Friday, June 30, 2006

DILEMA PBT : IKUT ARAHAN PUSAT ATAU NEGERI ?

DILEMA PBT : IKUT ARAHAN PUSAT ATAU NEGERI ?

Sekarang ini di negara kita terdapat sejumlah 149 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ia merangkumi 9 majlis bandaraya, 34 perbandaran, 100 daerah, 2 lembaga kemajuan, 2 PBT dan 2 perbadanan. Kesemua ini terletak di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga kuasa Kerajaan Negeri.

PBT merupakan satu agensi kerajaan yang terpenting di negara ini. Struktur pentadbiran kerajaan di Malaysia meliputi tiga peringkat iaitu, persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan atau PBT. Pada tahun 50an dan 60an, PBT mempunyai pilihan raya tempatan untuk memilih ahli majlis yang mewakili dan mentadbir kerajaan tempatan.

Umum mengetahui pentadbiran PBT di seluruh negara adalah peringkat kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Ini disebabkan segala perkhidmatan yang melibatkan urusan harian rakyat adalah melibatkan PBT. Contohnya perlesenan, penilaian, perancang bandar, kemudahan awam, bangunan sewaan, pengiklanan dan cukai taksiran.

Perkara utama yang kadang-kadang memeningkan kepala pegawai dan kakitangan PBT ialah pertindihan kuasa di antara pusat dan kerajaan negeri. Banyak persoalan, isu dan kes yang melibatkan pertindihan kuasa dan kerenah birokrasi antara dua peringkat kerajaan ini.

Masalah terkini seperti tapak pelupusan sampah, pencemaran alam sekitar, kenaikan kadar cukai taksiran, perlesenan dan gejala sosial telah melibatkan dasar dan arahan siapa yang perlu diikuti. Kekalutan ini menunjukkan kelemahan sistem pentadbiran kerajaan sendiri di mana banyak sangat kerenah dan halangan untuk mengatasi masalah.

Yang menjadi mangsa ialah rakyat sendiri. Bagi yang tidak memahami struktur organisasi pentadbiran kerajaan, mereka akan menuding jari kepada kerajaan secara umum, tanpa mengira kerajaan pusat, negeri atau kerajaan tempatan.

Dengan mengambil kira Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) di KPKT yang merupakan suatu jabatan yang kecil untuk memantau 149 PBT dan berpuluh akta, undang-undang kecil, enakmen dan peratura-peraturan yang diterimapakai oleh semua PBT, seharusnyalah JKT diasingkan daripada KPKT.

Mungkin boleh diwujudkan sebuah kementerian baru yang lebih berkuasa dan wibawa untuk mengawal dan mentadbir semua PBT. Secara tidak lanngsung dapat memusatkan kuasa kepada satu pentadbiran sahaja. Dicadangkan kuasa kerajaan negeri diserapkan kepada kementerian baru ini.

KPKT sekarang ini hanya dilihat pemegang dan penyampai dasar kerajaan persekutuan melalui arahan dan surat pekeliling sahaja. Banyak arahan KPKT tidak diambil serius oleh PBT kerana mereka lebih rapat dan takut kepada kerajaan negeri. Contohnya kegagalan kempen Kitar Semula yang dilancarkan beberapa tahun dahulu oleh kerajaan persekutuan.

Sifat PBT itu sendiri yang berdiri atas kapasiti nama 'kerajaan tempatan' sudah menunjukkan mereka ada kuasa tersendiri. Lantikan kakitangan dan autonomi kewangan (financial autonomous) jelas menunjukkan kuasa yang ada oleh PBT berbanding dengan jabatan kerajaan yang lain. PBT boleh melantik sendiri kakitangan mengikut keperluan sama ada bertaraf sementara, kontrak atau tetap. Mereka mempunyai kuasa kerana gaji kakitangan dibayar sendiri oleh PBT.

Hasil seperti cukai taksiran, bayaran sewa dan perlesenan dimiliki oleh PBT tanpa menghantar ke pihak negeri atau pusat. Ini berbeza dengan Jabatan Polis misalnya, yang mengutip bayaran kompaun dari orang ramai, dan kutipan itu wajib dimasukkan ke akaun Akauntan Negara. Segala perbelanjaan Polis mestilah dipohon dan mengikut belanjawan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Perlantikan Ahli Majlis ditentukan oleh kerajaan negeri. Walaupun senarai ahli majlis perlu mendapat kelulusan daripada KPKT, namun penentuan siapa yang layak menjadi ahli majlis banyak dipengaruhi oleh kerajaan negeri. Difahamkan sekarang ini lantikan ahli majlis berdasarkan kuota komponen Barisan Nasional di kawasan PBT.

Ini menyebabkan ramai ahli majlis yang tidak berwibawa untuk mentadbir PBT. Ada terdapat seorang kerani di agensi kerajaan menjadi ahli majlis di PBT atas kapisitinya sebagai ketua bahagian sebuah parti politik. Kurangnya tenaga profesional di dalam ahli majlis menyebabkan reputasi PBT menjadi semuhan orang ramai.

Kerajaan sepatutnya melantik Jurutera Daerah JKR, JPS, Ketua Polis Daerah dan Ketua Bomba Daerah (sebagai contoh) sebagai ahli majlis di setiap PBT. Ini penting untuk koordinasi dan kerja sepasukan pengurusan PBT sebagai menigkatkan imej dan kredibiliti PBT itu sendiri.

Dalam konteks penyampaian arahan dan dasar, PBT lebih menjurus kepada arahan kerajaan negeri dari kerajaan pusat. Banyak sebab mengapa ia berlaku. Antaranya kedudukan geografi PBT itu sendiri yang bernaung di negeri kecuali Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Peruntukan berupa geran tahunan dan geran pembangunan kerajaan negeri kepada PBT telah mewujudkan banyak PBT memihak kepada kerajaan negeri.

Contoh terbaik apabila timbul masalah tempat pelupusan sampah di Selangor. Tapak pelupusan sampah di Bukit Tagar adalah pojek penswastaan antara KPKT dan Berjaya-KUB Enviro Sdn Bhd. Apabila kerajaan negeri Selangor menutup beberapa tempat pelupusan sampah, arahan dikeluarkan supaya lori sampah membuang sampah di Bukit Tagar. Oleh kerana pengurusan tidak boleh berkompromi mengenai harga bayaran sampah, walaupun sampah dikutip oleh PBT, kerajaan negeri mengarahkan membunag sampah di Air Hitam Pucong. Tapak pelupusan sampah Air Hitam adalah milik anak syarikat kerajaan negeri.

Adalah menjadi harapan rakyat agar PBT di seluruh negara diperkasakan lagi dengan tujuan meningkatkan lagi kepercayaan dan hormat orang ramai terhadap PBT. Mungkin selepas ini ada suatu had kuasa secara bertulis antara kerajaan persekutuan dan negeri terhadap PBT.

Kita tidak mahu PBT menjadi tali yang disorong tarik antara pusat dan negeri. Akibatnya kakitangan PBT bercelaru arahan siapa yang perlu diikut.
Kesannya, rakyat yang dahagakan perkhidmatan berkualiti teraniaya.



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

No comments: