Wednesday, November 22, 2006

NASH AKHIRI ZAMAN DUDA

Nash akhiri zaman duda

21-11-2006 12:51:39 PM

Duda yang pernah mendapat gelaran "penyanyi contoh" dan "bapa mithali" Nash Lefthanded akhirnya akur pada ketentuan jodoh dan memilih ahli perniagaan berjaya bernama Susilawati sebagai pasangan hidupnya.

Majlis pernikahan telah diadakan di rumah pengantin perempuan di Kampung Seri Menmanti, Batu Pahat pada hari Khamis 16 November baru-baru ini dan turut dihadiri oleh kaum keluarga kedua belah pihak.

"Majlis pernikahan cukup sederhana kerana menunaikan permintaan ibu mertua saya yang inginkan majlis pernikahan diadakan sebelum dia berangkat ke Mekah. Saya akur kerana keluarga isteri saya amat menyayangi saya lebih-lebih lagi ibu mertua saya," ujar Nash yang menduda selama 11 tahun.

Pintu hatinya terbuka untuk menyunting isterinya, seorang pengusaha perniagaan kecantikan Nouvelle Visage yang juga seorang janda jelita berusia 40an beranak enam pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"Isteri saya telefon saya dari Mekah pada bulan Ramadhan baru-baru ini dan kami berbual macam biasa. Selepas itu, hati saya terus berdetik dan berkata alangkah baiknya kalau saya menjadikan dia suri rumah saya," jelas penyanyi yang cukup terkenal dengan hemah yang tinggi itu.

Jelasnya lagi, "Entah mana hati saya terbuka untuk berkahwin lagi. Inilah dikatakan kebesaran illahi. Jodoh pertemuan sememang telah ditetapkan dan kita tidak boleh lari darinya."

Menurut Nash, dia menerima jodoh yang ditetapkan "sebagai yang terbaik untuk saya dan anak-anak" dan berasa lega kerana semua urusan pernikahan selamat dijalankan tanpa sebarang masalah.

"Anak-anak saya menitis airmata ketika majlis pernikahan. Mungkin mereka sebak dan tidak sangka saya akan berkahwin juga akhirnya," jelas Nash lagi.

Menurut Nash, pihak perempuan akan mengadakan jamuan pada hari 24 November ini di Kampung Seri Menanti manakala pihak lelaki pula akan mengadakan majlis resepsi pada bulan Disember nanti.

"Insya Allah, saya akan mengundang rakan-rakan artis dan pihak media bila tiba masanya nanti. Lagipun saya tidak pernah berniat untuk menyembunyikan berita perkahwinan saya. Cuma saya tidak mahu heboh-heboh kerana saya hendak menjaga hati orang-orang tertentu," jelas penyanyi hitam manis yang begitu sinonim dengan lagu ‘Tiada Lagi Kidungmu,’ ‘Ku Halaman Rindu’ dan ‘Pada Syurga Di Wajahmu.’

Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 47, pernah menerima Anugerah Bapa Seniman oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sempena sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada bulan Julai tahun ini.

Bagi Nash memang sukar untuk dia mencari pengganti.

"Saya pernah berkata biar cinta datang sendiri dan saya tidak akan mencarinya. Saya juga sedar bukan mudah bagi wanita untuk mengahwini lelaki beranak empat. Susilawati adalah jodoh saya dan saya menerima dia seadanya,"kata ayah penyayang yang suka berterus terang ini.

Setelah membujang selama 11 tahun dan selepas berpisah dengan isterinya, Nash telah memberi sepenuh kasih sayang dan membesarkan sendiri tiga anak kandungnya, Fareena Nasha, 18, Najeeha Nasha, 16, Mohd Shameer Nasha, 11, dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, sembilan tahun.

"Di akhir usia saya, saya ingin habiskan dengan anak-anak tersayang dan orang yang menyayangi saya. Alhamdulillah, Allah kabulkan doa saya. Hanya hidup yang diberkati akan membahagiakan kita," kata penyanyi lagenda yang mempunyai ribuan peminat di seluruh Malaysia ini.

Nash juga bersyukur anak-anaknya begitu memahami dirinya dan senantiasa memberi sokongan kepadanya.

"Sebelum ini, saya cukup fobia untuk bercerita pasal hendak kahwin lagi. Namun bila anak-anak makin membesar, mereka pula yang lebih perihatin tentang keperluan saya dan mereka sendiri yang meminta saya berkahwin lagi Saya rasa bangga anak-anak memahami keadaan diri saya," jelas Nash lagi.

Nash yakin dia telah buat pilihan yang tepat.

"Selama satu tahun mengenali Susilawati saya yakin dia dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya sebagai ibu baru kepada anak-anak saya dan begitu juga dengan saya.

"Kami akan memberi kasih sayang terhadap semua anak kami, yang berjumlah 10 orang kini. Semoga kasih sayang di antara kami akan bertambah setiap hari," ujar Nash turut memegang jawatan Timbalan Ketua Umno Cawangan Seksyen 7, Shah Alam, Timbalan Persatuan Karyawan Malaysia dan Timbalan Presiden Kelab Bikers Selangor.

P/S
Bagi pihak Keluarga TERAJU, kami mengucapkan selamat pengantin baru kepada Nash. Perbualan telefon saya dengan Nash semalam adalah seperti berikut:,
Beliau telah bernikah pada 16 November (khamis) lalu di rumah perempuan di Batu Pahat. Majlis tersebut hanya dihadiri oleh keluarga terdekat. Kenduri rumah perempuan akan dibuat pada 24 November ini, iaitu sebelum keluarga mertuanya menunaikan ibadah haji. Resepsi keluarga Nash akan diadakan pada bulan Disember. Tarikh belum tetap lagi. Mungkin di Muar atau Shah Alam. Janji Nash akan menjemput Keluarga TERAJU untuk hadir.

No comments: