Friday, June 30, 2006

BN SARAWAK MENCARI PENCABAR SEBENAR

BN SARAWAK MENCARI PENCABAR SEBENAR

Serelah beberapa bulan menjadi bahan spekulasi, akhirnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 24 April lalu. Pilihan raya negeri akan diadakan pada 20 Mei yang akan datang.

Pembubaran DUN Sarawak pada hari berkenaan bukanlah suatu yang mengejutkan. Begitu juga dengan hari penamaan calon dan pembuangan undi kerana rakyat Sarawak sebenarnya sudah berada dalam "mood" pilihan raya negeri.

Mampukah Barisan Nasional (BN) mengekalkan kesemua kerusi yang dimenangi pada tahun 2001 atau menyapu bersih 71 kerusi yang dipertandingkan kali ini?

Kita melihat Tan Sri Abdul Taib Mahmud membubarkan DUN Sarawak dalam keadaan kerajaan pimpinannya benar-benar sudah bersiap sedia. Empat parti komponen BN Sarawakdijangka tidak menghadapi masalah besar dalam menentukan calon masing-masing menang dengan selesa walaupun terdapat beberapa kes yang melibatkan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin parti dan para pengundi di kawasan tertentu.

Kali ini beberapa orang pemimpin yang pernah bersama-sama BN dijangka bertanding atas tiket Bebas atau parti pembangkang. Antaranya Datuk Daniel Tajem, Nicolas Bawin dan Edwin Dundang.

Tajem dan Bawen yang menaja Malaysian Dayak Congress (MDC) amat berharap agar Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran MDC sebelum 9 Mei ini. Jika tidak, MDC akan bertanding sebagai calon Bebas untuk bertanding di kawasan majoriti kaum Dayak menentang calon BN daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

BN Sarawak dilihat sudah biasa menghadapi keadaan di mana ia terpaksa menghadapi beberapa bekas pemimpin parti komponennya yang bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya negeri, sama ada mereka menubuhkan parti baru, tersingkir daripada parti atau tidak puas hati dengan pemilihan yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Masalah perebutan kerusi Ngemah dan Belaga antara PRS dan SPDP sesungguhnya amat memalukan kaum Dayak yang berharap perpaduan kaum tersebut diatasi segera kerana sudah terlalu lama berlarutan tanpa ada titik penyelesaian.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang diketuai oleh Tan Sri George Chan, diharap dapat mengukuhkan kedudukan pengundi di bandar dan menambat hati pengundi Cina. Parti dominasi kaum Cina ini perlu mengambil iktibar kecundang kepada DAP di parlimen Bandar Kuching pada Pilihan Raya Umum 2004. Kemenangan Chong Chieng Jen (DAP) dengan majoriti 2041 undi seharusnya membakar semangat SUPP untuk menang di kawasan bandar seperti Padungan, Repok dan Batu Lintang.

DAP sudah pasti akan mempertahankan kawasan Kidurung yang dimenangi pada tahun 1996 dan 2001. DAP juga bercita-cita untuk menawan semula kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri 1996 di Bukit Assek dan Pelawan.

Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan, Azmin Ali, bahawa pembangkang akan bergabung tenaga dalam kumpulan yang dinamakan Barisan Bersatu Sarawak (BBS), adalah pelengkap kepada mimpi di siang hari yang akan berakhir dengan mimpi ngeri di malam hari.

Tujuan BBS yang kononnya tidak mahu pertembungan dalam pertandingan sesama sendiri, hanya dilihat sebagai kenyataan berbentuk "stereotype" setiap kali pilihan raya. Akhirnya nanti apabila tiba hari penamaan calon, pakatan tanpa bersurat ini akan tinggal kenangan sahaja.

Buktinya semasa pilihan raya 2001, PAS dan Keadilan begitu bersemangat mengumumkan pendirian tidak bertanding sesama sendiri. Sebaliknya berlaku pertembungan dua parti pembangkang ini di kawasan Samariang. Pertembungan Keadilan dan DAP pula berlaku di Pending, Repok dan Tanjung Datu.

BN Sarawak dilihat akan menumpukan kepada aspek pembangunan dan perpaduan untuk menjamin kesinambungan memerintah Sarawak. Dilihat kelancaran pelaksanaan RMK-9, Misi Nasional dan Pelan Perspektif Sarawak akan menjadi tonggak kempen BN kali ini.

Kepada mereka yang berhasrat untuk bertanding di pilihan raya Sarawak sama ada sebagai calon Bebas atau calon pembangkang, renungkanlah statistik pilihan raya 2001 ini :-

Undi popular BN 2001 66.38%
60 calon hilang wang pertaruhan.
44 - calon Bebas
11 - Keadilan
1 - PAS
3 - DAP
1 - STAR
Nilai wang pertaruhan yang hilang : RM180,000

Tujuannya agar janganlah membuang masa dan membazirkan wang semata-mata untuk mencapai impian dan cita-cita yang sudah diketahui sukar dicapai. Eloklah masa itu dihabiskan bersama keluarga dan wang itu digunakan untuk kerja-kerja lain yang lebih berfaedah.

Sejarah telah membuktikan Sarawak adalah kubu kuat BN pada setiap kali pilihan raya negeri dan umum. Walaupun menghadapi masalah kecil mengenai calon, BN kini hanya menunggu hari pilihan raya dan ingin melihat siapakah sebenarnya pencabar kali ini.

Jika diambil keputusan pilihan raya umum 2004, BN menang tanpa bertanding di 6 kawasan parlimen daripada 28 kawasan parlimen di Sarawak. Kemungkinan calon BN menang tanpa bertanding kali ini akan bertambah. Pada pilihan raya negeri 2001, BN menang tanpa bertanding di 4 kawasan DUN.

Dinasihatkan kepada Keadilan dan PAS, janganlah menentang arus pemikiran logik dan berterusan mahu menjaja politiknya ketika rakyat Sarawak sudah menolak parti itu mentah-mentah pada tahun 2001.

Bak kata orang Sarawak " sikboh jak kitak ke sitok lagik " (tidak payah ke sini lagi). Harapan seluruh rakyat Malaysia agar pilihan raya ini berjalan dengan lancar, aman dan tunaikanlah kewajipan untuk negara.


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: