WAKIL RAKYAT TUNJUK KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
Seminggu yang lalu, banyak persoalan dan cadangan ditimbulkan mengenai penambahbaikan sistem pentadbiran awam negara seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri. Jelas menunjukkan Perdana Menteri begitu tegas untuk memastikan penjawat awam berkhidmat dengan penuh didikasi dan berdisiplin.
Wakil rakyat Barisan Nasional adalah juga dikategorikan sebagai penjawat awam kerana mereka dibayar gaji dan elaun untuk berkhidmat sebagai penggubal dasar dan perundangan disamping sebagai agen kerajaan untuk menyampaikan dasar dan kempen kerajaan kepada rakyat yang mereka wakili.
Kita juga digemparkan dengan gelagat ahli parlimen ketika perbahasan di Dewan Rakyat. Lebih menariknya gelagat ini adalah daripada wakil rakyat kerajaan sendiri. Tidak kurang juga dengan kegemparan perbahasan di Parlimen yang membabitkan dua pihak kerajaan. Satu pihak sebagai ahli parlimen tanpa jawatan di kabinet dan satu lagi kumpulan adalah ahli parlimen yang berjawatan di dalam kabinet.
Sedutan perbahasan telah disiarkan di TV3 dan RTM yang ditonton oleh berjuta rakyat Malaysia. Persoalan yang timbul ialah gelagat segelintir ahli parlimen yang membahaskan sesuatu isu dengan nada yang tidak bersopan dan terkeluar dari konsep nilai murni ketimuran.
Beberapa tahun sebelum ini perbahasan seperti ini hanya melibatkan pihak pembangkang yang mengkritik dengan keras pihak kerajaan di Dewan Rakyat.
Apabila Perdana Menteri memberi lampu hijau kepada ahli parlimen Barisan Nasional bahawa mereka boleh menegur kerajaan di parlimen dan berbahas dengan sifat yang terbuka, sesungguhnya mendapat pujian daripada rakyat jelata.
Sebaliknya apa yang berlaku sekarang ialah wakil kerajaan dengan lantangnya mengkritik kerajaan dengan nada bahasa yang tidak sopan di dengar. Anak-anak muda yang menonton gelagat ahli parlimen di tv tertanya-tanya beginikah cara ahli parlimen kerajaan berbahas?. Malah anak saya sendiri pernah bertanya wakil rakyat yang tertentu itu penyokong kerajaan atau pembangkang?
Rakyat mahukan wakil mereka menunjukkan sifat kepimpinan melalui teladan dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Wakil rakyat dianggap sebagai wakil kerajaan di tempat mereka. Di kawasan luar bandar, rakyat meletakkan sesiapa sahaja yang menjadi wakil rakyat sebagai 'role model' mereka sehinggakan soal peribadi wakil rakyat diambil peduli oleh masyarakat kampung.
Perbahasan yang bernas dengan penghujahan yang berfakta dan bernilai sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat. Memang betul wakil rakyat adalah wakil kepada suara dan masalah rakyat di bawahan untuk disampaikan di parlimen. Tetapi perbahasan dengan menggunakan bahasa yang kasar dan tidak berbudi bahasa sesungguhnya memalukan terutama orang Melayu.
Wakil rakyat bukan Melayu pula yang dapat kita lihat teratur susun bahasanya dan bersopan santun. Malah ada seorang wakil rakyat veteran pembangkang begitu tertib mengemukakan soalan walaupun isu yang dibangkitkan oleh beliau itu boleh dibuat dengan nada suara kemarahan. Namun begitu ada juga wakil rakyat pembangkang yang berbahas dengan nada yang kurang sopan.
Apabila timbul gelagat wakil rakyat kerajaan seperti ini, seolah-olah menunjukkan pihak menteri lebih takut untuk berbahas dengan penyokong kerajaan daripada wakil pembangkang. Mana tidaknya sehinggakan ada menteri yang ditegur dengan kasar supaya keluar dewan semata-mata isu pakaian rasmi yang wajib dipakai di Parlimen.
Gangguan perbahasan dengan soalan tambahan yang remeh seperti pakaian menteri menjadi tajuk perbahasan utama adalah amat menyedihkan. Penyokong kerajaan tersebut seperti tidak tahu pakaian yang di pakai oleh menteri tersebut telah diluluskan oleh kabinet. Malah di bulan Februari yang lalu semua akhbar arus perdana telah menyiarkan contoh pakaian altenatif kakitangan kerajaan itu.
Rakyat berharap wakil mereka di Parlimen akan akan berkerja dengan lebih kuat seperti kuatnya mereka bersuara di Parlimen. Timbalan Perdana Menteri pernah menegur wakil rakyat kerajaan jangan hanya hebat di dewan perbahasan tetapi tanggungjawab di kawasan terabai.
Kita tidak mahu mempunyai wakil rakyat yang hanya pandai bercakap tetapi tidak cekap membuat kerja. Dalam tempoh pertengahan Penggal Parlimen yang Kesebelas ini, yang saya anggapkan tempoh 'honeymoon year' wakil rakyat kerana pilihan raya yang akan datang mungkin pada tahun 2009, kita berharap dalam masa tempoh 'bertenang' ini wakil rakyat perlulah lebih mendekati pengundi dan rajin melawat kawasan. Jangan tunggu apabila hampir pilihan raya baru nampak kelibat wakil rakyat di kawasan.
Zaman sekarang tidak sama seperti zaman wakil rakyat tahun70-an atau 80-an. Rakyat sekarang lebih cerdik dan peka terhadap segala perkara dan isu tempatan. Rakyat tidak lagi menganggap wakil rakyat sebagai satu jawatan yang perlu dimegahkan dan batu loncatan untuk meraih kekayaan. Mentaliti rakyat sekarang ialah penjawat jawatan wakil rakyat mestilah bertepatan dengan nama jawatan itu sendiri.
Gelagat wakil rakyat sekarang sudah menjadi bahan cerita di kedai kopi. Rakyat boleh menonton di tv, membaca di akhbar dan melayari laman web parlimen untuk menilai dan 'counter check' wakil rakyat masing-masing.
Apabila wakil rakyat ditegur oleh penyokong dan pengundi mengenai prestasi kerja dan komitmennya terhadap rakyat, jangan lah pula cepat melenting dan menyenaraihitamkan pihak yang menegur itu. Wakil rakyat perlu bersifat terbuka di dalam menghadapi tugas harian. Jika mereka boleh menegur kerajaan di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, masakan tidak boleh rakyat menegur mereka pula.
Di dalam menghadapi Abad ke-21 dan untuk menjayakan RMK-9, wakil rakyat harus bertugas dengan sepenuh masa untuk merealisasikan harapan Perdana Menteri melalui Misi Nasional. Kita memang mengetahui ada wakil rakyat yang mempunyai perniagaan sendiri. Seeloknya wakil rakyat tersebut janganlah berniaga untuk mengelakkan sangkaan buruk pengundi sendiri. Ini boleh mengelakkan perbuatan yang menjurus kepada rasuah dan berkepentingan diri sendiri.
Seluruh rakyat menaruh harapan agar penjawat awam yang bernama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri agar berkhidmat dengan penuh dedikasi, cemerlang, jujur dan amanah. Konsep Mesra Rakyat biarlah yang membawa maksud wakil rakyat turun padang bermesra dengan rakyat, dan bukannya rakyat yang terhegeh-hegeh untuk mendapatkan kemesraan dengan wakil rakyat.
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/
No comments:
Post a Comment