INTEGRITI NEGARA ACUAN KITA SENDIRI
Dalam kehidupan kita di negara ini yang berbilang agama dan budaya sememangnya tafsiran rasuah itu berbeza dari segi nilai, kemurnian persahabatan dan "kebiasaan" jika ditafsirkan rasuah itu mengikut acuan Barat.
Ini merupakan perubahan nilai yang berlaku dalam usaha kita membenteras gejala rasuah disamping meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
Sudah hampir dua tahun Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 23 April 2006.
Inilah masanya IIM mendidik rakyat berbagai kaum di negara ini agar lebih memahami apa itu rasuah. Sokongan padu serta komitmen dari seluruh rakyat adalah penting untuk mencapai agenda pemantapan integriti dan urus tadbir negara.
Cadangan Perdana Menteri semasa perasmian PIN dan IIM dua tahun lalu, agar IIM menerajui perlaksanaan kajian berkala atau periodic study mengenai persepsi umum terhadap rasuah sekali setiap dua tahun amat dialu-alukan.
IIM sepatutnya pada tahun ini sudah menyiapkan kajian berkala tersebut supaya hasil kajian dapat memberi gambaran kepada kerajaan dan rakyat tentang stategi-stategi yang dijalankan untuk meningkatkan integriti dan membenteras amalan rasuah. Ia juga penting dari segi penambahbaikan yang berterusan.
Berlakunya rasuah dan penyelewengan tidak selari dengan kehendak rakyat untuk hidup dalam masyarakat yang beretika dan bebas daripada rasuah. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan, tetapi muflis dari segi nilai moral, etika dan integriti.
Hakikat ini boleh dilihat di mana-mana sahaja. Masih ada yang bersikap tidak bertanggung jawab dan kurang kepekaan sivik terutama di jalan raya dan lebuh raya. Masih ada lagi sikap dan tindakan yang tidak bertanggung jawab terhadap alam sekitar dan kemudahan awam. Ia juga boleh dilihat dalam perkhidmatan kaunter yang kurang mesra pelanggan, amalan melompat "queue" dan sebagainya.
Masih ada lagi rakyat Malaysia yang mempunyai mentaliti materialistik, suka kepada jalan mudah dan ingin cepat kaya semakin menular dalam budaya masyarakat kini.
Hasil sastera Melayu klasik ' Taj Us Salatin karya Bukhari Al-Jauhari', yang menurut pengkaji sastera dan sejarah Melayu, Khalid M.Hussain, kitab ini ditulis pada tahun 1603 Masihi, telah pun menyebut tentang integriti ini.
Di dalam bab ke 13, kitab klasik ini menghuraikan seperti berikut :-
" Syarat yang kelimabelas, hendaklah segala pegawai raja itu benar pada katanya dan benar pada kelakuannya dan betul hatinya pada barang masa dan tempat dalam sekalian pekerjaan. Maka adalah kepercayaan raja akan dia yang tiada dapat khianat selamanya".
Pada pandangan saya, di abad ke 17 lagi, kerajaan Melayu yang diketuai oleh raja-raja telah menitik beratkan bersih, cekap dan amanah di dalam tutur kata, kelakuan dan niat di hati pada setiap masa dan keadaan sepanjang menjalankan tugas.
Kita tidak harus tunggu sehingga aktiviti rasuah itu berlaku sebelum bertindak. Langkah-langkah perlu di buat dengan membawa arus perubahan membenteras elemen-elemen yang membenar atau menggalakkan rasuah berlaku.
Inilah yang perlu dilakukan oleh IIM sekarang dengan PIN sebagai tunjang untuk melaksanakan satu dasar yang komprehensif, melibatkan semua pihak dan golongan masyarakat dalam gerakan pemantapan integriti.
Masih ramai lagi rakyat yang tidak menggetahui adanya dasar yang bernama Pelan Integriti Negara (PIN) dan agensi pelaksananya yang bernama Institut Integriti Malaysia (IIM).
IIM perlu lebih dekat lagi kepada masyarakat dengan bekerjasama dengan sektor swasta, parti politik, pertubuhan agama, persatuan kaum, wanita, NGO, belia dan pelajar. Rakyat akan memberi sokongan padu dan melaksanakan berbagai program anjuran PIN.
Kejayaan PIN dan IIM menerusi langkah-langkah menerapkan nilai-nilai integriti dalam masyarakat bergantung kepada sokongan aktif setiap individu dalam masyarakat. Ia memerlukan seseorang itu menerapkan nilai-nilai murni dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.
Rakyat berharap PIN dan IIM yang diwujudkan daripada aspirasi mesyarakat dan negara kita, dapat dimiliki bersama oleh rakyat yang berbilang kaum dan agama mengikut acuan kita sendiri.
Bosan dengan spam? Mel Yahoo! memiliki perlindungan spam yang terbaik
http://my.mail.yahoo.com/
No comments:
Post a Comment