Friday, June 30, 2006

PIALA DUNIA : PELUANG UNTUK MELANGGAR UNDANG-UNDANG

PIALA DUNIA ; PELUANG UNTUK MELANGGAR UNDANG-UNDANG

Hampir tiga minggu Piala Dunia berlangsung yang pastinya disambut di seluruh dunia bagaikan pesta. Kejohanan empat tahun sekali ini sememangnya mendapat sambutan hangat di mana-mana sahaja di dunia ini. Suasana ini tidak terkecuali di negara kita.

Dalam keghairahan meraikan sukan nombor satu dunia ini, segelintir peniaga di negara kita juga tidak melepaskan peluang untuk memajukan perniagaan mereka selama sebulan temasya ini. Kita harus galakkan kerana kesempatan sebegini hanya ada empat tahun sekali.

Walaubagaimanapun kesempatan peniaga ini untuk melipatgandakan perniagaan mereka jangan sampai melanggar peraturan dan undang-undang yang sedia ada. Tidak bermakna disebabkan Piala Dunia mereka 'dihalalkan dan kebal sementara' untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Suasana di restoran dan warong yang meletakkan kerusi dan meja sehingga ke jalan raya dan menutup ruang tempat letak kereta sedah menjadi lumrah hampir tiga minggu ini. Alasan mereka pelanggan yang ramai ingin menonton siaran langsung dan perkara ini bukan selalu dilakukan.

Apakah selama sebulan Piala Dunia ini, pihak berkuasa tempatan memberikan kelonggaran dan pengecualian kepada pengusaha restoran dan warong untuk tidak dikenakan tindakan?.

Kerusi dan meja yang melimpah ruah itu telah mengganggu lalu lintas dan mengurangkan tempat letak kereta yang disediakan. Apa yang dilihat suasana di restoran tersebut tidaklah penuh sesak dengan pelanggan dan masih banyak lagi tempat kosong di dalam premis mereka.

Pusat hiburan seperti pub dan karaoke membuka perniagaan sehingga pukul 5 pagi. Contoh terbaik ialah di kawasan Bangsar dan Jalan P.Ramlee, Kuala Lumpur. Apakah pemilik perniagaan ini mendapat kebenaran khas untuk membuka premis mereka sehingga dini hari?. Pihak berkuasa perlulah memantau pusat hiburan ini kerana sebahagian besar penggunjung adalah golongan muda dan mereka ini akan pulang dengan pengaruh alkohol yang menguasai diri mereka. Ini akan membahayakan pengguna jalan raya yang lain apabila mereka memandu pulang dengan keadaan mabuk.

Yang menghairankan di waktu biasa sebelum demam Piala Dunia ini, boleh pula pengusaha pusat hiburan ini mematuhi peraturan yang ditetapkan, walaupun kadang-kadang mereka 'curi-curi' membuka perniagaan mereka sehingga subuh.

Lebih menyedihkan antara alasan yang diberikan ialah, pihak berkuasa pun sedang menonton siaran langsung, mana ada masa hendak melakukan operasi. Jika begini, peniaga berkenaan sememangnya cerdik dalam perniagaan dan mengaut untung berlipat kali ganda dalam tempoh sebulan ini.

Kita bukannya iri hati dengan perniagaan yang mereka jalankan, tetapi hakikatnya selagi ada peraturan dan undnag-undang, perlulah kita patuhi. Jika asyik hendak melanggar peraturan, apakah dunia ini mereka yang punya?.

Di pasar malam pula, jualan jersi pasukan yang bertanding di jual seperti goreng pisang panas, sungguh laris. Walaupun diketahui barangan tiruan yang di bawa dari Thailand, namun orang ramai tetap membelinya kerana murah jika hendak dibandingkan dengan original yang mencecah ratusan ringgit.

Penjualnya pila adalah warga Thailand sendiri yang berniaga secara terbuka tetapi bukan di petak yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Walaupun dibantah oleh peniaga tempatan lain, 'kekebalan' yang kita sendiri tidak tahu siapa yang memberinya, membuatkan peniaga asing terus menjual barangan paling hangat di pasaran sekarang.

Di sebuah restoran di tempat saya, orang ramai berjudi pertaruhan bola dengan secara terang-terangan. Walaupun ada yang berkata orang Cina tidak boleh lari dari judi, kerana sudah semacam budaya mereka, tetapi orang Melayu sendiri terikut-ikut gaya orang Cina dengan tidak segan silu membuat pertaruhan dengan rakan semeja mereka.

Lebih jijik lagi wang yang dipertaruhkan itu diletakkan di dalam gelas kosong yang diletakkan di atas meja dan seolah-olah mereka bangga berjudi di depan orang ramai. Apakah mereka ini sudah hilang pertimbangan sebagai orang Islam?. Apakah pada fikiran mereka selama sebulan ini, Islam juga 'menghalalkan' segala yang haram demi kerana bola sepak?.

Apa yang saya perkatakan ini bukanlah bermaksud saya anti bola sepak. Saya juga peminat Piala Dunia yang sedang berlangsung sekarang. Cuma gaya kita yang suka mengikut-ngikut budaya orang luar yang menjurus kepada sikap terlampau fanatik. Akhirnya tidak kemana arah tujuan. Yang pasti wang banyak dihabiskan bagi mereka yang suka berjudi dan minum arak.

Walaupun negara kita berbilang bangsa dan agama, tiada satu pun agama yang berkata arak itu halal disisi agama mereka. Rakan saya di Sibu, Sarawak, memberitahu pada malam minggu yang lalu ditayangkan siaran langsung bola sepak melalui skrin besar di tempat awam. Yang menyedihkan pihak penganjur menyediakan beberapa gerai menjual arak secara terbuka di tempat awam. Apakah tidak salah menjual arak di tempat awam?.

Beginilah suasana pesta meraikan Piala Dunia yang berlaku sekarang. Terfikir juga dalam keadaan negara kita tidak bertanding di Piala Dunia, bermacam-macam cara kemeriahan digunakan untuk meraikannya sehingga boleh melanggar undang-undang. Bayangkanlah jika negara kita bertanding di Piala Dunia, tentukah berlipat kali gandanya suasana kemeriahan.

Yang penting, walaupun seluruh negara di landa demam bola sepak, pihak yang berkuasa teruskanlah juga memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dari Piala Dunia ini untuk melanggar undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

__________________________________________________
Anda Ber-Yahoo!?
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! mempunyai perlindungan spam yang paling baik
http://my.mail.yahoo.com

No comments: