EGO KITA PENYEBAB KEPADA PERNIKAHAN DAN PERCERAIAN
Apabila isu perkahwinan misyar ditimbulkan oleh Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang memberi cadangan supaya golongan lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai golongan wanita tidak berkahwin, ramai pihak yang memberikan pandangan.
Pada pendapat saya perkahwinan misyar itu tidak salah, cuma tujuan berkahwin mengikut misyar itu yang menimbulkan polemik kepada lelaki dan wanita. Jika Dr. Mahmud memberi cadangan golongan lelaki dibenarkan berkahwin dengan tujuan menggalakkan pernikahan akibat faktor ekonomi kerana ramai lelaki tidak mampu mengeluarkan belanja perkahwinan yang tinggi, tentunya respons amat berbeza sekali.
Mungkin pandangan menyebelahi lelaki kerana kasihan hendak berkahwin juga tetapi kewangan tidak mengizinkan kerana belanja kahwin semakin tinggi dan mengelakkan maksiat berlaku.
Tetapi apabila cadangan nikah misyar dibenarkan demi mengatasi masalah ramai wanita masih belum berkahwin, maka berduyun-duyunlah menentangnya dari menteri sehinggalah ke suri rumah.
Pada pendapat saya pro dan contra nikah misyar ini berpunca dari ego lelaki dan wanita itu sendiri. Ego lelaki akan berkata, "mengapa tidak boleh jika perempuan sudah suka". Ada juga yang berkata,"kamu nak tanggung dosa aku buat maksiat jika nikah aku dihalang?". Ego wanita pula, "ini menjatuhkan martabat wanita Islam", "mana boleh perempuan tanggung lelaki", "ini menghina wanita", dan banyak lagi pandangan yang diberikan.
Pokok pangkalnya, jika lelaki dan wanita itu sudah suka dan bersetuju untuk berkahwin, haruskah kita menghalangnya?. Kerana ego wanita, lelaki yang tidak bekerja dan ditanggung oleh isteri dikatakan bacul dan dayus. Kerana ego lelaki juga mereka mendakwa boleh kahwin lebih dari satu jika mampu zahir dan batin.
Jika dilihat pada maknanya, misyar berasal daripada bahasa pasar Arab yang bermaksud "pengembara". Melalui perkahwinan misyar, lelaki berkahwin dengan seseorang wanita tanpa tinggal bersama atau bertanggung jawab penuh menyara kehidupan isterinya.
Kita janganlah hipokrit dalam membicarakan nikah misyar ini kerana tanpa adanya nama "misyar" ini pun, sebenarnya konsep perkahwinan cara ini sudah pun berlaku di negara kita. Cuma orang ramai tidak memperkatakannya kerana tidak pernah mendengar sebelum ini nikah cara misyar.
Sudah ada pasangan yang berkahwin tetapi masih tinggal bersama keluarga isteri kerana masalah kewangan untuk menyewa rumah yang semakin tinggi kosnya terutamanya di bandar besar sedangkan pendapatan amat kecil.
Juga ada pasangan yang isteri bekerja dan suami di rumah menjaga anak-anak. Isteri pula pegawai kanan di sektor perbankan dan mampu menyara suami dan anak-anak. Mereka kekal aman damai setakat ini.
Terdapat seorang wanita yang bekerja sebagai pegawai undang-undang di jabatan kerajaan yang bersuamikan seorang penganggur yang kini menjaga anak sepenuh masa. Lebih menarik lagi wanita itu adalah isteri kedua lelaki berkenaan dan isteri pertamanya seorang akauntan di syarikat swasta. Rumah mereka berhampiran antara satu sama lain. Tugas harian suami adalah menghantar anak kedua-dua isterinya ke sekolah dan memasak untuk hidangan sekeluarga.
Inilah contoh kehidupan rumah tangga rakan-rakan saya. Apakah kita hendak meruntuhkan kebahagiaan keluarga ini kerana ego kita?. Apakah ego wanita yang berkehendakan lelaki menyediakan segala keperluan asas termasuk tempat tinggal, makan, pakaian dan perbelanjaan lain, jika tidak, ia mengenepikan haknya walaupun perkahwinannya bahagia dan stabil?.
Itulah sebenarnya perlu ada sepakat dan muafakat dalam menguruskan sebuah rumah tangga. Pada pandangan saya, kehidupan seharian kita berjalan lancar tanpa sengketa dan bahagia sudah cukup untuk mewarnai erti sebuah perkahwinan. Cukup segala perbelanjaan dari belanja rumah, sekolah anak-anak, bayaran bil utiliti, bayaran rumah dan kereta dan sedikit simpanan, sudah indah sebenarnya untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia. Inilah asas pembinaan sebuah keluarga yang stabil.
Sama ada wanita itu berkahwin secara nikah biasa atau luar biasa seperti misyar, jika niatnya baik dan inginkan kebahagiaan seumur hidupnya, mengapa pula kita hendak mempertikaikan cara apa dia bernikah sebelum ini.
Memang betul ada aktivis hak asasi wanita yang menyifatkan pernikahan misyar boleh menghancurkan asas kekeluargaan kerana ia membebaskan lelaki terbabit daripada menjalani tanggungjawab penuh terhadap isterinya sebagaimana perkahwinan cara biasa. Malah ada juga yang tidak menerima nafkah daripada suami selepas diceraikan.
Realiti sebenarnya hampir semua wanita apabila berkahwin akan memikirkan apakah nasibnya jika diceraikan. Apakah haknya untuk menuntut harta sepencarian dan juga apakah dapat nafkah apabila sudah menjadi janda?. Walaupun belum bercerai lagi, ego wanita tetap ada untuk mendapatkan persamaan hak gender.
Bagi lelaki pula, majoriti perceraian dipersalahkan di bahu mereka. Apakah lelaki tidak wajar menuntut haknya jika perceraian disebabkan oleh isteri?. Itulah sebabnya tiada aktivis hak asasi kaum lelaki kerana lelaki juga mempunyai ego dan "pride"nya yang tersendiri.
Sebenarnya ego lelaki dan wanitalah penyebab kepada pernikahan dan perceraian. Apabila ego dapat dikurangkan, pernikahan lebih mudah dan perceraian dapat dikurangkan kadarnya.
Isu nikah misyar yang diketengahkan oleh UTUSAN MALAYSIA seharusnya dipuji untuk membuka minda orang Islam di Malaysia terutamanya bangsa Melayu agar lebih terbuka untuk membicarakan persoalan kontroversi ini. Kita jangankah menyempitkan fikiran dengan melontarkan pandangan negatif tanpa memikirkan impak positif nikah secara misyar ini.
Jika tidak, masakan cendikiawan Islam dan sarjana syariah membenarkan lelaki Islam Sunnah mengamalkan perkahwinan misyar semasa Perhimpunan Perundangan Islam yang berpusat di Makkah pada 12 April yang lalu. Keputusan perhimpunan tersebut mengejutkan banyak pihak kerana ramai yang beranggapan ia cuma sekadar menghalalkan hubungan seksual sahaja.
Dalam konteks Malaysia masa kini, majoriti perkahwinan adalah pada dasar cinta dan perasaan suka antara satu sama lain. Jarang sekali terdapat perkahwinan "main tunjuk" sahaja di mana lelaki minat kepada seorang wanita yang dia berkenan dan terus bernikah.
Apakah nikah misyar ini tidak berbeza dengan nikah mutaah yang diamalkan oleh golongan Islam Syiah?. Menurut ulama Syiah, Adel Amir Tureihi, mutaah bermaksud perkahwinan secara kontrak yang akan menyatakan dengan jelas tarikh perceraian dalan perjanjian perkahwinan mereka. Misyar pula adalah satu bentuk perkahwinan sementara tetapi tidak perlu perjanjian sebagaimana nikah mutaah. Tarikh perceraian tidak disebut dalam misyar kerana jika ia ditetapkan, ia akan dikira perkahwinan mutaah yang tidak boleh diamalkan oleh pengikut Sunnah.
Oleh kerana perkara ini baru sahaja diputuskan oleh Perhimpunan Perundangan Islam di Makkah, eloklah jika ada cadangan pihak tertentu mengutarakannya ke Majlis Fatwa Kebangsaan sama ada nikah misyar ini boleh diterima pakai atau tidak di Malaysia.
The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com
No comments:
Post a Comment