Friday, June 30, 2006

WAJARKAH WAKIL RAKYAT BERNIAGA ?

WAJARKAH WAKIL RAKYAT BERNIAGA ?

Wakil rakyat adalah bermaksud seorang yang menjadi Ahli Parlimen di peringkat Persekutuan dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

Umum mengetahui seorang wakil rakyat yang memegang jawatan sebagai Menteri Besar, Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen adalah tidak dibenarkan menurut undang-undang mempunyai kepentingan dan memiliki syarikat perniagaan dengan alasan ia akan mengganggu kedudukan mereka sebagai eksekutif di peringkat kerajaan disamping untuk mengelakkan unsur salah guna kuasa dan unsur rasuah di dalam menjalankan tugas.

Kenyataan dan pengakuan Ahli Parlimen Jasin sebenarnya menarik perhatian seluruh rakyat di negara ini. Yang jelas ekoran daripad akenyataan beliau itu ialah wakil rakyat boleh berniaga dan mempunyai syarikat. Lebih menarik lagi ianya dibenarkan dan tiada undang-undang yang menyatakan wakil rakyat selain berjawatan seperti yang disebut di atas tidak boleh berniaga.

Kedudukan Ahli Parlimen Jasin ini biarlah pihak yang berkuasa dan pucuk pimpinan Barisan Nasional menentukannya. Sebagai orang biasa, kita hanya boleh tunggu dan lihat sahaja perkembangan paling menarik di Dewan Rakyat ketika ini.

Pada pandangan rakyat biasa yang sekarang ini semakin 'celik dan prihatin berpolitik', ramai yang tidak tahu bahawa wakil rakyat biasa boleh berniaga. Justeru itu bermacam-macam ulasan dan pandangan dikemukakan semasa 'sesi perbahasan di kedai kopi'. Setidak-tidaknya pelbagai cerita dan gelagat ahli parlimen di Dewan Rakyat sudah menarik minat orang ramai untuk turut serta 'berbahas'. Suatu perkembangan yang baik dari segi percambahan minda dan bertukar-tikar pendapat sebenarnya.

Fenomena wakil rakyat berniaga dan mempunyai syarikat perniagaan sebenarnya bukanlah perkara baru. Ramai wakil rakyat sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, mempunyai pendapatan selain daripada elaun wakil rakyat. Ada wakil rakyat yang masih aktif di firma guamannya terutama pembangkang, klinik perubatan, perunding kejuruteraan malah ada yang mempunyai restoran dan perniagaan perbekalan ke jabatan kerajaan.

Adakah wajar wakil rakyat berniaga?. Adakah kedudukan wakil rakyat 'business by profession' dibenarkan seperti peguam, doktor dan jurutera?. Manakala wakil rakyat yang mempunyai perniagaan seperti perkhidmatan, makanan, dan trading diperlekehkan dan satu kesalahan besar kerana berniaga?

Adakah wakil rakyat yang menjalankan perniagaan trading atau agen perkhidmatan didapati 'bersalah' dan tidak beretika sebagai ahli parlimen apabila didakwa mengganggu kakitangan kerajaan menjalankan tugas apabila beliau dapati perniagaannya merosot dan didakwa menyalahi peraturan dan beliau merayu kepada pegawai kerajaan untuk tidak dikenakan tindakan bagi pihak rakan perniagaannya?.

Adakah perkara ini berbeza dengan seorang wakil rakyat yang mempunyai firma guaman sendiri, membela anak guamnya yang didakwa merasuah pegawai kerajaan?. wakil rakyat 'by profession' itu akan bermati-matian berhujah bahawa anak guamnya tidak bersalah walaupun pendakwa mempunyai cukup bukti.

Wakil rakyat tersebut merayu kepada penjawat awam iaitu hakim mahkamah agar tidak menjatuhkan hukuman maksimum terhadap anak guamnya yang bersalah kerana beliau mengharapkan bayaran daripada anak guamnya akan lebih tinggi jika hukuman diringankan. Apakah tindakan wakil rakyat yang juga seorang peguam ini dianggap tidak menyalahi Hak Dan Kebebasan Ahli Parlimen kerana beliau seorang 'business by profession'?.

Terdapat 'double standard' terhadap wakil rakyat yang berniaga. Apakah wakil rakyat didapati mengganggu tugas kakitangan kerajaan dan merayu diringankan denda atau kompaun terhadap perniagaan yang beliau juga ada kepentingan transaksi perniagaan itu dianggap menyalahi Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen kerana wakil rakyat itu bukan 'business by profession'?.

Bagaimana pula wakil rakyat yang juga seorang jurutera yang mempunyai firma perunding kejuruteraan yang sedang merangka satu projek kerajaan?. Tidakkah mereka boleh memberi maklumat kepada kontraktor yang akan menjadi petender projek tersebut?.

Ini belum dikira berapa ramai wakil rakyat menjadi lembaga pengarah syarikat kontraktor binaan dan bersaing di dalam tender projek pembangunan di kawasan mereka sendiri. Tidakkah mereka juga menggunakan kuasa yang ada untuk mendapatkan maklumat daripada pegawai kerajaan dengan alasan membantu pengundi kawasan pilihan rayanya.

Jika benar ada ura-ura untuk mengadakan kod etika ahli parlimen oleh pihak kerajaan, ia amatlah dialu-alukan. Setidak-tidaknya dapat diperjelaskan bentuk perniagaan macamana yang dibenarkan dan urusan perniagaan bagaimana yang tidak dibenarkan.

Pada saya sama ada wakil rakyat itu di pihak kerajaan atau pembangkang adalah sama sahaja apabila khidmat mereka diperlukan untuk membantu penduduk kawasan mereka yang juga pengundi mereka. Jika tidak dibantu, mungkin akan menjadi satu isu pula semasa kempen pilihan raya. Walaupun khidmat bantuan berurusan dengan pegawai kerajaan itu melibatkan juga transaksi dan hubungkait perniagaan mereka, wakil rakyat seperti ini seolah-olah 'terpaksa' untuk membantu.

Agak keras jika ada cadangan wakil rakyat tidak dibenarkan berniagaa jika dimasukkan ke dalam draf kod etika wakil rakyat. Wakil rakyat terutamanya peguam paling lantang menolak cadangan seperti ini. Alasannya sudah tentulah mereka ini akan berkata ia akan menyekat hak kebebasan dan tenaga profesional mereka.

Pada pandangan saya, eloklah wakil rakyat tidak melibatkan diri di dalam apa juga jenis perniagaan. Banyak sebab saya berkata demikian. Pertamanya, wakil rakyat akan kurang memberi tumpuan kepada kawasan dan pengundi masing-masing jika sibuk dengan urusan perniagaan mereka. Kedua, untuk mengelakkan tohmahan daripada pengundi mereka sendiri. Ketiga, supaya perkhidmatan sebagai wakil rakyat itu lebih telus dan tidak berat sebelah. Dan keempat, untuk menjamin wakil rakyat itu menang lagi jika dicalonkan semula di pilihan raya yang akan datang.

JIka tidak, para wakil rakyat pilih lah antara satu. Sama ada hendak berniaga atau menjadi wakil rakyat sepenuh masa. Jika hendak berniaga juga, buat-buatlah seperti rakyat tidak tahu, seperti 'tutup sebelah mata' atau pun 'tutup kedua-dua belah mata'.

Hakikatnya, anda adalah wakil kepada rakyat yang dipanggil 'Yang Berhotmat'. Jika tiada anda, kepada siapakah kami hendak mengadu dan menagih khidmat cemerlang anda.


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: