DISIPLIN DAN PERPADUAN AHLI JAMIN KEKUATAN UMNO
Lahirnya UMNO adalah hasil dari pencantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu.
Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarela membubar organisasi masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai penyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat bagi memperjuangkan hak orang Melayu.
Jika sebelum ini orang Melayu berbecah dengan berbagai sentiman kenegerian dan pandangan yang sempit, sekarang mereka mula melihat realiti di depan mata mereka, bangkit menentang Malayan Union.
Inilah asas dan semangat penyatuan Melayu sehingga lahirnya UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru.
Lahirnya UMNO dengan Datuk Onn Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai pelindung dan penegak orang Melayu di Tanah Melayu daripada tenggelam dengan perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan lain yang lebih maju.
Setelah 60 tahun usia UMNO, dengan ahli lebih 3 juta orang, bolehlah dikatakan sekarang ini UMNO dalam keadaan yang selesa sebagai parti politik terulung di negara. Namun kekuatan UMNO sebenarnya terletak kepada ahli-ahlinya sendiri. Ahli UMNO perlulah memikirkan sejauhmana UMNO dapat bertahan dan bagaimana untuk menjamin kekuatan parti berkekalan sepanjang masa.
Saya adalah warga UMNO yang dilahirkan ke dunia ini di dalam persekitaran kehidupan seharian bersama-sama UMNO. Daripada datuk, nenek, ayah dan ibu adalah mereka yang bergelumang dengan perjuangan dan kesetiaan kepada UMNO. Saya sendiri sudah hampir 25 tahun menjadi ahli setia UMNO.
Sebenarnya masih ramai ahli yang tidak membaca malah tidak memiliki buku Perlembagaan UMNO. Masih ramai ahli yang tidak mengetahui tanggung jawab dan hak ahli UMNO mengikut Fasal 6 Perlembagaan UMNO. Masih ramai juga yang tidak tahu apakah garis panduan disiplin di dalam UMNO menurut Fasal 20 Perlembagaan UMNO.
Inilah sebenarnya nadi kekuatan UMNO jika semua ahli parti dapat menghayati keseluruhan inti pati Perlembagaan UMNO dari Fasai 1 sehingga Fasal 32. Penerusan parti UMNO di abad ke 21 ini sebenarnya lebih mencabar dibandingkan dengan era penubuhannya. Ahli UMNO jangan leka oleh kestabilan politik masa kini sehingga lupa tujuan dan matlamat penubuhan UMNO.
Malah UMNO sekarang lebih besar perjuangan dan aspirasinya untuk membawa bangsa Melayu dan negara ini ke arah kemajuan paling pesat dalam sejarah moden yang tidak pernah diimpikan oleh pejuang-pejuang UMNO terdahulu.
Kekuatan sesebuah parti, selain daripada mengandungi ahli yang sanggup melaksanakan matlamat perjuangan, adalah bergantung juga kepada tatatertib yang diamalkan oleh ahli parti. Ahli yang sentiasa ingkar terhadap kehendak parti atau melakukan tindakan yang memburukkan imej parti, menyebabkan UMNO menjadi lemah.
Dengan sebab itu UMNO perlu memandang berat disiplin ahli partinya. Beberapa garis panduan telah dimuatkan di dalam Perlembagaan UMNO untuk tujuan ini. Antaranya ialah semua ahli hendaklah cintakan parti dengan mematuhi perlembagaan parti dan seterusnya memelihara nama baik parti UMNO.
Sejarah banyak mengajar kita tentang pentingnya perpaduan dan kita tidak boleh menyalahkan orang lain jika mereka sekali lagi menjajah kita apabila kita lupa akan kesilapan masa lalu.
Dipetik ucapan sulung Almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai Yang Di Pertua UMNO Malaya pada 26 Ogos 1951, "Kejayaan UMNO yang tercemerlang sekalai ialah penyatuan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Penyatuan ini memberi kekuatan kepada bangsa Melayu yang tidak pernah dirasai oleh orang Melayu sebelum ini".
Perpaduan penting di dalam UMNO untuk menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini. Kepentingan orang Melayu akan mudah diganggu gugat seandainya orang Melayu tidak bersatu hati untuk menjaga hak yang menjadi milik kita.
Kesedaran perlu ada di hati seluruh ahli UMNO untuk membentuk perpaduan yang lebih kuat dengan mengenepikan kepentingan peribadi. Selama ini rakyat menyokong UMNO kerana mereka percaya hanya UMNO sahaja yang boleh memperjuangkan hak orang Melayu.
Jangan sampai harapan rakyat luntur terhadap UMNO akibat adanya agenda peribadi segelintir ahli yang menggunakan UMNO untuk mendapat kesenangan dan kekayaan peribadi. Jika begini mentaliti ahli UMNO, maka orang Melayu tidak akan percaya kepada UMNO lagi sebagai perisai perjuangan orang Melayu.
JIka ahli UMNO tidak memberi keutamaan kepada parti dan hanya mementingkan kehendak individu, maka UMNO akan lemah kerana ahlinya sendiri sudah tidak mampu bersatu. Ditambah lagi jika ada ahli UMNO yang tidak menunjukkan akhlak yang baik, maka suatu hari nanti UMNO akan terkubur akibat tingkah laku segelintir ahli yang bersifat tamak, materialistik dan individualistik.
Sifat ahli yang sebegini yang menyertai UMNO semata-mata untuk mendapatkan habuan dan projek seharusnya dipecat dari UMNO. Mereka inilah racun di dalam UMNO sekarang. JIka UMNO masih 'menyimpan' ahli seperti ini, nescaya racun dalam UMNO ini akan menjadi wabak yang sukar dibendung kerana sudah merebak begitu meluas ke seluruh peringkat parti.
Itulah sebabnya ahli UMNO harus membaca dan wajib memeliki buku Perlembagaan UMNO agar mereka dapat tahu tanggung jawab, hak, disiplin dan tataurus sebuah parti politik. Kita tidak mahu orang Melayu menyertai UMNO semata-mata kerana habuan tertentu.
Hayatilah cogankata UMNO, "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat" sebagai teras perjuangan ahli UMNO untuk mengharungi cabaran di abad ke 21. Perjuangan UMNO harus diteruskan dengan dianggotai oleh ahli yang penuh berdisiplin dan tanpa berpecah belah.
Jika tidak, padahnya kepada parti UMNO sendiri yang akan menjurus kepada ketidakstabilan dan tidak mustahil suatu hari nanti UMNO pupus di tanah airnya sendiri akibat ahlinya sendiri yang bersifat dan bersikap gelojoh di dalam mengunakan parti untuk mencapai matlamat peribadi.
Akhir kata, selamat menyambut hari UMNO yang ke 60. UMNO PEJUANG BANGSA DAN PENGUKUH KEDAULATAN NEGARA MALAYSIA.
The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com
No comments:
Post a Comment