Wednesday, November 22, 2006

BANGSA MALAYSIA : APA KATA ORANG MUDA?

Bangsa Malaysia: Apa kata orang muda?

KUALA LUMPUR: "Dua puluh tahun dari sekarang, tiada lagi orang kulit hitam atau putih ataupun orang Asia... semuanya berwarna kuning air," kata pelawak Russell Peters yang berketurunan Kanada-India mengenai bagaimana dunia terus menjadi kecil setelah perkahwinan antara kaum kini lebih lazim berbanding sebelum ini.

Dalam pada jenaka Peter bertujuan mencetuskan ketawa, rakyat Malaysia khasnya yang masih terasa bahang polemik berhubung Bangsa Malaysia, sebaliknya menjadikannya titik tolak untuk memikirkannya secara mendalam.

Malaysia merupakan sebuah negara dengan latar belakang etnik yang luas terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak dan golongan etnik lain selain mereka daripada darah kacukan antara kumpulan-kumpulan etnik ini.

'Bangsa rojak'
Kekecohan berhubung Bangsa Malaysia tercetus apabila Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman semasa konvensyen Umno Johor baru-baru ini meluahkan rasa tidak setujunya atas alasan ia tidak lebih daripada 'bangsa rojak' dan menimbulkan persoalan terhadap kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Ahli politik dan cendekiawan berhempas pulas membincangkan definisi Bangsa Malaysia dengan penyokong kuatnya, khasnya parti Gerakan, membidas kenyataan Ghani.

Namun debat panjang lebar itu tidak membawa penyelesaian muktamad tetapi takrifannya bertambah kompleks seperti Bangsa Malaysia hanya merujuk kepada 'keadaan minda' atau sekadar rakyat yang bersatu.

Soalnya sekarang ialah sama ada konsep itu bertujuan membawa perpaduan mutlak di dalam negara ataupun konsep Bangsa Malaysia kini mangsa agenda politik sempit.

Apakah pandangan generasi baru, khasnya mereka daripada darah kacukan, mengenai konsep Bangsa Malaysia?

Bukan lupa asal-usul
Arvin Mogan Naidu, 24, dari Taylor's College di Petaling Jaya, anak kacukan Cina dan India berpendapat,"kami (muda-mudi) sebagai pewaris Malaysia, jadi kami berhak menyuarakan sedikit pendapat berhubung Bangsa Malaysia".

"Untuk diiktiraf sebagai Bangsa Malaysia itu tidak menimbulkan isu seseorang hilang identiti kaumnya... atau, sekurang-kurangnya, ia tidak sepatutnya begitu," demikian ulasan Neo Ming Yi, 18, dari Cheras dan kini belajar di Queensland University of Technology, Australia.

"Ia semuanya mengenai kesederhanaan dalam pemikiran kita," katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, penuntut Inti College Subang Jaya, Suresh Kevin Nair, 23, mengulas, "ia bukan mengenai melupakan asal-usul anda.

"Sebagai contoh, saya berdarah India sepenuhnya, tetapi saya boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu dan kantonis, bukan kerana saya mahu menyesuaikan diri atau sebagainya tetapi hanya sekadar proses pembelajaran semulajadi bagi saya, yang tanpa disedari telah memudahkan saya berkomunikasi.

"Adakah ini bermaksud saya kurang berjiwa India hanya kerana saya telah menguasai satu atau dua bahasa tambahan? Tidak, saya hanya melihatnya sebagai menyesuaikan diri bersama ciri berbilang budaya negara ini," jelasnya.

Satu khayalan
Barapui Timothy Balangalibun, penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Skudai, Johor Bahru, bagaimanapun agak ragu dengan realiti konsep ini.

"Memang baik jika kita memikirkan masyarakat kita sebagai satu bangsa, tetapi mengubah minda yang bertumpukan pada asal-usul etnik mana-mana individu, apa lagi orang ramai, pastinya mencabar dan sebab itu idea Bangsa Malaysia lebih kepada khayalan bagi saya.

"Bagaimanapun, saya percaya kita tetap perlu berusaha ke arah Bangsa Malaysia, ini kerana sekurang-kurangnya mereka seperti saya tidak perlu menggunakan kata nama tidak rasmi seperti 'Kelabrit' (kacukan Kelabit dan British)," tambah pemuda berusia 21 ini dengan gelak tawa.

"Mungkin kita nanti berada pada kedudukan lebih baik sebagai sebuah negara bersatu di bawah terminologi Bangsa Malaysia," kata Rosliza Mah, 21, dari Curtin University of Technology, Sarawak.

Katanya, "Walau apapun, saya rasa kita tidak harus lihat konsep 'Bangsa Malaysia' daripada sudut kewarganegaraan ataupun semantik.

"Mengapa tidak terimanya sebagai identiti keseluruhan kita? Pastinya dengan persefahaman dan penghormatan yang sama, kita akan dapat memulihara budaya dan tradisi masing-masing sementara dipanggil sebagai satu entiti," kata beliau lagi.

"Bagi saya secara peribadi, saya tidak berminat mengambil pendirian mengenai Bangsa Malaysia dan kesannya daripada pelaksanaannya buat masa ini.

"Yang lebih penting, pada pendapat saya, banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi pandangan serong yang masih wujud di kalangan kita."

Demikianlah pandangan golongan muda yang bakal menerajui kepimpinan negara masa depan dan akan menjadi penentu kepada konsep Bangsa Malaysia.
BERNAMA

No comments: