Friday, June 30, 2006

ADAKAH MAHATHIR HENDAK IKUT CARA LEE KWAN YEW?

ADAKAH MAHATHIR HENDAK IKUT CARA LEE KWAN YEW?

Sebenarnya tidak sampai 3 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan dan digantikan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Namun seperti rumah siap pahat berbunyi, seolah-olah ada yang tidak kena dengan pemerintahan Abdullah sehinggakan Mahathir memberi pandangan yang berupa kritikan terhadap pemerintahan Pak Lah.

Yang terbaru dan dikira paling lantang kritikan terhadap kepimpinan Pak Lah berlaku semasa sidang akhbar di Putrajaya pada 7 Jun lalu. Antaranya Mahathir mendakwa Pak Lah melanggar janji untuk meneruskan keputusan yang dibuat oleh pentadbirannya sebelum ini. Antaranya soal Jambatan Tambak Johor, kedudukan Proton, pembangunan Putrajaya, dasar kewangan dan ekonomi negara. Malah Mahathir juga menuduh Pak Lah seperti menikam beliau dari belakang.

Saya sebagai generasi yang dibentuk oleh wawasan dan gaya kepimpinan Mahathir selama 22 tahun pemerintahannya berasa cukup sedih dan pilu apabila membaca di akhbar masih ada lagi seperti sikap tidak puas hati Mahathir terhadap Pak Lah. Generasi sebaya dengan saya adalah sebenarnya produk impian Mahathir kerana kami telah mengalami dan merasai wawasan beliau sejak tahun 1981, iaitu apabila tamat zaman persekolahan dan menempuh alam pendidikan tinggi, proses pendewasaan dan mengambil sedikit erti limpahan ekonomi untuk memajukan diri dan menaikkan martabat Melayu dalam sektor ekonomi.

Sesungguhnya saya hampa apabila Mahathir yang saya anggap seperti mentor dalam kehidupan saya, telah mula menunjukkan ketidakpuasan secara terbuka terhadap gaya kepimpinan Pak Lah. Mengapakah beliau tidak menggunakan saluran bersemuka secara peribadi?. Adalah agenda tersembunyi disebalik kenyataan beliau ini?. Adakah terdapat golongan yang menghasut beliau untuk mengkritik Pak Lah secara terbuka?. Atau adakah beliau masih ingin berkuasa lagi dalam kerajaan?.

Kita tidak mahu Mahathir menjadi seperti Lee Kwan Yew yang masih menjadi menteri kanan dan duduk di dalam jemaah kabinet walaupun sudah bersara menjadi Perdana Menteri Singapura. Banyak keputusan dan proses pembangunan Singapura masih lagi dibawah pengaruh Kwan Yew. Akibatnya rakyat Singapura menunjukkan protes mereka melalui pilihan raya umum baru-baru ini. Walaupun PAP menang dengan selesa, tetapi jumlah undi popular jatuh teruk gara-gara golongan muda tidak suka lagi Kwan Yew mencampuri ehwal politik Singapura.

Mahathir perlulah mengakui hakikat bahawa beliau kini telah menjadi rakyat biasa seperti kita semua. Walaupun negara kita mengamalkan kebebasan bersuara di kalangan rakyatnya, tetapi sedarilah beliau masih mendapat tempat teristimewa dikalangan seluruh rakyat biasa. Masakan rakyat biasa boleh mengeluarkan kritikan terbuka terhadap Perdana Menteri yang disiarkan disemua media cetak di seluruh negara?. Jika di zaman beliau kenyataan ini dikeluarkan, apa agaknya akan terjadi kepada orang yang mengeluarkan kenyataan seperti ini?.

Saya tidak ada hak untuk menasihatkan seorang negarawan yang terbilang, apa tah lagi yang saya anggap seperti bapa saya sendiri. Suara saya adalah suara kerdil rakyat biasa yang lebih banyak memerhati tindak tanduk pemimpin negara melalui saluran media dan pembacaan. Pada pendapat saya gaya kepimpinan Pak Lah masih diperingkat mengukuhkan kekuatan akar tunjangnya supaya tidak rebah apabila dilanda badai. Kita sebagai rakyat disekelilingnya harus menyokong disekeliling pokok tersebut supaya akar tunjang dan batang pokok dapat bertaut bersama untuk tegak berdiri sebagai teraju yang akan memayungi kita semua apabila pokok hidup subur dan daun yang lebat meneduhkan kita.

Komen dan kritikan membina adalah juga penyumbang kepada kejayaan sesuatu kerajaan atau organisasi. Tetapi jika komen atau kritikan yang berunsur seperti mengungkit-ungkit adalah tidak baik sama sekali. Saya mengagumi Mahathir sehinggakan teks ucapan beliau bertajuk " Melayu Mudah Lupa" di Persidangan Agung UMNO 2001 masih saya simpan sehingga kini. Buku-buku karya beliau seperti Dilema Melayu, Kebangkitan Semula Asia, Menghadapi Cabaran dan Jalan Ke Puncak, menjadi koleksi perpustakaan mini saya. Bila diamati komen beliau terhadap kerajaan bermula dari krisis Proton sehinggalah ke isu Jambatan Tambak Johor, saya dapat merasakan ia seperti bertentangan dengan luahan pemikiran beliau di dalam karya bentuk penulisannya.

Walaupun Mahathir terkenal di seluruh dunia dengan kelantangan beliau bersuara dan kritikan pedas beliau terhadap sesuatu isu, kali ini ia amat berbeza sekali semasa beliau menjadi Perdan Menteri. Kritikan kali ini agak istimewa dan mengundang pelbagai kontroversi kerana beliau mengkritik penggantinya kenapa tidak mengotakan janjinya untuk mengekalkan segala keputusan yang telah di buat oleh kerajaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Seolah-olah seperti melaksanakan apa yang beliau(Mahathir) rancangkan sebelum ini tanpa bantahan walau apapun yang terjadi.

Bagi saya isu Jambatan Johor dan Proton misalnya, adalah kecil jika dibandingkan dengan kesungguhan Pak Lah tanpa prejudis untuk menyambung dan merealisasikan impian dan wawasan utama Mahathir sendiri iaitu Wawasan 2020. Pada pandangan saya isu jambatan dan Proton lebih bersifat kepentingan peribadi yang mengatasi kepentingan negara. Pak Lah dan jemaah kabinetnya sudah tentu membincangkan isu jambatan ini dengan sehalus-halusnya dan keputusan yang dibuat adalah keputusan kata sepakat seluruh jemaah kabinet. Sudah tentulah ia mengambil kepentingan negara mendahului kepentingan peribadi.

Inilah bezanya kritikan Mahathir sekarang daripada dahulu semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Kritikan beliau sekarang lebih menjurus kepada serangan peribadi kepada Pak Lah. Seolah-olah Mahathir mahu mangajar Pak Lah bagaimana cara menunaikan janji atau lebih tepat lagi bagaimana cara untuk memerintah negara.

Setiap Perdana Menteri semestinyalah mempunyai gaya kepimpinan yang tersendiri. Tidakkah Mahathir teringat bagaimana beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Almarhum Tun Hussien Onn dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, jika hendak diungkitkan kedudukan Pak Lah yang bernombor dua dalam Naib Presiden UMNO?. Adakah Mahathir berkedudukan nombor satu dalam Naib Presiden UMNO semasa Almarhum Tun Hussien melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu?.

Itu sebabnya saya masih lagi membaca ucapan Mahathir yang bertajuk Melayu Mudah Lupa sebagai pedoman kepada diri saya sendiri agar tidak lupa siapa saya yang sebenarnya dan asal usul saya. Tidak semestinya kita mahukan apa yang kita rancangkan mesti diikuti 100 peratus oleh pengganti kita. Secara sukarela penyerahan jawatan telah dilakukan, adalah tidak molek untuk mengungkit-ungkit segala janji yang telah termetri antara mereka berdua. Tidak molek juga janji itu diceritakan kembali kepada umum apabila dituduh janji tidak ditepati.

Janganlah Mahathir menganggap beliau masih berkuasa lagi. Dan jangan pula menganggap tanpa beliau Pak Lah tidak menjadi Perdana Menteri dan seolah kenyataan beliau semalam semacam sudah silap perkiraan pada Mahathir melantik Pak Lah. Perkara sudah pun berlalu dan berlaku. Apakah dengan ketidak puasan segelintir janji yang tidak dipatuhi menyebabkan pincang segala-galanya. Bagi saya itu satu pemikiran yang tidak profesional dan mengungkit-ungkit perkara-perkara tertentu adalah sebenarnya DILEMA MELAYU yang ditulis sendiri oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1970 dulu.

Saya menghulur ampun dan maaf kepada Mahathir jika tulisan saya ini disiarkan oleh akhbar dan di baca oleh beliau. Tujuan saya adalah untuk mengingatkan diri saya sendiri agar sentiasa menghormati pemimpin yang dipilih oleh parti dan rakyat. Rasa hormat perlu ada walaupun berbeza pendapat, kerana budaya kita telah mengajar kita berpelakuan seperti begitu.



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

No comments: