Apa yang ingin saya perkatakan di sini, mungkin tidak mendapat tempat di hati para pemimpin politik orang Melayu, baik dari parti yang memerintah mahupun pembangkang. Realitinya Melayu sesama Melayu sudah mula bertelagah dan bertengkar di kedai kopi, di rumah, di kedai gunting rambut malah di warung-warung tom yam di tepi jalan.
Orang biasa tidak kira kumpulan yang sudah berpencen sehingga ke mat rempit sudah mula berani mengeluar dan memberi pendapat. Malah sudah ada fenomena menganalisa dan mengkritik kenyataan yang di buat oleh pemimpin-pemimpin politik di akhbar-akhbar tempatan. Malah gaya persembahan penulisan wartawan juga turut mendapat komen. Malah ada pula yang sudah pandai menilai akhbar A sokong siapa, akhbar B sokong siapa, akhbar C lebih terbuka, akhbar D pula memberikan ruang yang luas kepada pembaca untuk memberikan komen.
Perubahan ketara sebegini amat menakjubkan dan memberangsangkan minda supaya lebih berfikir secara terbuka dan logik. Malah ada yang sanggup membawa komputer riba ke kedai kopi untuk sama-sama melayari dan membaca beberapa laman web yang membicarakan polimik yang melanda Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perkembangan menarik sebegini amat dibanggakan apabila rakyat telah mula rajin membaca walaupun hanya senaskhah akhbar setiap hari. Malah jualan akhbar di kedai juga laris begitu cepat sehingga ada yang membayar pendahuluan untuk mendapatkan akhbar keesokan harinya terutamanya akhbar Utusan Malaysia.
Kemelut yang melanda hubungan antara perdana menteri dan bekas perdana menteri ini sudah menjadi topik wajib dalam minggu pertama bulan Syawal. Rata-rata menyatakan simpati kepada Pak Lah dan menggeluh panjang terhadap Dr. Mahathir. Itulah gambaran masa kini bualan orang biasa yang majoritinya orang Melayu.
Perbandingan gaya dan corak pentabiran Pak Lah dan Tun menjadi topik hangat perbualan. Nyata terdapat beza yang ketara antara corak ketegasan dan lantang bersuara Tun berbanding dengan kesederhanaan dan berbudi sopan dalam tutur kata oleh Pak Lah. Sifat keterbukaan dan mengalakkan rakyat menegur jika ada kesilapan dalam jentera pentadbiran kerajaan adalah selaras dengan ungkapan awal semasa Pak Lah menjadi perdana menteri "bekerja bersama saya bukan bekerja untuk saya".
Namun sifat kesederhanaan inilah yang diambil kesempatan dan diputar belit oleh golongan tertentu dengan mengandaikan Pak Lah tidak tegas seperti Tun. Malah ada yang berani berkata ramai yang tidak takut dengan Pak Lah berbanding dengan Tun.
Ada juga yang memberikan pendapat bahawa kedua pemimpin ulung orang Melayu ini hanya berseloroh. Jika benar berseloroh, ini amat menyedihkan kerana sudah ramai rakyat yang kecewa kerana tidak mahu Melayu berpecah lagi.
Cukuplah peristiwa hitam 1987 dan 1998 yang mengakibatkan Melayu berpecah dengan begitu hebat sekali sehingga terbentuk parti baru. Apakah Tun sudah lupa atau sengaja buat lupa?. Melayu tidak mudah lupa terhadap peristiwa hitam yang melanda umat Melayu di bumi Malaysia ini. Kita tidak rela berpecah lagi jika kemelut ini tidak ditangani dengan segera.
Yang menghairankan orang ramai ialah tidak bolehkah Tun bersemuka dengan perdana menteri memlalui saluran yang telah sedia ada. Sifat Tun sebagai negarawan amat mudah untuk duduk bersama dan berbincang dengan Pak Lah berbanding dengan kami rakyat biasa yang sememangnya mustahil untuk berjumpa dengan perdana menteri. Lebih-lebih lagi Pak Lah menjadi perdana menteri kerana lantikan oleh Tun sendiri dan sudah tentu Pak Lah akan meluangkan masa untuk benjumpa dengan Tun.
Akan tetapi apabila Tun menggunakan media untuk mengkritik Pak Lah, cerita sudah bertukar dan menjadi lain maksudnya. Bagi kami sebagai orang kebanyakan, sifirnya mudah sahaja. Tentu ada persoalan pokok yang menjadikan Tun bersikap begitu rupa. Namun rakyat pasti sehingga kini persoalan pokok itu masih menjadi rahsia antara mereka berdua.
Yang jelas dan terserlah, sudah wujud suasana yang tidak selesa dalam perpaduan orang Melayu. Perselisihan pendapat sekarang ini bukan sahaja diantara Pak Lah dan Tun, malah sudah menular ke rakyat biasa. Ini yang membimbangkan. Keadaannya tidak sama dengan tahun 1987 dan 1998 kerana ia pertembungan politik antara dua pihak yang bersengketa yang akhrnya berlanjutan sehingga tertubuhnya Semangat 46 dan Keadilan.
Keadaan sekarang ialah antara perdana menteri dengan bekas perdana menteri.
Tidak mustahil peristiwa hitam masa lalu akan berulang. Kepada pemimpin negara, bersatu padulah demi kekuatan orang Melayu dan UMNO. Peringkat akar umbi juga sudah terikut-ikut dengan kemelut yang sedang panas bergolak ini. Pembangkang sekarang ini senang lenang kerana mereka tiada isu untuk diketengahkan untuk meraih undi. Konflik Pak Lah-Tun sememangnya menguntungkan karier politik PAS.
Telahan saya mungkin ada dalang dan tukang cucuk di belakang Dr Mahathir terhadap isu-isu yang ditimbulkan ternyata hampir benar apabila dilihat siapa sebenarnya dibelakang beliau kini. Selama di dalam kerajaan Tun menegaskan kaum keluarga tidak boleh mendapat projek kerana akan ada unsur rasuah, nepotisme dan kronisme. Kini rakyat baru tahu sebenarnya di zaman Tun pun anak-anak mendapat projek. Dan apakah persaingan perniagaan anak-anak menyebabkan Tun bertukar sifat dan sikap? Tun berkata masih sayangkan UMNO. Tetapi jika begini caranya ianya bukannya menunjukkan sayangkan UMNO malah lebih terdorong untuk membunuh UMNO.
Apakah Dr Mahathir merasakan semasa pemerintahannya, beliau berjaya mentadbirkan negara dengan cemerlang 100% tanpa ada cacat cela?. Apakah kita kena mengingatkan kembali Dr Mahathir tentang ketidak puasan dua bekas Perdana Menteri selepas UMNO diharamkan pada tahun 1987 dan hampir wujud parti baru bernama UMNO Malaysia?. Mengapa mereka sanggup hendak campur tangan dalam membentuk parti UMNO baru ketika itu?. Tentu ada sebabnya yang hanya Dr Mahathir sahaja yang tahu jawapannya.
Golongan seperti kami inilah yang akan menjadi tempat untuk dilemparkan penerangan dan penjelasan oleh pihak yang berbalah samada menyebelahi Pak Lah ataupun Dr Mahathir. Bila keadaan ini berlaku, kamilah yang menjadi sasaran untuk dijajakan pendapat menangkis serangan golongan tertentu. Sasaran utamanya adalah golongan bawahan seperti kami ini. Dan yang akan bercakaran jika tidak kuat pegangan adalah golongan seperti kami juga. Yang akan berarak dan menjerit-jerit tak tentu pasal adalah kami juga.
Apabila sudah reda dan perbalahan tamat, kami jugalah yang terpinga-pinga dan bermusuh sesama sendiri. Inilah dilema golongan bawahan, golongan akar umbi. Hakikatnya kami menyokong kepimpinan yang sedia ada. Tiada cacat celanya kepimpinan Pak Lah sekarang.
Apakah perkara yang tidak betul dan buruk pemerintahan Pak Lah pada pandangan golongan pro Dr Mahathir ini tidak pernah dilakukan oleh kepimpinan negara sebelum ini?. Malah lebih buruk daripada itu pernah dilakukan. Cuma terbatas dan tidak boleh didedahkan gara-gara halangan dan kekebalan tertentu.
Rakyat peringkat bawahan ingin melihat negara kita aman selama-lamanya terutama orang Melayu. Kami golongan akar umbi tidak mahu lagi menjadi kambing hitam antara dua kumpulan yang bergolak. Sudah serik rasanya mengenangkan perbalahan dahulu yang akhirnya memalukan orang Melayu sendiri.
Apabila beliau memperlekehkan dasar kewangan negara, wang rezab negara dan RMK9, jelas dilihat bahawa Dt Mahathir masih beranggapan beliau masih lagi kuat pengaruhnya. Beberapa siri forum dan persidangan antarabangsa anjuran beliau dan pengikut setianya jelas mengambarkan beliau mahu seluruh dunia mengetahui bahawa beliau masih ada kuasa dan pengaruh di negara ini.
Yang pasti Dr Mahathir dan pengikutnya tidak akan berpuas hati sesiapa sahaja yang mentadbir Malaysia selain daripada beliau. Kumpulan seperti ini boleh dianggap tidak tahu bersyukur di atas nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan.
Jika beginilah keadaannya perbalahan ini tidak dibendung segera, akibatnya yang keruh tidak dapat dibuang, yang jernih jelas keciciran. Melayu tidak rela lagi berpecah. Kita sebenarnya sudah serik. Besatu padulah wahai pemimpin orang Melayu.
No comments:
Post a Comment