Friday, June 30, 2006

DR. MAHATHIR : KAMI TIDAK RELA MELAYU BERPECAH LAGI

DR. MAHATHIR : KAMI TIDAK RELA MELAYU BERPECAH LAGI

Saya menjangkakan kemelut perbalahan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kerajaan akan berakhir. Namun jangkaan saya dan mungkin Saudara Pengarang juga meleset apabila ada pihak tertentu menganjurkan majlis ucapan dan dialog dengan Dr Mahathir di sebuah kelab persendirian di pinggir ibu kota pada hari Sabtu 24 Jun yang lalu.

Banyak persoalan yang timbul di kalangan rakyat biasa seperti saya ini. Masih adakah lagi yang terbuku di hati Dr Mahathir dan rakan-rakan rapatnya, perasaan tidak puas hati dengan corak dan gaya kepimpinan kerajaan sekarang di bawah teraju Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi?.

Telahan saya mungkin ada dalang dan tukang cucuk di belakang Dr Mahathir terhadap isu-isu yang ditimbulkan ternyata hampir benar apabila dilihat siapa sebenarnya dibelakang penganjur dialog tersebut. Seolah-olah perjumpaan hari Sabtu itu adalah pengumpulan dan perhimpunan mereka yang berkait rapat dengan Dr Mahathir. Dari bekas jemaah kabinetnya, ahli politik dizamannya, ahli akademik dan juga bekas pegawai kanan kerajaan di era Mahathir.

Turut kelihatan ialah bekas pegawai eksekutif GLC, dan lebih menarik lagi pemimpin pembangkang yang menghentam dan menghina teruk Dr Mahathir di zaman pemerintahannya, turut hadir. Apakah mereka cuba menangguk di air yang keruh?.

Apakah ini sebagai persediaan awal mereka sebelum UMNO mengadakan majlis penerangan dengan ahlinya diseluruh negara?. Nampaknya kumpulan yang pro Dr Mahathir ini telah mendahului UMNO sendiri di dalam majlis penerangan penjelasan isu-isu yang ditimbulkan oleh Dr Mahathir sendiri. Sampai bila perbalahan ini akan berakhir?.

Apakah majlis dialog itu sebagai satu isyarat untuk menunjukkan siapa lebih hebat memerintah negara?. Apakah juga sebagai satu isyarat Pak Lah telah melakukan suatu perkara yang seolah-olah tidak boleh dimaafkan?.

Dengan kehadiran pemimpin pembangkang dan ahli akademik pencen yang anti kerajaan, majlis itu saya anggap sebagai permulaan untuk satu perbalahan untuk suatu jangka masa yang panjang.

Apakah Dr Mahathir merasakan semasa pemerintahannya, beliau berjaya mentadbirkan negara dengan cemerlang 100% tanpa ada cacat cela?. Apakah kita kena mengingatkan kembali Dr Mahathir tentang ketidak puasan dua bekas Perdana Menteri selepas UMNO diharamkan pada tahun 1987 dan hampir wujud parti baru bernama UMNO Malaysia?. Mengapa mereka sanggup hendak campur tangan dalam membentuk parti UMNO baru ketika itu?. Tentu ada sebabnya yang hanya Dr Mahathir sahaja yang tahu jawapannya.

Bila dilihat kumpulan veteran UMNO dan mereka yang dipecat dari UMNO turut hadir diperjumpaan Sabtu lepas, timbul pertanyaan apakah golongan ini ingin mentadbir dan memerintah semula negara kita?. Apalah veteran UMNO yang hadir itu sudah merasakan tiada jalan lain untuk menyelesaikan masalah UMNO dan kerajaan khasnya sehinggakan dibuka satu forum yang melibatkan orang luar dari kerajaan dan UMNO sendiri?.

Apakah tidak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan kerana membongkarkan cerita lama yang lebih bersifat rahsia keselamatan negara terutamanya isu Tambak Johor itu?.

Kehadiran pembangkang dan mereka yang anti UMNO di majlis tersebut sebenarnya memberi suatu ruang yang luas kepada golongan yang sentiasa tidak bersetuju dengan apa yang dibuat oleh kerajaan, untuk merangka strategi mereka untuk menyerang kembali UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan. Mereka menunggu masa yang sesuai sahaja untuk melakukan suatu tindakan akibat perbalahan sesama kita sendiri.

Golongan seperti kami inilah yang akan menjadi tempat untuk dilemparkan penerangan dan penjelasan oleh pihak yang berbalah samada menyebelahi Pak Lah ataupun Dr Mahathir. Bila keadaan ini berlaku, kamilah yang menjadi sasaran untuk dijajakan pendapat menangkis serangan golongan tertentu. Sasaran utamanya adalah golongan bawahan seperti kami ini. Dan yang akan bercakaran jika tidak kuat pegangan adalah golongan seperti kami juga. Yang akan berarak dan menjerit-jerit tak tentu pasal adalah kami juga.

Apabila sudah reda dan perbalahan tamat, kami jugalah yang terpinga-pinga dan bermusuh sesama sendiri. Inilah dilema golongan bawahan, golongan akar umbi. Hakikatnya kami menyokong kepimpinan yang sedia ada. Tiada cacat celanya kepimpinan Pak Lah sekarang.

Apakah perkara yang tidak betul dan buruk pemerintahan Pak Lah pada pandangan golongan pro Dr Mahathir ini tidak pernah dilakukan oleh kepimpinan negara sebelum ini?. Malah lebih buruk daripada itu pernah dilakukan. Cuma terbatas dan tidak boleh didedahkan gara-gara halangan dan kekebalan tertentu.

Rakyat peringkat bawahan ingin melihat negara kita aman selama-lamanya terutama orang Melayu. Kita tidak mahu peristiwa hitam 1987 dan 1998 berulang kembali. Kami tidak mahu lagi menjadi kambing hitam antara dua kumpulan yang bergolak. Sudah serik rasanya mengenangkan perbalahan dahulu yang akhirnya memalukan orang Melayu sendiri.

Saya percaya majoriti orang Melayu merasakan sudah cukuplah dengan dua parti Melayu yang ada di negara ini. Tidak perlulah diwujudkan parti Melayu yang ketiga kerana ia akan lebih memecah belahkan orang Melayu daripada menyatukan orang Melayu.

Sebagai seorang doktor, Dr Mahathir telah melakukan ujikaji sejak setahun yang lepas lagi untuk menguji sama ada beliau masih mempunyai pengikut atau tidak. Ditimbulkan isu AP sebelum Perhimpunan Agung UMNO untuk menguji sama ada beliau masih ada sokongan di kalangan ahli UMNO atau tidak. Apabila Datuk Seri Rafidah Aziz diejek oleh perwakilan semasa sesi penggulungan, mungkin Dr Mahathir merasakan beliau masih berpengaruh dan mempunyai kuasa lagi dalam UMNO.

Beliau mungkin merasakan kekuatan dan pengaruhnya masih kuat di dalam UMNO jika beliau ingin membuat "come back" apabila tiba waktunya. Tetapi perlu diingat, ejekan perwakilan terhadap Rafidah bukan bermakna mewakili majoriti ahli UMNO yang lain.

Apabila ditimbulkan isu hal ehwal korporat Proton, beliau berjaya menarik sokongan daripada golongan ahli perniagaan dan mereka yang anti kerajaan. Jika tidak masakan akhbar Harakah kebelakangan ini pro kepada Dr Mahathir di dalam penyiaran beritanya sedangkan beberapa tahun yang lalu Dr Mahathir lah sasaran utama mereka dengan dilemparkan tohmahan, cacian, kejian malah dicarut dan dituduh kafir. Kini segala-galanya telah berubah sekelip mata.

Apabila beliau memperlekehkan dasar kewangan negara, wang rezab negara dan RMK9, jelas dilihat bahawa Dt Mahathir masih beranggapan beliau masih lagi kuat pengaruhnya. Beberapa siri forum dan persidangan antarabangsa anjuran beliau dan pengikut setianya jelas mengambarkan beliau mahu seluruh dunia mengetahui bahawa beliau masih ada kuasa dan pengaruh di negara ini.

Apabila isu Tambak Johor ditimbulkan, beliau telah mendapat sokongan dari orang bawahan kerana telah digambarkan Pak Lah telah menikam beliau dari belakang kerana mungkir janji.

Dengan dileraikan beberapa isu, mengetengahkan kembali suara beliau melalui forum antarabangsa dan mula mendapat kembali sokongan, akhir nya mereka bertemu pada Sabtu lepas sebagai kemuncak satu masej yang jelas kepada kepimpinan sekarang.

Yang pasti Dr Mahathir dan pengikutnya tidak akan berpuas hati sesiapa sahaja yang mentadbir Malaysia selain daripada beliau. Kumpulan seperti ini boleh dianggap tidak tahu bersyukur di atas nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan.

Jika beginilah keadaannya perbalahan ini tidak dibendung segera, akibatnya yang keruh tidak dapat dibuang, yang jernih jelas keciciran. Melayu tidak rela lagi berpecah. Kita sebenarnya sudah serik.


Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/

No comments: