Wednesday, November 01, 2006

AHLI POLITIK UMPAMA "MENYAPU SAMPAH KE BAWAH TIKAR"

Faizal Abdullah, ahli majlis MPK, ketua pemuda Umno Kapar, menantu Tan Sri Onn Ismail. Rumah yang dalam pembinaan tanpa kelulusan pelan.

Mazlynoor Abdul Latif, timbalan ketua Umno Klang. Juga rumah mewah tanpa kelulusan pelan. Kalau rumah kita dah lama kena roboh dan turun naik mahkamah.

Begitu mudah menjadi pemimpin politik pada masa kini. Buatlah apa sahaja yang difikirkan perlu dan sesuai. Selagi tidak keluar di media cetak dan media elektronik, bermakna segala peri laku dan perbuatan orang politik yang bertentangan dan melanggar peraturan dan undang-undang diiktiraf tidak salah. Malah ada orang politik yang berkata, jika sikit-sikit melakukan kesalahan dan tidak mengikut undang-undang, itu perkara biasa dan lumrah bagi orang politik dan ia merupakan suatu "kelebihan" yang membezakan orang politik dan orang ramai.

Malah ada orang politik yang berkata, "orang lain pun buat jugak apa yang kami buat. Jadi, takkan kami pun tak boleh buat". Untuk makluman orang politik, "orang lain" itu siapa dan "anda" pula siapa. Apakah kriteria untuk menjadi orang politik mesti berani melanggar undang-undang dan mengikut "orang lain" juga melanggar undang-undang?.

Ahli poltik adalah menjadi perhatian orang ramai kerana mereka adalah pemimpin sesuatu komuniti. Perlulah menunjukkan teladan dan sifat yang baik sebagai pemimpin untuk dicontohi oleh penyokong, pengundi dan golongan akar umbi.
Apabila "dihidu" melakukan sesuatu kesalahan dan tindak tanduk yang mencemar nama parti dan negara oleh pihak media, dengan mudah pula pemimpin politik menyalahkan orang lain yang menyebabkan "kesalahan" mereka berlaku.

Juga mereka dengan mudah memohon maaf kepada sesiapa sahaja di atas "ketelanjuran" mereka itu. Mohon maaf secara terbuka kepada pucuk pimpinannya, penyokongnya dan pihak media, sudah cukup untuk menebus kembali kesalahan mereka dan dengan cara itu telah menutup kesalahan yang telah mereka lakukan.

Pada mereka kesalahan melanggar undang-undang itu ibarat menyapu sampah ke bawah tikar. Pada dasar nampak bersih tatapi apabila diselak penuh dengan kekotoran. Pada golongan ahli politik yang sebegini, biarlah sampah tersebut dicuci oleh orang lain, janji tikar tersebut nampak bersih pada permukaannya.
Bayangkan suatu komuniti yang diwakili oleh golongan ahli politik dan pemimpin sebegini, semuanya melanggar peraturan dan undang-undang?. Apa akan terjadi kepada komuniti tersebut?.

Mengambil contoh di Klang, selepas kisah Datuk Zakaria Md Deros, timbul pula cerita timbalannya di UMNO Klang dan seorang muda yang juga menantu kepada Pengerusi Tetap UMNO Malaysia.

Mazlynoor Abdul Latif tidak perlu merasa tetekan atas kesalahannya kerana ianya sama sahaja seperti yang dilakukan oleh ketuanya. Faizal Abdullah juga tidak merasakan suatu kesalahan besar kerana membina rumah tanpa kelulusan pelan kerana "senior"nya di Majlis Perbandaran Klang pun sama dua kali lima dengannya, dan memohon maaf secara terbuka dan menyalahkan arkitek, sudah selesai segala masalah. Begitu mudah bukan?.

Ketiga-tiganya adalah ahli majlis MPK. Ini adalah contoh terbaik ahli majlis yang berperanan dan bertanggungjawab sebagai pembuat dasar dan penegak dan juga mendaulatkan undang-undang, melanggarnya atas sifat kononnya ada "keistimewaan" sebagai ahli majlis.

Apakah jenis pemimpin sebegini dan layakkah mereka digelar pemimpin?. Apakah tujuan mereka melibatkan diri di dalam berpolitik?. Dan tidak terfikirkah pucuk pimpinan di peringkat negeri mahupun pusat mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap ahli politik yang sengaja mencari kesalahan terutamanya yang melibatkan undang-undang yang berkaitan dengan PBT?.

Rakyat sekarang bukan lagi buta perundangan. Mereka sudah celik baik dari segi pentadbiran sehinggalah ke soal perundangan.

Jangan memperbodohkan rakyat dengan kenyataan memohon maaf kepada pemimpin negeri kerana tidak mengikut peraturan membina rumah. Sejak dari awal lagi sudah terlihat sememangnya hendak menbelakangkan undang-undang dan peraturan yang sedia ada. Masakan boleh membina dahulu dahulu rumah baru lah menyerahkan pelan bangunan kepada PBT?. Sepatutnya pelan bangunan diluluskan terlebih dahulu sebelum apa-apa bentuk kerja dilakukan di tapak cadangan pembinaan rumah.

Lebih menarik lagi kawasan pembinaan rumah sudah mula dibersihkan dan diratakan barulah dilantik arkitek untuk mereka bentuk, spesifikasi keselamatan dan struktur rumah tersebut. Dan apabila cerita pembinaan rumah ini mendapat perhatian media, mulalah menyalahkan sesiapa sahaja kerana menyebabkan pembinaan rumahnya mendapat perhatian.

Kepada Saudara Faizal, mengapa perlu disalahkan arkitek sebagai alasan pembinaan rumahnya masih belum diluluskan pelan bangunan?. Tahukan anda bahawa rumah yang sedang didirikan itu masih belum boleh lagi di bina sehingga pelan diluluskan oleh MPK?. Malah boleh dirobohkan kerana boleh diistilah membina rumah haram kerana tiada pelan kelulusan untuk membina rumah tersebut.
Mazlynoor pula dengan angkuh dan bongkak berkata di akhbar the Star,"everyone is doing it, but my house is small" apabila mengulas mengapa rumahnya sudang dibina sednagkan pelan bangunan tiada dan masih belum diluluskan oleh MPK.
Apa akan berlaku jika rakyat tanpa jawatan politik mendirikan rumah sedangkan pelannya masih belum diluluskan?. Yang pasti sudah lama saya menanggung rugi akibat dirobohkan oleh penguatkuasa PBT walaupun pelan telah dihantar oleh arkitek dan masih belum diluluskan.
Double standard sebegini perlu lah dihapuskan segera bagi mengelakkan imej dan maruah ahli politik akan menjadi begitu rendah di mata rakyat jelata.

Mungkin ada yang marah apabila masalah di Klang dan Selangor ini mendapat perhatian oleh semua pihak. Kepada ahli politik, janganlah melenting tidak tentu pasal apabila kesalahan mereka mula "dikorek" oleh pihak media. Jika anda berkhdimat dengan jujur, ikhlas dan patuh kepada perundangan, tiada sebab anda perlu marah dan kecewa. Berani kerana benar, takut kerana salah.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ataupun Kerajaan Negeri mahupun pihak PBT sendiri eloklah bekalkan kepada semua ahli majlis naskhah Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) dan lain-lain akta, peraturan, enakmen dan undang-undang kecil sebagai panduan dan pelajaran kepada ahli majlis. Ianya mungkin berguna kepada ahli majlis untuk mengetahui apakah perundangan yang sebenarnya di institusi yang mereka duduki. Itupun jika mereka rajin membaca dan tahu membaca.

1 comment:

Anonymous said...

Di malaysia ni orang masuk politik untuk jadi kaya, bukan nak tolong bangsa sendiri.

Malu di kenalai sebagai orang melayu.