Friday, June 30, 2006

SHAHRIR JANGAN CEPAT MELATAH

SHAHRIR JANGAN CEPAT MELATAH

Mungkin ada sesuatu yang menganggu fikiran Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shahrir Samad, pada persidangan parlimen 4 Mei lalu sehingga mengambil tindakan meninggalkan dewan persidangan dan memberitahu media beliau telah meletak jawatan sebagai Pengerusi BNBBC.

Puncanya apabila sebahagian besar ahli parlimen BN tidak menyokong cadangan beliau agar laporan akhbar yang menyebut ahli parlimen 'mengganggu' kerja Kastam Melaka disiasat mengikut Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen seperti yang diusulkan oleh Ketua Pembangkang.

Jika kita memetik berita tersebut yang bertajuk " Ahli Parlimen 'ganggu' kes rampasan kayu bergegaji" (Berita Harian 4 Mei 2006 muka depan) jelas sekali nahawa sumber berita itu memetik bahawa terdapat seorang ahli parlimen didakwa mencampuri urusan Kastam berhubung kes rampasan kayu bergegaji daripada Indonesia di Sungai Linggi, Melaka baru-baru ini. Perkara ini telah dilaporkan kepada Menteri Kewangan Kedua.

Saya beranggapan keputusan majoriti ahli parlimen menolak usul tersebut adalah wajar kerana masih belum ada lagi penjelasan rasmi dari Kastam. Jika benarpun adanya gangguan itu terhadap kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas, eloklah disiasat oleh pihak yang berwajib. Maka pada peringkat inilah jawatankuasa tersebut berperanan.

Maksud disini ialah bukannya menidakkan fungsi jawatankuasa di peringkat parlimen itu, tetapi biarlah diberi peluang pihak Kastam memberi penjelasan terperinci secara rasmi sebelum sesuatu tindakan diambil terhadap ahli parlimen berkenaan.

Perlu diingat penolakan usul tersebut bukan bermakna ahli parlimen mempunyai kekebalan ataupun mengabaikan integriti ahli parlimen. Keadilan perlu diambil kira sebelum mendakwa ahli parlimen berkenaan.

Cuma agak terkejut dan kecewa apabila mendengar Shahrir meletak jawatan Pengerusi BNBBC hanya kerana cadangan beliau menyokong usul tidak disokong oleh ahli BNBBC. Walaupun saya dan rakyat hanya mengetahui dan mengikuti perkembangan ini daripada media, dan tidak mengetahui keseluruhan perjalanan persidangan sepenuhnya, namun perkara ini sewajarnya tidak berlaku.

Walaupun Shahrir tetap dengan pendiriannya iaitu berpegang kepada prinsip, ini tidak bermakna jika ahli BNBBC tidak menyokongnya memberi maksud BNBBC menolak beliau sebagai pengerusi. Shahrir perlu matang dalam situasi sebegini.

Tidak dinafikan peranan beliau sangat penting di parlimen, Ini dibuktikan dengan kenyataan ahli BNBBC yang mengadakan mesyuarat tergempar selepas itu meminta Shahrir menarik balik cadangan beliau untuk meletak jawatan.

Saya tertarik dengan situasi ini kerana pada 2 Mei yang lalu Shahrir telah membuat komen terhadap kenyataan Tun Dr. Mahathir berkaitan dengan isu Jambatan Indah yang disiarkan oleh media cetak keesokannya.

Shahrir berkata, "Apabila kita memberi pendapat, mesti ada reaksi daripada pihak lain sama ada menyokong atau sebaliknya". Beliau turut menambah,"amat penting seseorang itu berfikiran rasional dan tidak menganggap kenyataannya berhubung sesuatu isu adalah sentiasa betul dan harus disokong oleh pihak lain".

Selanjutnya Shahrir menegaskan, "Dalam kita memberi pendapat, kita harus sedar, tujuan kita harus ikhlas, bukan mewakili satu-satu kepentingan".

Sehubungan dengan itu, kita berharap Shahrir dapat menarik balik perletakan jawatan itu dan hayatilah kenyataan beliau sendiri apabila mengulas pendapat orang lain. Janganlah hanya pandai menasihatkan orang lain tetapi apabila berlaku pada diri sendiri, mengambil tindakan yang sebaliknya pula.

Shahrir perlulah kotakan apa yang dikata sebelum ini apabila beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir itu. Jangan nanti rakyat mengambil penilaian beliau hanya pandai menasihatkan orang sahaja, tetapi diri sendiri akibat tidak mendapat sokongan dari ahli BNBBC, dengan cepat seperti orang melatah terus hendak meletakkan jawatan.

Walaupun Shahrir menganggap diri beliau seperti ' daging yang liat yang susah hendak disiat-siat' dan seperti ' buluh tua yang sudah tidak boleh dilentur', pemerhati menganggap kenyataan itu seperti orang merajuk sahaja. Mungkin dalam keadaan hati yang panas, maka sukar beliau hendak memfokuskan terhadap perjuangan dan martabat ahli parlimen., namun rakyat memahami situasi beliau. Cuma jangan membawa hati yang panas itu berterusan.

Sejarah telah membuktikan Shahrir pernah meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen BN semata-mata kerana tidak sehaluan pendapat dengan pucuk pimpinan pada masa itu. Akibatnya beliau bertanding sebagai calon Bebas cap kunci pada pilihan raya kecil parlimen Johor Bahru pada bulan Ogos 1988. Walaupun menang dengan menewaskan calon BN, dan beliau 'puas' apabila pihak yang tidak sehaluan dengannya kalah, namun akhirnya beliau 'rujuk kembali' untuk menyertai UMNO.

Kita berharap Shahrir ambillah iktibar daripada 'kes' bulan Ogos 1988 itu. Orang Melayu khasnya UMNO tidak mahu isu beliau ini akan menimbulkan perkara lain pula.

Sebagai rakyat biasa yang mengagumi ketokohan Shahrir, kembalilah memimpin BNBBC untuk mengelakkan perpecahan dikalangan ahli-ahli parlimen khususnya dari UMNO.



The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com

No comments: