STESEN TV RAIH KEUNTUNGAN PERALATKAN GOLONGAN MUDA
Minda, sikap dan diri orang Melayu sekarang ini sudah mula dijajah oleh cendikiawan stesen TV yang lebih mementingkan keuntungan semata-mata. Rata-rata yang menjadi pelangan dan sasaran mereka adalah golongan muda Melayu. Perkembangan ICT sememangnya banyak kebaikan dan telah terbukti berjaya mengubah corak kehidupan dan pekerjaan seharian dengan penyaluran maklumat dengan lebih pantas, mudah dan terkini.
Penjajahan kebendaan, populariti, kesenangan, dan kepentingan diri sudah mula menular ke jiwa anak muda. Nilai kehidupan sebenarnya sudah diperhambakan oleh wang. Diri kita sekarang ini sudah bersifat terlalu tunduk dengan faktor wang.
Cerdik pandai di dalam perniagaan stesen TV sebenarnya telah mengambil kesempatan akibat diri kita sendiri yang leka dengan peralatan teknologi canggih dan terkini untuk menggalakkan lebih ramai lupa siapakah dirinya yang sebenar.
Tidaklah bermaksud kita anti kemajuan atau masih hendak mengamalkan pendekatan purba dalam kehidupan seharian. Cuma kita kena berfikir dengan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah agar kemajuan teknologi ini menjurus kepada kemajuan diri tanpa menggugat minda dan sikap kita. Telah wujud sindrom pemilik stesen TV yang mempergunakan ICT untuk melekakan manusia.
Lebih tepat lagi mereka ini sudah mengkaji keburukan dan kelemahan orang Melayu dan atas faktor inilah mereka mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan dengan kecanggihan ICT sebagai peralatan utama mereka. Mingkin kita tidak sedar bahawa penyangak perniagaan ini adalah orang Melayu sendiri yang menyedari kelemahan kaumnya dan faktor kelemahan inilah diperdagangkan untuk mencapai keuntungan dan impian kekayaan mereka.
Perlulah ada kejujuran dalam menjalankan perniagaan. Janganlah mengambil kesempatan daripada kelemahan minda dan nafsu golongan muda, maka dipergunakan mereka ini sebagai sasaran perniagaan. Dengan disogokkan dengan hiburan, provokasi yang melawan kehendak majoriti, persoalan cinta dan yang lebih menakutkan lagi ialah menyanggah adat sopan, tertib dan budi bahasa kita sebagai orang Melayu.
Kelenaham orang Melayu yang suka kepada hiburan, gemar mengumpat, panas baran dan pantang dicabar sebenarnya telah dipergunakan oleh golongan ini. Mereka sebenarnya telah membuat kajian yang teliti dan terperinci tentang kelemahan kaumnya sendiri dan tidak hairanlah mereka ini juga telah mengkaji pandangan penjajah Barat dahulu tentang kelemahan orang Melayu.
Golongan ini sebenarnya telah melalaikan orang muda Melayu yang boleh mengakibatkan pada jangka panjang akan meranapkan bangsa Melayu. Disogokkan dengan rancangan hiburan bercorak realiti TV seperti Akademi Fantasia yang membuatkan kita leka dan lalai diulit fantasi yang bakal mengalpakan bangsa dan wabak yang menjalar dan memungkinkan verubah sikap dan mentaliti orang Melayu.
Golongan muda yang masih rapuh jati diri dan semangatnya dihidangkan dengan rancangan hiburan yang merangsangkan mereka meluahkan perasaan melalui SMS. Kebanyakan anak muda ini masih lagi di bawah tanggungan ibu bapa. Malah yang sudah bekerjapun masih baru lagi dan berilah peluang mereka untuk menyimpan wang untuk masa depan mereka.
Anak muda ini akan khayal dibuai mimpi indah kerana tidak pernah merasa susah. Kita takut nanti penjajahan bentuk baru yang bertoprngkan perniagaan akan mengawal minda anak Melayu yang akhirnya memusnahkan identiti bangsa Melayu.
Timbul pula baru-baru ini bentuk perniagaan yang rata-rata membabitkan golongan muda untuk turut serta dalam percaturan cendikiawan perniagaan untuk memilih pemain bola sepak My Team hasil daripada rancangan realiti TV untuk menentang pasukan kebangsaan.Memang benar tujuan di atas kertas ialah untuk mencari dan melahirkan bakat baru dalam sukan bola sepak.
Hakikatnya Khairy Jamaluddin dan rakan niaganya Jason Lo, adalah semata-mata bermotifkan perniagaan dengan menggunakan pengaruh yang ada untuk mendapatkan lambakkan penaja daripada syarikat multinasional negara dengan dipergunakan golongan muda sebagai "penyumbang keuntungan" mereka.
Jika mereka ikhlas, kenapa mesti dikenakan bayaran untuk menyaksikan perlawanan di stadium sedangkan tajaan sudahpun mencecah jutaan ringgit?. Apa perlunya undian SMS untuk menarik minat golongan muda sedangkan acara ini untuk memilih pemain bola sepak dan bukannya paras rupa?. Apa perlunya menentang pasukan kebangsaan?. Seakan dilihat mencari populariti dan dengan ditambah semangat provokasi membenci pasukan kebangsaan melalui penaja siaran rasmi TV3.
Yang menjadi mangsa ialah anak-anak muda yang tidak semena-mena membenci pasukan kebangsaan sendiri. Tanpa segan silu di hadapan pemimpin negara yang menonton perlawanan tersebut, pasukan negara dilimpahkan dengan kata-kata kesat dan cacian. Budaya seperti inikah yang hendak dilahirkan di masa depan?
Hasilnya penganjur mendapat untung, anak-anak muda diperalatkan dan maruah negara tercalar gara-gara gelojoh peniaga yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan kesannya kepada sukan negara. Jika benar usaha untuk melahirkan pemain bola sepak hegara yang handal, mengapa tidak ditaja sahaja pemain yang berbakat ini untuk di jual beli dengan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia?.
Transaksi perniagaan sebegini lebih jujur sebenarnya tanpa mempergunakan dan seolah-olah memperbodohkan anak-anak muda. Persoalan juga timbul kemana pula arah tujuan pemain pasukan My Team selepas ini?
Percaturan perniagaan yang singkat ini nampaknya berjaya kepada penganjur. TV3 sebagai sebagai media rasmi turut mengikut rentak dengan pelbagai provokasi supaya penonton menghantar SMS seperti "siapa menang antara My Team lawan Malaysia". apa tujuannya menggalakkan orang ramai menghantar SMS sebegitu sedangkan siaran langsung disiarkan oleh TV3 sendiri.Mungkinkah wang kutipan hasil SMS itu akan menampung kos siaran langsung tersebut?. Dari segi strategi perniagaan, cara ini sememangnya bijak. Tetapi perlulah jujur dalam perniagaan dan janganlah membuat persoalan provokasi semata-mata untuk mengaut keuntungan.
Inilah bentuk penjajahan minda terhadap golongan muda terutamanya orang Melayu.Perakus perniagaan akan menggunakan apa sahaja cara demi untuk mengaut keuntungan walaupun ianya nanti menimbulkan isu. Pada mereka isu yang tercetus itupun akan memberi keuntungan juga kepada mereka.
Pihak media elektronik perlulah memikirkan juga tanggung jawab sosial dan sensiviti dalam merangka program mereka. apakah tidak cukup dengan keuntungan siaran iklan sehinggakan mengajak orang ramai menyumbang bersama kos penerbitan program tersebut?. Bersikap jujur dan amanahlah dalam perniagaan.
Sedih kita melihat anak muda kita sanggup mengikat perut tidak makan semata-mata untuk membeli kad prabayar untuk menghantar SMS. Mereka yang masih mentah tentang erti kehidupan ini sudah dibuaikan impian dan fantasi sehingga menjadi fanatik terhadap sesuatu rancangan TV.
Penjajahan minda seperti ini amat bahaya kerana ia mula merasuk ke dalam diri golongan muda. Sesuatu perlu dilakukan agar bentuk perniagaan teknologi maklumat dan interaktif ini perlu dikaji semula. Program realiti TV yang berasal dari Mexico sudah tidak mendapat sambutan lagi kerana penduduk Mexico telah sedar mereka ditipu dan dipergunakan oleh pemilik stesen TV yang semata-mata untuk meraih keuntungan.
The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com
No comments:
Post a Comment