Thursday, November 30, 2006

RAIS: KERIS BUKAN ISU PERGESERAN KAUM

Rais: Keris bukan isu pergeseran antara kaum
30-11-2006 09:00:35 PM
KUALA LUMPUR: Keris yang menjadi simbol dan lambang kepahlawanan dan kebudayaan masyarakat Melayu tidak boleh dijadikan sebagai perbalahan perkauman, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) Datuk Seri Rais Yatim.
Beliau berkata, keris perlu dilihat sebagai simbol yang membawa pengertian budaya dan tidak perlu dipertikaikan kerana secara kebetulan keris merupakan pakaian dan simbol perjuangan orang Melayu Nusantara.
"Soal keris ini kita harus damaikan oleh kerana ia tercipta bukan dalam zaman kita (zaman moden), ia tercipta dalam zaman purba kala," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2007 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Rais membangkitkan isu keris itu setelah Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin), semasa sesi perbahasan rang undang-undang itu, menuduh KeKKWa gagal berperanan kerana tidak berjaya menyelesaikan pertikaian berkaitan keris sehingga ia menjadi bahan kecaman oleh pembangkang.
"Hak asas yang ada pada keris itu ialah hak yang membawa budaya tertentu yang tidak boleh dijadikan bahan untuk bergaduh atau untuk mencari hal," katanya.
Isu keris menjadi perdebatan hangat pada sidang Dewan Rakyat sepanjang minggu ini apabila penggunaannya sebagai lambang bendera Umno dipertikaikan oleh pembangkang.
Perbuatan Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencium keris pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini turut dipertikaikan oleh pembangkang.
Rais berkata keris juga seperti pedang milik King Arthur yang pernah dijadikan lambang kepahlawanan masyarakat Barat satu ketika dulu.
Beliau juga berkata Istana Negara yang ada sekarang akan dijadikan sebagai Muzium Diraja apabila pembinaan Kompleks Istana Negara yang baru siap.
Kompleks Istana Negara dibina di tanah seluas 96.52 hektar berhampiran Jalan Duta bagi menggantikan Istana Negara sekarang yang telah dibina pada 1928.
Pembinaannya akan bermula pada Jun tahun depan dan dijangka siap pada 2009.
BERNAMA

No comments: