PERANAN ALUMNI MENANGANI GEJALA DISIPLIN DI SEKOLAH
Peruntukan RM6.1 juta bagi melaksanakan program tambahan di bawah Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin di Sekolah yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran, yang diluluskan oleh kabinet baru-baru ini cukup besar sebenarnya.
Bayangkanlah peruntukan sebesar itu diperlukan untuk menangani masalah disiplin pelajar, seolah-olah mengambarkan besar jugalah masalah disiplin di sekolah.
Keprihatinan kerajaan ini ada asasnya kerana remaja sekolah di kala ini adalah bakal penggerak dan pencorak era Malaysia Maju di tahun 2020.
Masalah disiplin di sekolah sebenarnya bukan perkara baru. Sejak wujud institusi yang bernama sekolah di negara ini, sejak itulah masalah disiplin pelajar berlaku. Bezanya masalah disiplin 20 tahun yang lalu, sebagai contoh tidak diperbesarkan oleh media.
Darjah keruntuhan disiplin pelajar sekarang jika dibandingkan dengan masa dahulu, lebih tinggi dan berbagai bentuk pula. Cuma yang dirisaukan oleh pucuk pimpinan, ibu bapa dan masyarakat sekarang ialah tahap dan kadar gejala disiplin itu sendiri yang semakin meningkat dan 'canggih' mengikut peredaran masa.
Seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran, terdapat 9 langkah proaktif dan drastik yang telah dan akan diambil oleh kementerian untuk menangani gejala ini. Antaranya mewujudkan talian hotline dan SMS, penubuhan pelbagai jawatankuasa, penglibatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penubuhan 'flying squards' di peringkat negeri, daerah dan sekolah.
Apa yang diperhatikan langkah-langkah seperti yang direncanakan oleh kementerian, banyak yang berbentuk menambah tekanan kepada pelajar yang bermasalah itu sendiri. Pada pandangan saya, pelajar bermasalah ini perlu didekati dengan mengambil tahu mengapa mereka terjebak ke dalam gejala keruntuhan disiplin di sekolah.
Dengan kata lain, mereka perlu didekati dengan cara bekawan dengan mereka tanpa cara yang lebih menakutkan mereka. Pelajar bermasalah ini akan lebih memberontak apabila perangai mereka hendak diubah dengan cara paksa dan memalukan mereka.
Persatuan bekas pelajar atau Alumni perlu berperanan di dalam menangani gejala disiplin di sekolah. Bekas pelajar bolehlah diberikan mandat oleh kementerian untuk turut sama membenteras masalah disiplin ini. Saya merasakan hampir semua persatuan bekas pelajar akan menyambut baik cadangan ini.
Alumni akan berterusan ingin menjaga nama baik sekolah yang pernah mereka belajar itu. Tiada satu pun alumni di negara ini yang mahukan bekas sekolah mereka terkenal dengan 'sekolah jahat' atau sekolah bermasalah.
Mungkin alumni boleh memperuntukan masa seminggu sekali untuk memberi kaunseling kepada pelajar yang bermasalah disiplin ini dengan pihak sekolah 'menyediakan' senarai pelajar bermasalah untuk pertemuan dari hati ke hati.
Kaedah mempertemukan bekas pelajar dengan pelajar sekolah itu sendiri akan membuatkan pertemuan itu seperti adik dan abang, ataupun anak dan bapa. Pelajar yang bermasalah itu sebenarnya akan lebih hormat atau 'respect' kepada wakil alumni kerana mereka (alumni) adalah senior mereka.
Pelajar di sekolah itu tidak boleh hendak temberang selok belok sekolah berkenaan kerana senior mereka dari alumni telah terlebih dahulu mengalaminya. Mungkin pendekatan seperti ini akan melahirkan perasan hormat dan segan pelajar tersebut kerana yang menasihati mereka adalah bekas pelajar di sekolah itu sendiri.
Hakikat kebenaran tanpa hipokrit perlu diutamakan apabila menangani pelajar yang bermasalah disiplin ini. Pelajar sekarang lebih cerdik dan lebih terbuka pemikirannya. Mereka boleh bertanya dan menyoal kita balik, apakah sekarang ini sahaja ada gejala disiplin dan di masa yang lalu tiada masalah sebegini?.
Itulah perlunya mendalami hati pelajar ini. Apakah mereka bosan dengan kurikulum di sekolah? Apakah sudah tiada minat untuk belajar disebabkan faktor kebendaan? Malah ada yang tidak tahu tujuan mereka pergi sekolah. Dan ada juga pelajar sekarang telah mula mempersoalkan bahawa belajar sampai universiti pun akan menganggur kemudiannya.
Berikut adalah pengalaman saya sewaktu terlibat dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor beberapa tahun yang lalu. Kami pernah bertemu dan berbual dengan remaja bermasalah di sekolah seperti ponteng, terlibat dengan kumpulan kongsi gelap dan 'bohsia'.
Ada pelajar sudah boleh berkata, "buat apa belajar tinggi-tinggi. Si polan tu belajar sampai darjah enam sahaja tapi kaya raya". Lebih dahsyat lagi mentaliti remaja sekarang apabila ada yang berkata,"Buat apa belajar, abang saya sekolah sampai tingkatan tiga, tetapi banyak duit. Saya nanti hendak ikut abang saya kerja tukang tarik kereta".
Lebih pening lagi apabila ada remaja perempuan yang tidak mahu sekolah dengan cara melanggar disiplin di sekolah supaya mudah beliau di buang sekolah. Pelajar ini memangnya mahukan dirinya dibuang dari sekolah. Apabila ditanya kenapa, jawabnya saya hendak cari duit sendiri sebab hendak beli telefon bimbit baru dan alat solek yang mahal. beliau hendak ikut rakannya yang banyak duit hasil kerja di kelab malam.
Pelajar sekarang sebenarnya ada yang sudah 'dirasuk' oleh faktor kebendaan dan kesenangan. Di hadapan mereka sudah dilihat tanpa pelajaran yang tinggi pun manusia boleh bersenang lenang dengan membuat kerja 'panas'. Pada mereka wang ringgit adalah segala-galanya tanpa memperdulikan nilai wang tersebut samada halal atau haram.
Saya merasakan semasa kita di sekolah dahulu pun bukannya baik sangat. Pasti ada yang melanggar disiplin sekolah seperti merokok dan ponteng sekolah. Ini realiti dan hakikat sebenar dan jangan lah kita berpura-pura. Seperti yang saya perkatakan di atas, darjah dan tahap melanggar disiplin semasa kita besekolah dengan remaja sekarang amat jauh berbeza.
Apabila alumni ini bertemu dengan pelajar bermasalah ini, mereka boleh meenceritakan pengalaman lampau mereka semasa remaja dan akibat daripada melanggar disiplin. Tidak semua ahli alumni sesuatu sekolah menjadi orang yang berjaya. Ada juga hidup sederhana dan pernah menyesal akibat tidak berdisiplin semasa zaman sekolah dulu.
Mungkin mereka ini boleh secara sukarela dengan bantu alumni dan pihak sekolah itu sendiri dapat mengaturkan perjumpaan bekas pelajar dengan pelajar yang bermasalah disiplin tersebut. Saya yakin cara ini akan dapat mengurangkan masalah disiplin di sekolah. Menghapuskan 100% masalah disiplin di sekolah adalah mustahil sebenarnya. Setidak-tidaknya dengan bantuan alumni ini akan dapat mengurangkan masalah disiplin tersebut.
Mungkin pelajar yang bermasalah ini akan terbuka hatinya untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran apabila di nasihatkan oleh senior dengan pendekatan bersahaja atau bersantai semasa sesi kaunseling berlaku.
The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com
No comments:
Post a Comment