GARIS PANDUAN AKSI LUCAH DI TAMAN IKUT PRINSIP RUKUN NEGARA
Draf garis panduan berkelakuan tidak sopan di taman awam yang akan dimasukkan ke dalam Undang-Undang Kecil Taman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang dirangka oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Garis panduan ini timbul apabila Mahkamah Persekutuan yang bersidang pada 4 April lalu membuat keputusan bersejarah apabila memutuskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh mendakwa dua pelajar bukan Islam atas tuduhan berkelakuan tidak sopan di taman awam.
Agak mengecewakan apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, pada 17 April lalu berkata, antara garis panduan itu ialah, hanya membenarkan PBT mengambil tindakan terhadap individu atau pasangan yang berbogel atau membuka pakaian untuk melakukan sesuatu yang menjurus kepada perlakuan seksual di tempat awam.
Tambah mendukacitakan lagi apabila beliau berkata, tindakan menghantar penguatkuasa untuk mengambil tindakan hanya setelah aduan di terima oleh PBT.
Bagaimana pula perbuatan bercium dan berpeluk di tempat awam? Kita mahukan perbuatan seperti ini juga dimasukkan ke dalam draf garis panduan tersebut. Aksi seperti ini juga di bawah kategori kelakuan tidak senonoh yang bertentangan dengan adab dan budaya masyarakat Malaysia walaupun dilakukan oleh orang bukan Islam.
Definasi berkelakuan tidak sopan di tempat awam mestilah jelas dan tepat. Ini disebabkan tiada garis panduan mengenai tatalaku serta kesopanan di tempat awam di dalam Undang Undang Kecil Taman PBT.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mat Zin, orang Islam yang berkelakuan tidak senonoh di tempat awam boleh didakwa di bawah Undang Undang Jenayah Syariah. Orang bukan Islam pula bagaimana? Adakah mereka 'kebal' melakukan maksiat kerana tiada definasi yang lengkap maksud perbuatan tidak senonoh, sehingga mengenepikan nilai-nilai murni masyarakat majmuk negara ini?.
Akibatnya semakin ramai yang tidak segan silu melakukan aksi yang menjolok mata termasuk remaja walaupun masih berpakaian seragam sekolah.
Andaikata perkara ini tidak jelas, ia akan meyukarkan lagi usaha-usaha menerapkan nilai murni dalam diri masyarakat hari ini terutamanya golongan muda.
Disebabkan isu ini terlalu subjektif, eloklah KPKT mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak tertentu seperti ketua-ketua agama yang ada di Malaysia, Majlis Belia Malaysia, NGO, dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya kesamaran maksud tidak sopan itu tidak akan menimbulkan salah faham di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya.
Selepas itu barukah garis panduan tersebut diguna pakai secara seragam oleh semua 149 PBT yang ada di Malaysia.
KPKT harus juga merujuk Dasar Sosial Negara (DSN) yang diluluskan oleh kabinet pada 19 Februari 2003. DSN adalah satu dasar yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mapan.
DSN ini bolehlah dijadikan asas untuk penyediaan garis panduan kelakuan tidak senonoh di taman awam.
Walaupun ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan keputusan mahkamah tertinggi di Malaysia itu sebagai bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, berhubung dengan kebebasan hak asasi, namun Undang-Undang Kecil Taman ini tidak melampaui bidang kuasa Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
Masyarakat Malaysia berbeza dengan masyarakat di Barat kerana kita memiliki dan menitikberatkan nilai moral. Malah semua agama yang dianuti oleh rakyat Malaysia mengutamakan moral yang tinggi. Dengan moral yang tinggi, disiplin dan jati diri dapat ditingkatkan.
Kita jangan lupa Kesopanan dan Kesusilaan adalah salah satu daripada Prinsip Rukun Negara. Prinsip kelima ini menekankan pembentukan warga negara yang bersopan santun dan bertata susila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni Budaya Kita.
Apakah kita mahu dengan 'menghalalkan' kelakuan tidak sopan di tempat awam akan melahirkan generasi yang berwibawa untuk menghadapi cabaran yang mendatang?
Jika begini sikap kita, maka generasi muda kita akan runtuh dari segi moral dan akhlak. Apabila generasi seperti ini mendominasi negara di masa akan datang, tidak mustahil rakyat Malaysia akan 'lebih Barat dari rakyat negara Barat sendiri'.
Kini dengan simpanan sebanyak 1GB
http://my.mail.yahoo.com/
No comments:
Post a Comment