Friday, June 30, 2006

TUN GHAFAR : CONTOH AHLI POLITIK UMNO TULEN

TUN GHAFAR : CONTOH AHLI POLITIK UMNO TULEN

Takziah diucapkan kepada seluruh kaum keluarga Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di atas pulang ke rahmatullah Allahyarham pada pagi 23 April.
Seluruh rakyat negara merasakan kehilangan seorang negarawan ulung yang sukar dicari ganti.

Terlalu banyak jasa dan sumbangan beliau terhadap memakmurkan negara sehingga pengorbanan beliau sebenarnya tidak dapat dinilai dengan apa jua skala ukuran sekalipun.

Ahli UMNO sekarang dan yang akan datang patut mengambil iktibar dan teladan perjuangan politik Allahyarham. Beliau dikenali sebagai seorang pejuang menentang penjajah, berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, menghayati dan melaksanakan erti kemerdekaan yang sebenarnya.

Kesederhanaan Allahyarham dalam menjalankan tugas, telah membuatkan beliau senang diajak berbincang tanpa mementingkan sangat protokol. Beliau seorang ahli UMNO yang cukup komited di dalam perjuangan. Gaya berpolitik beliau menjurus kepada cara sejati ahli politik.

Hubungan beliau dengan akar umbi parti cukup dikagumi dan disenangi. Sikap beliau yang bersahaja apabila berjumpa dengan orang ramai, membuatkan rakyat mengagumi beliau sebagai tokoh politik berjiwa rakyat.

Cinta beliau terhadap tanah air begitu mendalam. Ini terbukti apabila beliau menjadi ahli UMNO pada tahun 1951 dan seterusnya menjadi Pengerusi UMNO Melaka semasa negara begitu bersemarak untuk menyambut kemerdekaan.

Pada 20 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman diarak dengan kereta dari Batu Berendam ke Bandar Hilir selepas pulang dari London untuk mengisytiharkan kemerdekaan negara.

Kereta berwarna hitam bernombor M4442 yang dinaiki Tunku itu sebenarnya dipinjamkan oleh Allahyarham daripada seorang tauke Cina di Melaka. Beliau menyedari UMNO serba kekurangan dan miskin dari segi kebendaan. Untuk memartabatkan kegemilangan acara bersejarah itu, beliau sanggup meminjam sebuah kereta yang agak mewah ketika itu semata-mata untuk membakar semangat kegembiraan rakyat ketika itu.

Allahyarham akan tetap dikenang sebagai pemimpin yang banyak memperjuangkan penduduk di luar bandar. Beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk membasmi kemiskinan. Beliau sanggup meletak jawatan Ketua Menteri Melaka pada tahun 1967 semata-mata untuk menjawat jawatan Pengerusi MARA yang baru ditubuhkan.

Penubuhan MARA adalah cukup bermakna kepada beliau untuk mendekatkan diri dengan penduduk luar bandar di mana MARA banyak mengubah nasib Bumiputera di luar bandar dari segi sosioekonomi dan pendidikan.

Allahyarham lebih sinonim sebagai tokoh pengantara dan penyelesai pelbagai masalah baik politik sehingga kepada institusi istana. Sifat beliau yang sederhana dan jujur berkhidmat menjadikan beliau amat disenangi oleh semua pihak yang dibawa untuk berunding pelbagai masalah.

Tunku pernah mengarahkan beliau untuk menyelesaikan tunjuk perasaan pelajar Institut Teknologi MARA (ITM) pada 17 Jun 1969 ekoran tragedi hitam 13 Mei dan pemecatan Dr. Mahathir dari UMNO.

Ini terbukti di dalam buku " Sebelum dan Selepas 13 Mei " karya Tunku Abdul Rahman (1969), " Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Encik Abdul Ghafar Baba, iaitu menteri yang bertanggungjawab di atas MARA telah bercakap dengan pemimpin penuntut-penuntut itu. Beliau telah bertanya kepada mereka apakah ada kena mengena pemecatan Dr. Mahathir daripada UMNO itu dengan mereka. Dan adakah mereka menjadi ahli UMNO?".

Allahyarham juga menjadi anak Melayu pertama menjadi Pengerusi MCA selama 10 bulan antara tahun 1985-1986. Beliau sebenarnya adalah penyelamat MCA dari terkubur akibat krisis kepimpinan. Jasa beliau menyelamatkan MCA adalah suatu yang sangat luar biasa sekali.

Begitu juga peranan beliau menyelamatkan Melayu dan Bumiputera di Sabah berpecah. Allhayarham telah membawa UMNO ke Sabah sebagai penyelamat dan akhirnya USNO dibubarkan. Beliau menjadi Ketua Perhubungan UMNO Sabah yang pertama.

Allahyarham juga penyelamat karier politik Tan Sri Isa Samad apabila pihak Istana dan pimpinan Adat Negeri Sembilan tidak menyenangi Isa sebagai Menteri Besar pada tahun 1986. Ini terbukti di dalam buku " Jelebak-Jelebu : Corat Coret Anak Kampung " karya Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim (2004), "Ghabar Baba mempunyai peranan tersendiri dalam menyelamatkan karier politik Isa Samad pada tahun 1986. Beliau berjaya meredakan sikap DiRaja dan pimpinan Adat Negeri Sembilan pada tahun itu supaya Isa diberi peluang memimpin kerajaan Negeri Sembilan".

Allahyarham selalu mengingatkan dalam ceramah dan perjumpaan dengan ahli UMNO dengan ungkapan ini "kita berjuang bukan kerana pangkat tetapi berkhidmat". Pegangan slogan ungkapan inilah yang membuatkan beliau disegani oleh setiap ahli UMNO. Beliau juga merupakan pemimpin yang paling lantang bercakap mengenai politik wang dalam UMNO.

Walaupun Allahyarham menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 9 Mei 1986, beliau mengambil masa yang agak lama untuk menyatakan pendiriannya untuk bertanding Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan UMNO 1987.

Beliau lebih mementingkan perpaduan dalam parti daripada jawatan sebenarnya, walaupun ketika itu berjawatan Timbalan Perdana Menteri. Malah pengumuman beliau akan bertanding Timbalan Presiden di buat oleh Dr. Mahathir sendiri, bukannya beliau. Dr. Mahathir berkata,"Ghafar sudah 25 tahun menjadi Naib Presiden UMNO, eloklah beliau menjadi Timbalan Presiden UMNO. Ganggu sedikit jika TPM tidak menjadi Timbalan Presiden UMNO".

Selepas kenyataan Dr. Mahathir itu barulah beliau membuat pengumuman rasmi pada 3 April 1987 untuk bertanding Timbalan Presiden, iaitu hanya tinggal 21 hari lagi pemilihan berlangsung pada 24 April 1987.

Jelas menunjukkan Allahyarham mengambil berbagai sudut sebelum menetapkan pendiriannya. Walaupun berkedudukan TPM ketika itu, beliau masih lagi melihat perpaduan sebagai faktor utama.

Gaya kepimpinan beliau seharusnya menjadi teladan kepada seluruh ahli UMNO dalam memertabatkan kedudukan UMNO sebagai parti politik orang Melayu. Beliau sangat pintar dalam percaturan politik. Allahyarham juga dikenali dengan jolokan "Peguam Perlembagaan UMNO". Ini disebabkan apabila timbul masalah dalaman dan pentadbiran UMNO, Allahyarham tempat mengadu dan sumber rujukan.

Pemergian beliau ke Rahmatullah sesungguhnya meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada sejarah politik tanah air. Tun Ling Leong Sik menggelarkan Allahyarham sebagai " He is a natural politician".


Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: