Apa yang ingin saya perkatakan di sini adalah bertujuan untuk menyedarkan diri saya sendiri dan juga mereka yang sebangsa dan seagama dengan saya. Mungkin agak pedas kepada sesiapa yang terasa kerana pepatah ada mengatakan "siapa yang makan cili dialah yang merasa pedas". Namun keikhlasan apa yang ingin saya suarakan ini adalah menyentuh tentang sifat dan sikap orang Melayu. Mungkin dalam seminggu ini kita akan berbicara mengenai agenda orang Melayu sesuai dengan demam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini.
Presiden UMNO mahukan orang Melayu lebih maju dan beliau mahukan perhimpunan kali ini lebih kepada perbahasan berkaitan Agenda Melayu dan perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke 9 selari dengan Misi Nasional. Namun apakah hasrat murni ini akan berjaya selagi ada golongan yang berhasad dengki dan cemburu terhadap bangsa sendiri?.
Pada pandangan saya buatlah seberapa banyak pun dasar, resolusi, skim, rancangan pembangunan dan lain-lain yang bertujuan untuk memajukan orang Melayu yang akhirnya akan menemui kegagalan dan tidak mencapai objektif yang diinginkan akibat wujudnya golongan yang bersikap hasad dengki dan cemburu yang masih menebal di jiwa sebahagian orang Melayu masa kini.
Mengapa perlu kita menimbulkan perasan dengki dan cemburu apabila melihat umat sebangsa dengan kita berjaya?. Lebih pilu lagi dilemparkan berbagai tohmahan yang semestinya negatif dengan mempertikaikan bagaimana seseorang itu boleh berjaya walaupun individu tersebut berjaya berkat kerja dan usaha gigih disamping berdoa kehadrat Ilahi agar apa yang dilakukan diberkati olehNya. Pemikiran sebegini bukan mudah untuk dihapuskan di kalangan masyarakat Melayu. Ianya seolah-olah sudah sebati dan menjadi darah daging orang Melayu.
Fikiran yang rosak dengan menyimpan perasaan dengki dan cemburu kepada sesiapa sahaja orang Melayu yang lebih baik daripada mereka, akan cepat sahaja dilatahkan. Pantang melihat orang Melayu berjaya sama ada dari segi pendidikan, perniagaan, keharmonian rumah tangga, kerjaya, keagamaan dan politik, pasti ada segelintir umat Melayu akan terdetik dihati kecilnya bagaimana si polan itu boleh cemerlang dan berjaya.
Golongan sebegini bersikap cemburu dan dengki di atas kejayaan orang lain. Mereka seperti hilang akal apabila kejayaan, kemewahan dan kebahagiaan orang lain mengatasi dirinya. Adanya golongan sebegini dalam umat Melayu amat menyukarkan usaha-usaha kerajaan untuk memajukan orang Melayu dan Bumiputera.
Maka bermulalah episod mengumpat, mencaci, menghina dan mengutuk yang timbul apabila fikiran dan minda sudah mula dirasuk syaitan hasil akalnya sudah dikuasai oleh sindrom dengki dan cemburu. Golongan seperti ini sememangnya tidak akan puas sampai bila-bila. Mereka hanya boleh diam berkata-kata apabila diri mereka telah mencapai apa yang ingin dihajati, sama seperti insan yang menerima umpatan dan kutukan darinya dahulu.
Saya percaya jika boleh dirakamkan bualan orang Melayu semasa perhimpunan tahunan UMNO ini, pasti ramai yang berkata-kata yang berunsur fitnah, hasad dengki dan cemburu. Apabila melihat sahaja si polan bergaya dengan kereta mewah dan berketerampilan seperti "orang kaya dan berada" pasti ada mulut yang berkata "mana dia dapat duit sebanyak itu". Atau mungkin ada yang berkata, "ini makan rasuah kuatlah ni". Tiada langsung tanggapan positif. Sedangkan si polan yang menjadi mangsa umpatan dan kutukan itu tidak pun beliau kenali.
Apakah golongan sebegini tidak terfikir pegangan agama Islamnya dan sudah luputkah keimanan mereka? Tidakkah mereka tahu sifat buruk ini dibenci oleh agama Islam?. Sampai bila-bila pun orang Melayu tidak boleh maju ke hadapan jika mentaliti sebegini masih wujud. Malah akibat menebalnya sifat dan mind set seperti ini, mereka sanggup melihat orang Melayu mundur, miskin dan merana di negara sendiri.
Pernahkah golongan pendengki dan kuat cemburu ini berfikir sejenak secara rasional dan waras seperti ini, "begitu kuat usaha si polan tersebut sehingga dia boleh berjaya dan bergaya. Kalau boleh akupun hendak jadi sebegitu. Apakah rahsianya?. Bolehkah aku mendapatkan panduan dan galakan bagaimana si polan itu boleh berjaya dalam kariernya". Mungkin ada yang berfikiran sebegini, tetapi ianya amat sedikit sekali berbanding dengan si pengutuk dan penabur fitnah.
Mengapakah orang Melayu yang buruk sifat dan sikap ini tidak mahu mengubah dan mendisiplinkan dirinya untuk lebih terbuka dan matang dalam fikirannya?. Tiada siapa yang boleh mengubah perangai buruk orang Melayu yang sebegini jika bukan dirinya sendiri. Yang menjatuhkan orang Melayu adalah bangsa Melayu sendiri.
Orang lain berjaya dalam pelajaran kerana berkat usaha dan pembelajaran yang betul dan sistematik. InsyaAllah dengan ketentuan tuhan, hasil usaha yang kuat pasti akan berjaya. Namun golongan berbudaya dengki dan cemburu ini akan menjaja ke seluruh kampung bahawa si polan berjaya dalam pelajaran kerana menggunakan bomoh. Malah ada yang sanggup berkata si polan itu berjaya kerana meniru semasa peperiksaan. Tiada langsung ucapan tahniah dan bertanya apa rahsia kejayaan dalam pelajaran. Ucapan yang diberikan adalah luahan fitnah dan kutukan.
Golongan sampah dalam bangsa Melayu ini seperti tidak boleh menerima hakikat bahawa terdapat orang lain yang lebih baik dan bagus dari mereka. Akibatnya pelbagai tohmahan mula dilemparkan sebagai memuaskan hati mereka. Mereka terasa aman dan bahagia apabila sikap cemburu dan dengki itu diluahkan dengan fitnah, cacian, kutukan dan umpatan.
Akibat dengki dan cemburu kerana melihat orang lain dapat menikmati dan memperolehi apa yang golongan ini juga impikan, sedangkan golongan hasad dengki ini tidak dapat kecapinya, maka jentera di mindanya mula bergolak dengan memikirkan segala bentuk yang negatif. Orang Melayu amat mudah memberi tanggapan negatif apabila merasakan diri mereka tertinggal bila dibandingkan dengan orang lain terutama bangsanya sendiri.
Yang menghairankan ialah golongan ini tidak pula "menanamkan" budaya dengki dan cemburu ini terhadap bangsa lain. Apabila mendapat tahu sahaja syarikat milik orang Melayu berjaya dalam perniagaannya, maka dengan mudah dilemparkan tuduhan bahawa syarikat tersebut mengamalkan rasuah, menggunakan kuasa politik dan "kabel baik" dengan orang kerajaan. Sungguh senteng dan memalukan bangsa Melayu kerana masih ada yang bersikap begini. Mengapakah mereka tidak menanamkan usaha yang kuat untuk bersaing dan berjaya juga dalam perniagaan? Itu adalah lebih baik dari menjual fitnah dan cacian.
Mengapa tidak "meluahkan" perasaan isi hati tersebut kepada syarikat konglomerat milik bangsa lain?. Apakah "halal" untuk tidak mencemburui kejayaan syarikat milik orang Cina dan amat"berdosa" jika tidak menimbulkan hasad dengki dan cemburu kepada syarikat orang Melayu?.
Mereka lebih rela melihat kejayaan dinikmati oleh bangsa lain, daripada bangsa sendiri. Mereka sanggup ketawakan seseorang Melayu yang telah gagal dalam perniagaan dan kehidupan. Puas rasa hati mereka apabila melihat orang yang mereka benci telah tersungkur menyembah bumi.
