasminya sebagai Menteri Mentor kerajaan Singapura, hakikat sebenarnya beliau adalah "Raja Singapura Seumur Hidup" yang sangat kebal dan maha berkuasa di tanah Temasek itu.

Rintihan Melayu Singapura sudah lama diketahui oleh kita semua. Namun atas sifat jangan biadap untuk mencampuri urusan rumah tangga orang, kita di sini dan di Indonesia hanya sekadar mendengar rintihan mereka. Kepada yang berharta, ada yang menyumbangkan wang sebagai rangsangan pelaburan perniagaan dan ramai juga yang berdagang dengan warga Melayu Singapura. Walaupun bukannya besar perniagaan mereka, namun sekurang-kurangnya ada juga bangsa serumpun yang prihatin dan mengambil tahu masalah mereka.

Mungkin baiknya kenyataan Kuan Yew itu akan membuka mata kita semua untuk menyelami dan menghayati masalah Melayu Singapura yang semakin hari semakin terhimpit kedudukan mereka. Mereka bertungkus lumus untuk memajukan bangsa tanpa bantuan dan perhatian kerajaan.

Walaupun pendidikan berasaskan meritokrasi sebagai asas utama pendidikan di Singapura, tetapi apabila di letakkan gred atau taraf tertentu yang amat sukar untuk dicapai oleh Melayu Singapura, keciciran semakin nyata ditanggung oleh orang Melayu. Diskriminasi pendidikan sudah berlaku sejak lama dahulu.

Lebih lemah lagi orang Melayu di Singapura apabila gejala sosial kian meningkat dan kerajaannya seperti menutup mata sahaja membiarkan kerosakan akhlak orang muda Melayu. Siapa sebenarnya disisihkan atau dipinggirkan?. Sex luar nikah sudah seperti perkara biasa malah ada iklan di depan klinik menyatakan "pengguguran pasangan Melayu boleh dilakukan di sini".

Kita telah disedarkan dari mimpi dengan kutukan dan sindiran tajam Kuan Yew bukan sekarang sahaja malah golongan warga emas lebih arif dengan sandiwara Kuan Yew itu. Sifat beliau yang terkenal dengan anti orang Melayu sudah berlaku sejak zaman sebelum merdeka lagi.

Apakah sandiwara terkini yang hendak di bawa oleh Kuan Yew sehingga mendakwa orang Cina di Malaysia dan Indonesia terpinggir?. Mungkin ada seribu satu sebab mengapa beliau berkata begitu. Perlu diingat beliau juga seorang pemikir dan pengatur strategi yang hebat. Tidak hairan beliau juga mempunyai seribu satu jawapan apabila kenyataan beliau diperbicarakan oleh orang Melayu.

Melayu Nusantara perlu bersatu untuk saling bantu-membantu sesama bangsa. Inilah kekuatan orang Melayu sebenarnya. Akan tetapi kekuatan ini hanyalah pada ungkapan dan kata-kata sahaja, bukannya realiti dan nyata berlaku. Kelemahan inilah yang membolehkan Kuan Yew bebas berkata-kata untuk memburukkan orang Melayu. Beliau tahu Melayu Singapura sudah lama dipinggirkan. Beliau pernah berkata sejurus selepas Singapura keluar dari Malaysia pada 1965 bahawa orang Melayu Singapura jika tidak selesa tinggal di pulau itu bolehlah berhijrah balik ke tempat asal usul mereka. Beliau berani berkata begitu kerana tahu orang Melayu tidak bersatu dan berpecah belah. Itulah kekuatan Kuan Yew sebenarnya yang mendapat "tonik" hasil dari kelemahan dan perpecahan orang Melayu sendiri.

Sengsara disisih di negara sendiri yang ditanggung oleh Melayu Singapura tidak dapat ditandingi jika benar sekali pun kaum Cina Malaysia dan Indonesia tersisih. Kuasa ekonomi yang dipegang oleh orang Cina membuatkan dakwaan Kuan Yew meleset jauh. Jika benar orang Cina disisih dan ada rancangan untuk dipinggirkan secara sistematik, bagaimana orang Cina boleh menguasai ekonomi Indonesia dan Malaysia?.

Sifat bersatu padu pada orang Melayu sebenarnya tidak kukuh. Melayu masih lagi sanggup membeza-bezakan suku kaum dan bermusuhan sesama sendiri. Orang Kelantan dengan caranya tersendiri dan kadang kala tidak sebulu dengan orang Johor misalnya. Suku kaum Riau tidak sekata dan selalu bertentang kata dengan orang Minang. Orang Bawean yang ramai di Singapura sering bertelagah dalam perniagaan dengan suku kaum Jawa dan Minang. Bagaimana hendak bersatu padu?. Lompang kelemahan inilah yang diambil peluang oleh pemikir dan ideologist bangsa asing seperti Kuan Yew untuk mengambil kesempatan memperlekehkan orang Melayu.

Caranya dengan membuat provokasi terhadap negara Indonesia dan Malaysia yang pemimpin utamanya adalah orang Melayu. Dengan memberi api konon bangsanya mula disisihkan oleh kerajaan, beliau sebenarnya ingin memohon simpati dari pedagang dan ahli perniagaan kaum Cina di Malaysia dan Indonesia supaya meningkatkan pelaburan di negaranya. Kerana beliau telah menjangkakan orang Melayu akan melenting dan ini akan memberikan sedikit sebanyak gangguan kepada peniaga bangsa Cina di Malaysia dan Indonesia. Dengan ketakutan dan kesan provokasi beliau itu, harapan beliau peniaga dan pedagang akan berhijrah ke Singapura untuk menukar haluan perniagaannya.
Rasionalnya di Singapura sudah ramai pelabur dan pedagang melarikan perniagaan mereka ke negara China dan Vietnam. Kenapa beliau tidak menghentam sahaja China kerana mencuri pelabur setia mereka?. Mengapa tidak mengenakan tekanan ekonomi terhadap Vietnam?. Jawabnya negara berkenaan adalah berasal usul yang sama dengan kaum Kuan Yew sendiri.
Bersatulah wahai orang Melayu terutamanya di dalam sektor ekonomi. Perpecahan dan perbalahan sesama kita akan merugikan kita sendiri. Jika kita kuat dan terkenal dengan semangat bersatu padu, nescaya Singapura dan Kuan Yew tiada taring untuk memperkotak-katikkan kita.




2 comments:

Anonymous said...

Pada hari ini, orang Boyan tidak mengaku orang Boyan, macam mana penulis boleh menyatakan orang Boyan dan orang Jawa bertelagah dalam perniagaan. Di Singapura tak ada perniagaan yang unik hak milik Boyan atau Jawa! Saya ingat penulis buat research terlebeh dahulu sebelum buat andaian.

Anonymous said...

ini lah masaalah orang melayu dari dulu lagi, Selagi merasakan tuan tanah dibumi sendiri sedangkan sudah banyak tanah kita telah dibeli orang Cina. Sungguh sedih sekali mengenangkannya. Kelemahan dan masaalah orang Melayu yang amat ketara sekali adalah bersatu padu. Sesungguhnya inilah perkara yang kita TIDAK mampu lakukan sehingga kini. Walaupun nampaknya senang namun, kita tidak berjaya melaksanakannya. Kita masih belum sedar sepenuhnya pentingnya dalam perpaduan dan bersatu padu. Perkara lain yang penting adalah menuntut ilmu. Masih banyak harapan bangsa berada dijalan raya mengadai nyawa. Bagaimana nasib kita nanti. Keamanan yang kita cari sekarang adalah atas dasar usaha. Jangan kita terus lalai dibuai keamanan sehingga kita terus leka dengan kesoronokan lainnya.