Sunday, November 05, 2006

MALAY MAIL SUDAH HABIS MODAL


Apabila sebuah akhbar yang mendakwa sudah diterbitkan lebih 100 tahun, dan masih mengekalkan nama "Malay" dalam nama akhbarnya, menerbitkan laporan khas mengenai sex di edisi mingguannya, ianya sungguh mengaibkan dan melanggar norma dan nilai kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Bukan sahaja pembaca Melayu yang loya tekak membaca rencana dan tulisan yang berterus terang tentang sex, malah kaum lagi juga berpendapat sebegitu. Mengapakah soal sex perlu dikupas dengan terbuka melalui akhbar yang boleh dibeli oleh sesiapa sahaja, sedangkan nilai cerita dan penulisan tersebut hanya wajar untuk dibaca oleh orang ramai yang berumur 18 tahun ke atas.

Bukan setakat itu sahaja, bentuk penulisan dan laporan tersebut hanya sesuai untuk orang dewasa yang sudah berumah tangga. Malah lebih mendukacitakan soal hubungan kelamin yang hanya patut dicerita "di dalam kelambu" turut menjadi topik utama harian berkenaan.

Dengan tajuk utama dimuka hadapan "Let's Talk About Sex", akhbar berkenaan, mereka bermegah dengan kaji selidik yang telah dilakukan terhadap 100 orang yang berusia 18 hingga 35 tahun yang tinggal di Lembah Klang. Antara segmen kaji selidik akhbar berkenaan ialah aktiviti hubungan sex, fantasi sex, penggunaan kondom dan lain-lain lagi.

Amat menjijikkan apabila akhbar Malay Mail menyiarkan laporan, rencana berkaitan dengan sex. Apabila diteliti keseluruhan isi kandungan empat muka surat penuh laporan khas berkenaan, nyata ianya lebih mirip kepada isi kandungan sebuah majalah sex. Sehinggakan cerita pengalaman hubungan sex turut menjadi bahan berita. Malah turut dimuatkan pengalaman pondan melakukan sex rambang.

Kebebasan akhbar janganlah disalahgunakan. Liberalisasi kerajaan sekarang jangan pula mudah untuk diambil kesempatan. Siaran cerita sex di akhbar harian dan mingguan amat tidak praktikal sama sekali. Ini kerana ianya boleh dibaca oleh sesiapa sahaja tanpa tapisan termasuk kanak-kanak. Jelas Malay Mail sudah mengambil kesempatan dari sikap lebih terbuka kerajaan masa kini.

Apakah nilai berita sebegini yang mahu disogokkan kepada rakyat tempatan?. Mungkin mereka terlupa mereka berada di Malaysia kerana telampau Inggeris dari orang Inggeris sendiri disebabkan mereka menggunakan bahasa Inggeris. Tidak bermakna sesiapa yang mahir dalam penguasaan bahasa Inggeris bermakna corak kehidupan dan pemikirannya turut "diInggeriskan". Juga tidak bermakna dengan fasih dan mahir berbahasa Inggeris sudah bermakna mereka lebih liberal, lebih terbuka dan moden daripada orang lain yang lemah dan sederhana penguasaan bahasa Inggeris sehinggakan nilai berita mirip Barat sudah mendapat tempat di kalangan sidang pengarang Malay Mail.

Mungkinkah akhbar Malay Mail sudah hilang sengat untuk menarik pembaca?. Menurut kajian Synovate pada 20 September 2006, Malay Mail merupakan akhbar bahasa Inggeris yang paling kurang dibaca oleh rakyat Malaysia. Kajian tersebut menunjukkan Malay Mail hanya dibaca oleh 163,000 pembaca dibandingkan dengan The Star 1,456,000 pembaca. Menurut kajian Synovate juga Utusan Malaysia mencatat 1,643,000 pembaca.

Mungkin disebabkan sudah merosot jualan dan juga pembaca akhbar berkenaan, maka diterbitkan berita dan laporan sensasi untuk menarik orang ramai membeli dan membacanya. Jika begini tanggapan dan strategi pemasaran akhbar berkenaan, ianya sungguh mendukacitakan dan memalukan seluruh rakyat Malaysia.

Nilai pemberitaan dan liputan laporan tersebut lebih mirip kepada akhbar mingguan Sunday Mirror di London. Akhbar tersebut juga sering mendapat kritikan dan rungutan dari NGO di sana kerana ianya menggalakkan pemberitaan sex secara terbuka sehinggakan kanak-kanakpun membacanya.

Adakah sidang pengarang Malay Mail mahukan populariti dengan disajikan rencana mengenai sex sebagai daya tarikan untuk melariskan jualan?. Dimanakah letaknya sensiviti akhbar berkenaan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi negara dan nilai budaya dan jati diri masyarakat timur?.

Dengan tajuk-tajuk sensasi sex seperti "self-sex:let's see a show of hands", "Sex:the long and short of it", "Good vibrations", jelas menunjukkan ianya berbaur sex dan hanya sesuai untuk dimuatkan ke dalam majalah sex seperti Playboy atau Penthouse sahaja.

Tiadanya kepekaan terhadap nilai murni dan kesusilaan menyebabkan mereka beranggapan nilai kesopanan hanya melibatkan orang Melayu sahaja. Mereka seperti terlupa orang Melayu juga membaca akhbar bahasa Inggeris dan lebih terlupa lagi penggunaan nama Melayu pada akhbar berkenaan.

Janganlah terlebih orang putih dari orang putih sendiri. Juga tidak bermakna jika fasih dan mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris, sudah bermakna seseorang itu lebih "Inggeris" dari orang lain dan bebas mengamalkan etika kewartawanan bermiripkan Barat.

Wajarlah kerajaan mengambil tindakan yang keras terhadap akhbar ini. Keluaran 5 November yang lalu bukanlah kali pertama akhbar berkenaan memainkan peranan dalam menyiarkan hasil penulisan yang berbentuk sensasi. Beberapa bulan yang lepas mereka mengambil tajuk sex bebas dikalangan remaja sebagai topik utama mereka sehinggakan seperti menggalakkan sex sebelum bernikah.

Saya percaya corak dan gaya liputan berita sebegini tidak mendapat tempat dikalangan rakyat negara yang berbilang kaum dan agama. Bukan sahaja Islam dan orang Melayu tidak inginkan soal sex diceritakan secara terbuka, malah kaum lain juga begitu. Adap sopan, nilai budaya dan tata susila kita amat berbeza dari Barat.

Mungkinkah selepas ini Malay Mail akan menyiarkan pula gambar aksi lucah dan ghairah seperti Sunday Mirror sebagai daya tarikan terbaru mereka?

Saya rasa wartawan yang mengendalikan kajian, laporan dan pemberitaan tersebut bukannya orang Barat. Mereka masih lagi makan kari dan roti canai di waktu pagi atau sekali sekala makan tengahari berdaun pisang. Ukurlah baju di badan sendiri.

No comments: