SELOKA TANAH RUNTUH
Bagai tidak belajar daripada pengajaran, dan seperti mudah melupakan sejarah. Inilah yang terjadi apabila tragedi berulang kembali. Hendak salahkan siapa, jika Tuhan sudah turunkan duka nestapa.
Apa yang penting selepas ini, kita perlu bersama-sama saling ingat mengingati terhadap peristiwa yang menimpa. Kepada pihak yang mempunyai kuasa, jalankanlah kuasa yang ada supaya tidak terleka.
Kepada sahabat kita yang berada di Jajaran Bukit Huku Klang mulai dari Taman Melawati sehinggalah ke Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya, rangkalah pelan kecemasan ataupun pengurusan krisis melalui persatuan penduduk masing-masing agar kita sentiasa berwaspada demi keselamatan dan masa depan keluarga kita.
Pendapat ahli akademik dan pakar dalam bidang geologi selalunya tidak dipandang apabila merangka sesuatu projek pembangunan. Akan tetapi pendapat golongan ini mendapat tempat seperti semut mengharung gula apabila sesuatu tragedi telah berlaku.
Inilah lumrah sebenarnya di negara kita. Apabila timbul sesuatu masalah, mulalah menuding kepada siapa punya salah. apakah kita menjadi hina jika kita mengaku salah?. Dan apakah lena tidur kita jika salah kita mengakibatkan orang ramai bermasalah.
Oleh kerana budaya kita terkini yang suka menyanyi dan berhibur, maka berselokalah kita mengikut si bangau ini.
Bangau oh bangau kenapa engkau pindah
macamana aku tak pindah, bukit sudah runtuh.
Bukit oh bukit kenapa engkau runtuh
macamana aku tak runtuh, tanah dah kena ceroboh.
Tanah oh tanah kenapa kau kena ceroboh
macamana aku tak ceroboh, pemaju nak buat rumah.
Pemaju oh pemaju kenapa kau nak buat rumah
Macamana aku tak buat, menteri dah beri lesen.
Menteri oh menteri kenapa beri lesen
macamana aku tak beri, negeri tak cukup rumah.
Negeri oh negeri kenapa tak cukup rumah
macamana tak cukup rumah, setinggan ramai sangat.
Setinggan oh setinggan kenapa kau ramai sangat
macamana aku tak ramai, rumah mahal sangat.
Rumah oh rumah kenapa kau mahal sangat
macamana aku tak mahal, barang dah naik harga.
Barang oh barang kenapa kau naik harga
macamana aku tak naik, tauke nak untung besar.
Tauke oh tauke kenapa nak untung besar
macamana tak untung besar, rasuah nak kena kira.
Rasuah oh rasuah kenapa nak kena kira
macamana aku tak kira, projek nanti kena tahan.
Projek oh projek kenapa kau nak kena tahan
macamana aku tak kena tahan, kerja tak ikut arahan.
Kerja oh kerja kenapa kau tak ikut arahan
macamana aku nak ikut, pegawai lembab sangat.
Pegawai oh pegawai kenapa kau lembab sangat
macamana aku tak lembab, mesyuarat banyak sangat.
Mesyuarat oh mesyuarat kenapa kau banyak sangat
macamana aku tak banyak, keputusan tak pernah ada.
Keputusan oh keputusan kenapa kau tak pernah ada
macamana aku nak ada, laporan pun tak lengkap.
Laporan oh laporan kenapa kau tak lengkap
macamana aku nak lengkap, arahan tak keluar lagi.
Arahan oh arahan kenapa kau tak keluar lagi
macamana aku nak keluar, bos pergi luar negeri.
Bos oh bos kenapa pergi luar negeri
macamana aku tak pergi, ini urusan rasmi.
Urusan oh urusan kenapa jadi rasmi
macamana tak jadi rasmi, memang resmi kami.........
Maaf jika tersinggung, kerana rakyat pening siapa hendak tanggung. Saya rakyat biasa, tiada harta tiada kuasa. Cuma berdoa kepada Yang Maha Esa, agar jangan lagi rakyat di beri seksa.
The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com
No comments:
Post a Comment