Friday, June 30, 2006

PERPADUAN KAUM DAYAK PENENTU KEJAYAAN BESAR BN

PERPADUAN KAUM DAYAK PENENTU KEJAYAAN BESAR BN

Sabtu ini 20 Mei 2006, rakyat Sarawak yang layak mengundi akan memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk penggal yang kesembilan.

Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya didapati tiada masalah untuk memerintah semula negeri Sarawak pada pilihan raya kali ini. Kekuatan dan perpaduan empat parti komponen BN Sarawak terbukti kukuh di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Apa yang dibimbangkan oleh penyokong setia BN dan pemerhatinya ialah sikap segelintir pengundi kaum Dayak yang didapati sering berubah pendirian dan tidak menunjukkan komitmen kesetiaan terutamanya anggota parti komponen BN sendiri.

Sikap segelintir pemimpin kaum Dayak dan penyokongnya yang melompat keluar dari parti komponen BN dan bertanding atas tiket pembangkang dan bebas bukanlah perkara baru dalam arena politik Sarawak. Saranan pucuk pimpinan BN agar agar parti komponen yang dimonopoli oleh kaum Dayak ini bersatu selepas pilihan raya amat tepat sekali.

Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) adalah dua parti yang mewakili kaum Sarawak dalam kerajaan negeri. Kaum Dayak merupakan penduduk majoriti Sarawak dengan 43.5 peratus daripada 2.5 juta rakyat Sarawak adalah dari kaum ini.

Kaum Dayak terdiri daripada 29.5 peratus suku kaum Iban, 8 peratus suku kaum Bidayuh dan 6 peratus suku kaum Orang Ulu. Sejarah sememangnya sudah membuktikan kaum Dayak ini sering bersengketa, berpecah belah dan berpuak-puak sejak dari dulu lagi.

Krisis kepimpinan parti dominen kaum Dayak ketika itu, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada tahun 1981, adalah titik permulaan perpecahan perpaduan kaum Dayak sehingga ke hari ini.Sejak dari itu, parti kaum Dayak seolah-olah tidak kekal lama dan sentiasa berbalah sesama sendiri. Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang ditubuhkan pada 1983 sebagai serpihan SNAP, akhirnya terkubur juga pada tahun 2004. SNAP sendiri bergolak lagi selepas pilihan raya negeri 2001 yang mengakibatkan parti itu dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada tahun 2002. Akibatnya kedua parti ini, SNAP dan PBDS digugurkan dari BN.

Maka ditubuhkan pula PRS sebagai ganti PBDS dan SPDP sebagai pengganti SNAP. Namun bagi pilihan raya kali ini, SNAP telah disahkan layak bertanding sehingga keputusan mahkamah dibuat berhubung semakan semula mengenai pembatalan pendaftarannya.

Ini belum dikira Kongres Dayak SeMalaysia (MDC) yang masih dalam proses pendaftaran dengan ROS. Jika diambil kira semua ini, terdapat empat parti kaum Dayak di Sarawak, sudah cukup membuktikan perpaduan Dayak amat rapuh dan longgar sesama mereka.

Akibatnya menjadikan pilihan raya kali ini menarik dan mungkin akan berlaku beberapa kejutan. Terdapat 29 kawasan DUN daripada 71 kawasan adalah bermajoriti kaum Dayak sebagai pengundi.

Antara yang paling menarik untuk diberi tumpuan ialah N28 Engkilili, N42 Meluan, N43 Ngemah, N57 Belaga dan N67 Telang Usan.

Ngemah dan Belaga adalah contoh terbaik segelintir pemimpin Dayak yang berubah pendirian dan tidak mempunyai sifat kesetiaan kepada BN. Gabriel Adit Demong dan Stanley Ajang Batok adalah wakil rakyat BN di Ngemah dan Belaga yang sebelum ini mewakili parti SPDP. Apabila BN memperuntukan dua kerusi ini kepada PRS, mereka berdua keluar dari parti dan bertanding atas tiket Bebas. Jelas menunjukkan kedua pemimpin Dayak ini lebih mementingkan soal peribadi daripada perpaduan parti.

Mungkin kenyataan bahawa kaum Dayak sejak zaman berzaman terkenal dengan sifat yang sering bersengketa dan sifat juang kepahlawanan yang tinggi di antara mereka, boleh dipertikaikan dan menimbulkan kemarahan dari orang Dayak sendiri apabila soal ini diperkatakan oleh orang luar. Namun hakikatnya sifat ini seolah-olah telah meresap dan sebati ke dalam penglibatan mereka di dalam aktiviti berpolitik.

Contohnya di kawasan Telang Usan yang majoriti pengundi ialah suku kaum Orang Ulu. Penyandang dari BN, Lihan Jok akan ditentang oleh Kebing Wan (SNAP). Yang menariknya ialah ini adalah pertembungan ketiga mereka berdua. Kebing Wan menang pada tahun 1996 atas tiket Bebas. Pada 2001, Lihan Jok pula menang menewaskan Kebing Wan (Bebas). Kali ini Kebing Wan bertanding atas nama SNAP pula.

Sejarah di Engkilili pula menunjukkan kaum Dayak tidak memberi kemenangan mudah kepada calon BN yang diwakili oleh SUPP yang didomonasi oleh kaum Cina. Suku kaum Iban adalah 86 peratus daripada pengundi di kawasan ini. Pada pilihan raya negeri 1996 dan 2001, calon BN Tong Heng San, menang dengan majoriti 274 dan 708 undi sahaja kepada calon Bebas dari suku kaum Iban, Johnical Rayong Ngipa. Pada kali ini Johnical akan bertanding sekali lagi tetapi atas tiket SNAP melawan calon muka baru BN dari SUPP Jonathan Krai Pilo, satu-satunya calon orang Iban dari parti SUPP.

Calon Bebas menang dan melompat parti bukan satu perkara luar biasa dalam politik Sarawak. Di Meluan yan 96 peratus suku kaum Iban, calon BN dari SPDP, Wong Judat akan mempertahankan kerusi tersebut yang beliau menangi pada tahun 2001. Wong Judat menang atas tiket Bebas pada ketika itu menewaskan Geman Itam dari SNAP. Pada tahun 2002, Wong menyertai SPDP yang menyebabkan hanya tinggal satu sahaja kawasan pembangkang iaitu Kidurung (DAP) sebelum DUN Sarawak dibubarkan.

Menariknya di sni ialah bolehkan BN menang di kawasan yang menjadi kubu kuat SNAP yang menang dari pilihan raya 1983 sehingga 1996. SNAP kalah pada 2001 kepada Wong Judat akibat sengketa dalaman parti ketika itu.

Kawasan Kidurung yang menjadi kubu kuat DAP sejak 1996, boleh menjadi milik BN jia suku kaum Iban yang 33 peratus pengundi memberi undi kepada BN. Begitu juga di kawasan baru Kota Sentosa, walaupun kaum Dayak hanya 14 peratus daripada keseluruhan pengundi, namun ia akan menjadi penentu kemenangan BN kerana Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chien Jen (DAP) akan bertanding menentang calon BN dari SUPP.

Mungkin pilihan raya kali ini adalah pencetus kepada perpaduan kaum Dayak di masa yang akan datang. Walaupun kaum Dayak terkenal dengan memandang calon terlebih dahulu daripada parti yang diwakili, adalah diharapkan demi mengejar kemajuan dan perubahan ketara dalam pembangunan, eloklah mereka mengenepikan corak tradisi mengundi seperti itu.

Budaya tidak dicalonkan oleh parti dan memprotes dengan bertanding atas tiket Bebas, haruslah dihapuskan pada masa akan datang. Ini merugikan kaum Dayak sendiri yang juga melibatkan suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Walaupun ada yang berkata mereka bukan menolak BN tetapi populariti dan faktor calon yang menyebabkan mereka mengundi pembangkang, mereka sepatutnya melihat faedah dan perpaduan secara umumnya melebihi daripada mengundi atas sifat luahan hati peribadi.



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

No comments: