PENAMBAHAN AHLI UMNO PERLU STRATEGI BARU
Apabila membaca kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang berkata kempen penambahan ahli UMNO setakat 5 Jun yang lalu hanya bertambah 35,000 orang sahaja, jelas menunjukkan ia tersasar jauh daripada sasaran awal. Ini telah menunjukkan kegagalan kempen tersebut.
Kempen penambahan ahli baru UMNO "Keluargaku Ahli UMNO", telah dilancarkan pada 21 Januari lalu oleh Presiden UMNO. Mohd Ali ditugaskan untuk mengetuai kempen ini. Sasaran nya ialah sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan 3.2 juta orang ahli UMNO. Ini bermakna kempen tersebut mensasarkan 320,000 orang perlu ditambah dalam jangka masa 6 bulan yang akan berakhir 30 Jun ini.
Tinggal beberapa hari sahaja lagi tempoh tamat kempen ini. Jelas menunjukkan sasaran kempen penambahan ahli ini sudah tersasar jauh dan kurang mendapat sambutan,
Persoalannya, bolehkah dicapai sasaran tersebut semata-mata bergantung kepada setiausaha cawangan dan bahagian?. Tidak dinafikan setiausaha cawangan dan bahagian telah berusaha keras untuk menjayakan kempen tersebut. Tetapi alangkah elok digembeling seluruh jentera parti untuk mencapai sasaran dan lebih membanggakan jika dapat melebihi sasaran tersebut.
Tidakkah sasaran yang begitu tinggi dalam jangka masa 6 bulan itu adalah pendek sebenarnya?. Atau apakah kempen ini satu gimik politik sahaja?.
Pada pendapat saya, sebagai ahli biasa UMNO, kempen penambahan ahli perlulah dijalankan sepanjang masa dan bukannya bermusim. Dalam "kelegaan" suasana politik UMNO sekarang ini (disebabkan tiada pemilihan), seharusnya seluruh jentera UMNO dikerahkan umtuk menarik lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera menyertai UMNO.
Mungkin senario seperti ini menjadi penyebab kegagalan kempen ini kerana ramai pemimpin merasakan kedudukan mereka selesa ketika ini. Mungkin juga wujud segelintir pemimpin yang "takut" mencari ahli baru kerana ia akan menggugat kedudukan mereka jika golongan muda profesional menyertai UMNO, lebih-lebih lagi pemilihan akan berlangsung tahun hadapan.
Sewajarnya juga dijalankan kempen penambahan ahli ini dilakukan serampang dua mata dengan pendaftaran sebagai pengundi. Ini kerana beberapa hari selepas kenyataan Mohd. Ali, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, pula berkata terdapat 660,000 ahli UMNO di seluruh negara masih belum mendaftar sebagai pengundi.
Jumlah ini besar sebenarnya, iaitu 20.6 peratus daripada keseluruhan ahli UMNO tidak menjadi pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Mengapa boleh terjadi begitu besar jumlahnya ahli UMNO tidak mendaftar sebagai pengundi?.
Tidak perlulah kita mendesak Mohd. Ali untuk memberikan sebab mengapa kempen ini kurang mendapat sambutan. Yang pentingnya sekarang ini, penambahan ahli baru memerlukan suntikan dan strategi baru agar lebih ramai orang Melayu menyertai UMNO.
Walaupun UMNO adalah sebuah parti politik, pendekatan untuk menarik ahli baru mestilah menjurus kepada menjadi ahli UMNO adalah wadah seluruh orang Melayu bersatu di dalam satu persatuan. Jika kita anggapkan menyertai UMNO sebagai berpersatuan lebih dari berpolitik, nescaya lebih ramai golongan muda meyertai UMNO. Iaitu abggaplah UMNO sebagai satu persatuan orang Melayu dan bukannya pertubuhan politik.
Kajian menunjukkan golongan muda tidak gemar berpolitik kerana pada pendapat mereka politik kerja orang tua. Persepsi ini perlu diubah dengan menganggap menyertai UMNO seakan-akan menjadi ahli persatuan seperti berpersatuan di sekolah. Dalam pada itu perlulah diperbanyakkan aktiviti kemasyarakatan, sosial dan sukan sejajar dengan menceriakan ahli UMNO dan bukannya sekadar setiap tahun menghadiri mesyuarat cawangan dan mengerahkan tenaga ahli menampal poster semasa pilihan raya.
UMNO perlu memperbanyakkan aktiviti diperingkat cawangan kerana di peringkat akar umbi inilah yang akan bekerja keras untuk menjamin kekuatan UMNO. Aktiviti yang hendak dirangka mestilah pelbagai yang mencakupi semua golongan dalam UMNO, daripada yang muda sehinggalah kepada golongan veteran dan kaum ibu.
Mereka yang belum menjadi ahli UMNO kerap bertanya apa yang mereka dapat apabila menjadi ahli UMNO?. Pemikiran sebegini harus ditukar dan kepimpinan tertinggi UMNO harus juga memikirkan untuk mematahkan tanggapan golongan seperti ini. Mungkin UMNO boleh menggubah "UMNO sedia berkhidmat untuk anda jika anda menjadi ahli UMNO" sebagai kata kunci menarik orang Melayu menjadi ahli.
Saya mencadangkan beberapa pendekatan untuk menambah ahli baru UMNO yang lebih relevan kepada bakal ahli UMNO untuk mendaftar sebagai ahli. Yang pentingnya ia digerakkan berterusan dan selama-lamanya tanpa bermusim.
- Pendaftaran melalui laman web UMNO Malaysia
- Wujudkan Pejabat UMNO Bergerak (Mobile Office)
- Mewajibkan Semua Wakil Rakyat UMNO Membawa Borang Ahli
- Penglibatan Sepenuh Masa Putera UMNO
- Borang Ahli Sebagai Sisipan di Beg Seminar atau Mesyuarat Anjuran UMNO.
- Membuka Kaunter Pendaftaran di Semua Pejabat UMNO Bahagian.
Mungkin ada yang merasakan cadangan ini remeh, tetapi saya berpendapat jika mahu menggerakkan semua ahli UMNO bertanggung jawab untuk mencari ahli baru, mungkin enam cadangan ini bersesuaian.
Sebagai contoh, UMNO mempunyai 559 orang ahlinya yang bergelar wakil rakyat, iaitu 107 orang ahli parlimen dan 452 orang ahli dewan undangan negeri. Rasanya tidak membebankan ahli yang berhormat membawa beberapa helai borang ahli untuk berkempen dengan rakyat yang belum menjadi ahli UMNO. Rasanya tidak salah dalam etika sebagai wakil rakyat kerana semua orang tahu wakil rakyat adalah ahli politik.
Dengan diwujudkan kaunter khas untuk pendaftaran ahli di pejabat bahagian UMNO, secara tidak langsung dapat memberi pedoman kepada ahli supaya tahu di mana letaknya pejabat UMNO bahagian kerana ramai ahli sekarang ini bertaraf pasif iaitu menjadi ahli sebagai syarat ada nama di dalam senarai keahlian tetapi tidak tahu siapa ketua cawangannya, siapa ketua bahagiannya malah di mana letaknya pejabat UMNO pun tidak diketahui.
The World Cup Is Now On Your Favorite Front Page - check out malaysia.yahoo.com
No comments:
Post a Comment