Konvensyen UMNO Johor baru-baru ini paling mendapat perhatian seluruh masyarakat. Dengan kapasiti sebagai kubu terkuat dan jumlah ahli UMNO yang terbesar iaitu hampir setengah juta orang, sememangnya rumusan dan inti pati konvensyen berkenaan menarik perhatian umum.
Paling sensasi adalah pendirian UMNO Johor mengenai konsep Bangsa Malaysia tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan membawa maksud bangsa rojak, telah mengundang pelbagai reaksi.
Persoalan yang timbul mengapa perkara ini diungkitkan semula sedangkan Bangsa Malaysia adalah semangat yang hendak ditonjolkan dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan ianya juga adalah aspirasi dan cita-cita yang hendak dicapai melalui Wawasan 2020 supaya rakyat terus bersatu padu.
Kita janganlah berjalan mengundur ke belakang dengan mengandaikan konsep Bangsa Malaysia tidak boleh diterima kerana Perlembagaan Persekutuan hanya menjelaskan bangsa Melayu dan bangsa lain, tetapi tidak menyebut tentang keperluan bangsa yang bersatu atau Bangsa Malaysia.
Memang benar seperti yang didakwa, tiada bukti nyata di dalam perlembagaan, tetapi apakah kita lupa tentang prinsip Rukun Negara? Apakah kita lupa ianya termasuk di dalam agenda Wawasan 2020 yang telah dilancarkan sejak 1991 lagi?.
Mungkin atas platform politik orang Melayu, maka sentimen memperkasakan kaum dilakukan dengan ucapan penaik semangat supaya orang Melayu bersatu di bawah UMNO. Namun ianya telah mencetus dan menyemarakkan debat politik selepas pada itu. Atas nama demokrasi, kita tidak boleh menutup mulut parti politik yang mewakili kaum lain untuk bersuara. Mereka juga ada hak untuk mempertikaikan apa yang diperkatakan oleh pemimpin UMNO Johor ini.
Yang jelas, persoalan perkauman bukan perkara remeh dalam suasana masyarakat berbagai kaum. Walaupun begitu, negara kita masih tinggi semangat toleransi antara kaum jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Kekuatan kita ini yang hampir 50 tahun merdeka janganlah pula kita leraikan dan rapuhkan ikatan perpaduan dengan hanya disebabkan terminologi Bangsa Malaysia.
Hakikatnya pihak kerajaan sendiri harus mengemudi kecemerlangan integrasi dengan mengorak langkah menghakiskan penonjolan identiti kaum di dalam sistem penyampaian pentadbiran kerajaan dan swasta. Sebagai contoh, tidak perlu ruang "jenis kaum" di dalam pengisian borang agensi kerajaan seperti permohonan paspot antarabangsa, permohonan bekalan utiliti, borang membuka akaun bank dan borang lesen iklan PBT. Ini kerana ianya tiada kaitan dengan kuota agihan kaum dan statistik pencapaian ekonomi sesuatu kaum. Apakah memberi perkhidmatan yang wajib dinikmati oleh semua kaum perlu juga distatiastikkan?. Sampai bila ruang "perbezaan kaum" harus diisi sedangkan kita semua rakyat Malaysia?
Perbezaan terminologi atau istilah kata adalah penyebab yang amat sukar untuk merealisasikan ungkapan "saya Bangsa Malaysia". Mungkin kita perlu dididik apabila memperkatakan soal maruah negara, perpaduan, toleransi, perundangan dan kesetiaan, kita tidak boleh bertolak ansur menegakkan kita adalah di bawah satu bangsa yang bernama Bangsa Malaysia. Mungkin juga dalam soal rasuah, penyalahgunaan kuasa, hak bersuara dan mengundi, kita lebih tertib berdiri atas nama Bangsa Malaysia.
Namun tidak pula kita mengenepikan soal sayangi kaum sendiri seperti aspek pendidikan, moral, agama, ekonomi, budaya dan warisan, yang masih kita mampu berbicara atas nama sesuatu kaum. Cuma mestilah ada hadnya agar tidak melukai dan menyinggung perasaan kaum lain.
Janganlah kita hanya mengaku kita orang atau Bangsa Malaysia apabila kita memperkenalkan diri kita semasa di luar negara. Tetapi amat kelu untuk berkata "Saya Bangsa Malaysia" apabila berada di dalam negara sendiri.
UMNO Johor tidak perlu bimbang jika konsep Bangsa Malaysia ini seperti yang tersurat dalam Wawasan 2020 akan mengecilkan fungsi dan ketuanan orang Melayu. Saya percaya selagi UMNO wujud di bumi Malaysia ini, nasib dan masa depan orang Melayu pasti terbela.
Konsep Bangsa Malaysia hanyalah satu konsep umum yang tidak perlu diberi takrifan secara terperinci. Ianya lebih menjurus kefahaman dan kecenderungan secara umum mengenai konsep berkenaan. Setiap kaum pasti ada terdetik dalam hati kecil mereka, saya masih kaum Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain lagi. Kerana itulah peribadi dan latarbelakang ibunda kita walaupun nama Bangsa Malaysia tiada dalam perlembagaan negara.
Seharusnya atas nama Bangsa Malaysia ianya lebih mendorong kita ke arah perpaduan kaum tanpa prejudis dan penggalakan pergaulan dan keserasian antara kaum.
Pokok pangkalnya akal dan fikiran kita sendiri yang menjadi penentu sama ada perlu bersatu dalam hidup bermasyarakat atau memencil dan memusuhi kaum lain dalam kehidupan seharian.
Tidak salah kita berbahas dan berpolimik tentang kaum kita sendiri dengan bertujuan untuk memartabatkan kaumnya agar lebih maju dan berfikiran terbuka. Tetapi jika perbincangan antara kaum lebih kepada menyisihkan dan menjauhkan identiti bangsa, ianya akan menjurus kepada perbalahan kaum yang lebih serius kerana masing-masing mahu menegakkan hak kaum masing-masing.
Akibatnya negara menjadi kelam kabut dan bergolak. Seluruh aktiviti ekonomi, sosial dan urusan peribadi terbantut dan mengakibatkan negara semakin mundur dan hilang daya saing. Apakah ini yang kita inginkan?.
Kita seharusnya berbangga kerana ada negara maju pun sudah mula meminta "formula perpaduan" yang menjadi amalan kita selama ini. Jika orang luar nampak perpaduan kita bernilai tinggi, mengapa pula kita sendiri perlu menolaknya?
Mungkin ada beza dalam istilah dan tutur kata antara 'bangsa' dan 'warganegara'. Perkataan ini mungkin menimbulkan pertikaian jika kita mengintepritasikan ke arah soal kaum. Tetapi jika kita istilahkan perkataan itu dalam skop kenegaraan, 'bangsa dan warganegara' ada sama sebenarnya jika tidak dicampur adukkan dengan kaum.
Kesimpulannya, orang Melayu terutamanya UMNO tidak perlu gundah jika konsep Bangsa Melaysia diutamakan dalam sebutan seharian dan perlaksanaan agenda kerajaan. Melayu tidak akan terhakis jika konsep ini diperluaskan. Malah rasa hormat dan sanjungan tinggi dari kaum lain akan lebih terserlah sebenarnya.
Menolak konsep Bangsa Malaysia bermakna memberi kesan ke atas usaha-usaha untuk meningkatkan integrasi nasional dan pengkayaan hidup berbagai kaum di negara ini.
No comments:
Post a Comment