Begitu juga dalam senario politik masa kini. Golongan budaya dengki dan cemburu ini akan terus melontarkan asakkan berbentuk fitnah, kejian, kutukan dan mencarut kepada pemimpin negara. Sebabnya mereka ini sudah tepu dalam fikiran mereka apa sahaja yang orang lain buat semuanya tidak betul dan salah. Mereka sahaja yang benar dan betul. Mungkin mereka kecewa kerana sesuatu tidak diperolehi ataupun sudah menjadi sifat semula jadi membangkang apa sahaja yang terlintas di depan mereka. Masa kan tiada satupun kebaikan yang dilakukan oleh pemimpin sekarang?.
Lihat sahaja lah di laman web bermotif politik yang terdapat di internet. Saya ada juga melayari laman web kategori politik negara lain seperti dari Amerika Syarikat, India dan Jepun, tetapi tidaklah seteruk laman web politik tempatan. Ruangan forum laman web politik tempatan penuh dengan cacian, kutukan, fitnah dengan menggunakan bahasa yang amat kasar dan lucah yang dilemparkan kepada kerajaan dan pemimpin. Moderator laman web berkenaan yang pastinya orang Melayu perlulah menapis kiriman orang ramai ke ruangan forum di web berkenaan daripada disiarkan tulisan yang tidak senonoh. Sedikit sebanyak ia mengambarkan rendahnya mentaliti peminat politik di negara ini.
Sehinggakan ada rakan bangsa lain dengan sinisnya berkata kepada saya, jika hendak melihat sikap dan sifat sebenar orang Melayu, layarilah ruangan forum politik di laman web politik orang Melayu.
Lebih dahsyat lagi ada orang Melayu yang sanggup berdoa yang tidak baik agar mereka yang telah berjaya seperti dalam perniagaan, jatuh dan gagal dalam perniagaannya. Malah ada yang beralih arah ke perlakuan syirik apabila sanggup mengunakan ilmu hitam supaya niat busuk mereka itu terlaksana. Begitu keji dan buruk sekali orang Melayu yang mempunyai sikap dan pemikiran sebegini.
Mengkritik tidak salah jika diluahkan dengan pendapat yang bernas dan gaya bahasa yang sopan. Kritikan yang membuta tuli tanpa asas dan lebih bersifat emosi adalah disebabkan rangsangan sifat dengki dan cemburu yang menguasai diri mereka. Lebih buruk lagi kritikan yang menjatuhkan air muka seseorang dan fitnah peribadi.
Sememangnya bukan kuasa kita dan juga mustahil untuk menghapuskan golongan yang ada pegangan budaya dengki dan cemburu ini di dalam masyarakat orang Melayu. Kaum lain juga ada yang bersikap sedemikian tetapi tahapnya tidaklah seteruk bangsa Melayu. Sikap buruk orang Melayu ini sudah terkenal sejak beratus tahun dahulu sehinggakan penjajah Portugis dapat menjajah Melaka dengan mengambil kesempatan dan mengeksploitasikan kelemahan dan keburukan sikap dan sifat orang Melayu sendiri.
Dengki dan cemburulah terhadap diri sendiri kerana masih tidak maju berbanding dengan orang lain. Jika orang Melayu masih berpeluk tubuh dengan mengharapkan bantuan kerajaan dan hikmat "lampu Aladdin" untuk membantu mereka berlari mengejar kemajuan, sampai bila pun tidak akan berjaya. Ditambah pula dengan budaya dengki dan cemburu yang semakin menebal selari dengan ramainya orang Melayu yang sudah berjaya dalam karier masing-masing.
Semakin ramai orang Melayu yang berjaya dalam kehidupan, semakin ramailah golongan hati busuk ini berada dalam kelompok masyarakat. Mereka ini orang yang malas berusaha. Akibat malas, kehidupan mereka tidak sempurna kerana kurang dalam serba serbi. Penyelesaiannya ialah menyalahkan orang lain yang mengakibatkan mereka menjadi miskin. Apabila diri tidak kuat dari segi mental dan akidah, maka tiupan syaitan yang berbaur dengki dan cemburu pun muncul. Ianya dilaksanakan dengan tambahan ramuan mengumpat, mengutuk, menghina dan memfitnah.
Sampai bila Agenda Melayu akan terlaksana jika golongan yang mempunyai hasad dengki dan cemburu masih wujud dan bermaharajalela?
No comments:
Post a Comment