PENGUNDI CINA TIDAK KENANG BUDI BN
Keputusan pilihan raya Sarawak kali ini amat memeranjatkan dan diluar jangkaan semua pihak. Banyak sejarah dicipta pada pilihan raya negeri yang kesembilan ini. Walaupun Barisan Nasional (BN) menang selesa dengan 62 kerusi daripada 71 kawasan yang dipertandingkan, namun pengaruh pembangkang agak menonjol pada kali ini.
Paling menarik, inilah kali pertaman dalam sejarah Sarawak semua parti pembangkang yang bertanding kecuali PAS, ada wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN). DAP menang 6 kerusi, dan masing-masing satu kerusi dari Keadilan, SNAP dan Bebas. Dengan sembilan wakil pembangkang di DUN Sarawak, suasana ini cukup menarik apabila DUN akan bersidang dalam tempoh yang terdekat ini.
Yang paling ketara sekali hasil keputusan pilihan raya negeri kali ini ialah pengundi Cina menolak calon BN yang bertanding di kawasan majoriti penduduk Cina di bandar seperti Kuching, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri. Mengapa ini boleh terjadi?. Apakah pengundi Cina di bandar sudah merasakan selesa hasil pembangunan pesat yang dibuat oleh kerajaan BN yang mengakibatkan mereka memberi undi kepada DAP dan Keadilan?. Apakah manifesto DAP 'development check' untuk mengimbangi dan memeriksa kerja-kerja kerajaan BN terbukti berjaya menambat hati pengundi Cina kali ini?.
Antara sebab BN tewas di sembilan kawasan dan merosot majoriti kemenangan ialah pengundi menolak calon yang sudah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat dan mahukan lebih ramai muka baru. Pengundi Cina pula lebih terdorong dengan manifesto DAP, isu kenaikan harga minyak, dan kelembapan pihak berkuasa tempatan menangani masalah di kawasan bandar.
Walaupun begitu pujian harus diberikan kepada pengundi luar bandar yang masih mengundi BN kerana mereka masih dahagakan pembangunan di kawasan mereka.Pengundi di bandar pula sudah selesa dengan limpahan projek pembangunan dan infrastruktur dan mereka seperti lupa diri dan tidak menghargai jasa BN membangunkan kawasan mereka.
Yang pastinya SUPP sudah tidak lagi menjadi jurucakap bagi pihak kaum Cina di Sarawak.Ini terbukti dengan kekalahan besar SUPP pada kali ini di mana mereka tewas 8 kerusi daripada 19 kerusi yang dipertandingkan. SUPP tewas dengan majoriti yang besar di Padungan, Pending, Batu Lintang, Meradong, Bukit Assek dan Kidurung. Malah lebih memalukan mereka tewas dengan majoriti paling besar iaitu 4751 undi kepada DAP di Bukit Assek. Lebih mengaibkan BN ialah tewasnya semua empat kerusi di Bandar Kuching kepada DAP dan Keadilan.
Faktor calon yang kebanyakannya bertanding untuk penggal ketiga, membuatkan pengundi Sarawak memprotes dengan memberi undi kepada pembangkang yang mengakibatkan kekalahan BN dan juga kemerosotan majoriti undi yang amat ketara. Seolah-olah pengundi sudah memberi amaran awal bahawa mereka inginkan calon muka baru dari generasi muda sebagai wakil mereka di DUN Sarawak.
Kemerosotan undi ini bukan sahaja melibatkan calon SUPP, malah calon PBB sendiri walaupun PBB menang semua kerusi yang dipertandingkan. Contoh yang paling menarik ialah kemenangan Dr. Wahbi Junaidi (BN-PBB) di Saribas yang menewaskan calon Keadilan dengan hanya kelebihan 94 undi. Sedangkan pada tahun 2001 Dr. Wahbi menang selesa dengan majoriti 2197 undi. Beliau juga menang pada tahun 1996.
Ketewasan calon BN dari SUPP di Pending dan Batu Lintang amat mengejutkan banyak pihak. Kedua-dua calon itu bertanding untuk penggal yang ketiga. Sebelum ini mereka menang selesa dengan majoriti lebih 7000 undi. Kali ini calon BN tewas di Pending dengan majoriti 4372 undi manakala di Batu Lintang dengan majoriti 3407 undi. Kekalahan besar SUPP ini kepada DAP memberi satu tamparan hebat kepada masa depan parti kaum Cina ini.Sesuatu perlu dilakukan untuk kembali meyakinkan pengundi Cina mengundi SUPP semula di masa akan datang.
Walaupun DAP tidak bertanding di Padungan atas sifat setakawan pembangkang, namun kemenangan calon Keadilan dari kaum Cina menewaskan muka lama, Lily Yong dari SUPP, sebagai satu bonus kepada parti dari Semenanjung ini. Kesemua calon Keadilan tewas di kawasan majoriti pengundi Melayu/Melanau. Hakikatnya pengundi Cina yang berjumlah 92 peratus di Padungan ini tetap menolak calon BN walaupun pembangkang bukan dari DAP.
Ini jelas menunjukkan seperti ada satu arus perubahan baru yang hendak dicari oleh pengundi Cina di Sarawak. Dulu DAP sebagai altenatif mereka untuk diundi, kini asalkan parti itu pembangkang, mereka tetap memberi undi.
Corak pengundian kaum Cina ini mirip kepada pola pengundian di kawasan bandar di Semenanjung, di mana BN amat sukar untuk menang di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Mungkin DAP sudak berjaya mencorakkan sikap pengundi Sarawak kali ini. SUPP perlu segera membuat bedah siasat. Jika tidak, tidak mustahil di masa yang akan datang SUPP terkubur di Bumi Kenyalang akibat pengaruh DAP yang jelas kelihatan sudah mula mendapat tempat di hati pengundi Cina.
Namun begitu kesetiaan pengundi kaum Dayak yang sebelum ini disangsikan akan membawa masalah kepada BN ekoran persengketaan dalaman, terbukti meleset malah mereka menunjkkan semangat perpaduan yang kuat pada kali ini.
Kemenangan semua lapan calon SPDP dan lapan daripada sembilan calon PRS yang mewakili kaum Dayak amat membanggakan sekali walaupun ditentang dengan hebat oleh SNAP dan Bebas. Kekalahan calon BN-PRS di Ngemah kepada calon Bebas dengan majoriti 549 undi adalah kerana SNAP meletakkan calon untuk memecahkan undi BN. Namun PRS tidak perlu merasa dukacita kerana calon mereka seperti di Kakus dan Pelagus menang selesa. Malah Presiden PRS, Dr. James Masing, membuktikan bahawa kaum Dayak tetap mengundi BN dengan kejayaan beliau menang besar di Baleh dengan majoriti 4802 undi.
Selepas ini BN Sarawak perlu segera mengadakan post mortem bagi mengenalpasti punca kemerosotan undi popular BN. Pucuk pimpinan haruslah menerima realiti kekalahan dan amaran awal pengundi dan penyokong akar umbi supaya prestasi buruk ini tidak akan berulang lima tahun dari sekarang.
SUPP perlu mengakui hakikat bahawa pengundi Cina sebenarnya bermusim dan tidak menentu arah corak pengundian mereka. Lebih tepat lagi kesetiaan mereka kepada BN boleh dipertikaikan. Awasilah sindrom ini yang sebenarnya sudah lama bertapak di Semenanjung.
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/
No comments:
Post a Comment