AIR BUSUK : SIAPA LAGI DIPERSALAHKAN ?
Berdasarkan laporan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), pencemaran air baru-baru ini sebenarnya berpunca daripada air kotor dari pusat pelupusan sampah Sungai Chembong milik Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), menyebabkan Loji Rawatan Air Semenyih yang menerima bekalan dari sungai itu terpaksa dihentikan berikutan kadar ammonia mencapai tahap bahaya iaitu 4.8 miligram seliter, berbanding tahap normal 1.5 miligram seliter.
Berikutan pencemaran itu, penduduk di empat daerah di Selangor dan Putrajaya terputus bekalan air selama 24 jam.
KIta tidak perlu malu dan jangan hipokrit untuk mengucapkan tahniah kepada Syabas kerana tindakan segera mereka mengenalpasti pencemaran air sungai yang tercemar akibat tindakan tidak bertanggungjawab pengendali tapak pelupusan sampah Sungai Chembong.
Orang ramai perlulah berfikiran terbuka apabila timbul isu bekalan air busuk yang dibekalkan oleh Syabas. Janganlah mengambil sikap menuding jari tanpa usul periksa.
Masalah pencemaran air Sungai Semenyih jelas dilihat kelemahan MPKj di dalam menguruskan tapak pelupusan sampah. Walaupun MPKj mendakwa tapak pelupusan itu bersifat sementara, sehingga tapak pelupusan sampah baru yang berkonsep Refuse Derived Fuel (RDF) milik swasta yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun ini. Alasan ini janganlah 'menghalalkan' peyelenggaraan yang dibuat dengan sambil lewa sahaja.
Inilah yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri agar sesuatu projek pembangunan yang dibuat hendaklah juga ditekankan kerja-kerja peyelenggaraan selepas projek itu dibina.
Walaupun bersifat sementara, kawalan dan pemantauan tempat pembuangan sampah ini perlu diselenggara dan dipantau secara berterusan.
Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan ke atas agensi kerajaan sendiri jika didapati cuai. Faktor kecuaian dan sikap ambil mudah MPKj sebenarnya telah menyusahkan banyak pihak.
Pihak pertama yang terpaksa menanggung risiko mengguna air yang berbau busuk ini ialah rakyat. Hampir 2 juta pengguna air di Selangor dan Putrajaya terjejas akibat bekalan air yang dicemari ammonia.
Rakyat sebenarnya membayar aktiviti kutipan dan pelupusan sampah ini melalui cukai taksiran yang dikenakan kepada penduduk dua kali setahun. Cukai taksiran ini adalah meliputi cukai pintu dan bayaran kutipan sampah yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ini bermakna jika faktor kewangan dikatakan punca pengurusan tapak pelupusan sampah tidak efisen kerana kurang peruntukan, adalah tidak munasabah sama sekali. Cukai taksiran yang dikutip daripada penduduk sebahagiannya dibayar kepada kontraktor kutipan sampah.
Pihak kedua ialah Syabas. Akibat kecuaian orang lain, Syabas terpaksa kerja 'lebih masa' untuk menangani masalah yang bukan dicipta oleh mereka. Namun tindakan cepat mereka mengenalpasti pencemaran ini diperingkat awal harus dipuji, walaupun Syabas terpaksa memberi penjelasan kepada media dan sanggup pula menanggung risiko.
Pihak ketiga yang nendapat susah ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS). Akibat tiada peyelenggaraan yang betul dan teratur, JAS juga mendapat tempias kemarahan dari menterinya. Apa yang difahamkan, JAS tiada kuasa undang-undang jika tapak pelupusan sampah itu tidak mempunyai Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Lebih-lebih lagi tapak pelupusan sampah itu adalah milik kerajaan.
Ada baiknya isu pencemaran air Sungai Semenyih ini berlaku sekarang. Sekurang-kurangnya mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan Sisa Pepejal pada 28 April ini akan dapat merangka satu tindakan penguatkuasaan dan undang-undang dilaksanakan segera untuk mengawal selia dan penyelenggaraan yang maksimum terhadap pemilik dan pengurusan tapak pembuangan sisa pepejal.
Kita berharap jawatankuasa ini dapat mencari kaedah terbaik mengatasi masalah berkaitan sistem pelupusan sampah dan sisa pepejal di seluruh negara.
Kenyataan Pengarah JAS Selangor, Che Asmah Ibrahim, baru-baru ini yang berkata, pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan berhubung kes limpahan leachate (air larut resap) mengandungi ammonia ke Sungai Selangor sehingga menyebabkan bekalan air penduduk Lembah Klang berbau busuk, Februari lalu.
Beliau berkata, pengurusan syarikat Bukit Tagar akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi selepas di dakwa melanggar syarat Laporan EIA mengikut peruntukan Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. Kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk diteliti.
Kita berharap kertas siasatan dan dakwaan ini dapat menjadi satu contoh perundangan di masa akan datang dan diharap tiada unsuk 'kekebalan' terhadap pemilik tapak pelupusan sampah ini.
Adalah tidak wajar kita terus menyalahkan Syabas dan JAS apabila berlaku pencemaran air. Pemilik tempat pembuangan sampah harus bertanggungjawab akibat membiarkan leachate masuk ke sungai yang mengakibatkan air sungai tercemar akibat kandungan ammonia yang terlalu tinggi.
MPKj seharusnya mempunyai perancangan yang baik dan teliti terhadap pengurusan pembuangan dan pelupusan sampah. Satu sistem yang baik perlu ada dengan mengambil kira faktor menjamin kualiti alam sekitar supaya tidak menyusahkan orang lain.
Isu air busuk ini sebenarnya berangkai antara satu pihak dengan pihak yang lain. Rakyat sebagai pengguna menerima air yang sudah tercemar, Syabas sebagai pembekal air bersih terpaksa menutup operasi supaya kerja-kerja pembersihan dengan klorin dapat dilakukan, dan JAS pula mencari punca angkara siapakah pencemaran air berlaku?
Jangan pula kita lupa peranan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memastikan sungai di negara kita bersih dan mengalir dengan sempurna tanpa halangan.
Jika kita putarkan semua ini, sebenarnya faktor manusialah yang menyebabkan air tercemar. Manusia yang tidak bertanggungjawab menjadikan sungai tempat membuang sampah. Manusia yang bekerja di pusat pelupusan sampah tidak menitik beratkan aspek kualiti alam sekitar dalam tugasnya.
Apakah rasionalnya membina tapak pelupusan sampah berhampiran dengan sungai? Sama-samalah kita fikirkan.
The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com
No comments:
Post a Comment