Saturday, November 25, 2006

YAYASAN MAHATHIR BINA MASJID DI PATTANI


Yayasan Mahathir Bina Masjid Di Pattani

BANGKOK, 24 Nov. Sebuah yayasan yang diterajui bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad akan membina sebuah masjid dengan kos kira-kira RM500,000 di wilayah bergolak Pattani di selatan Thailand.

Konsul Kehormat Diraja Thailand Datuk Shazryl Eskay Abdullah berkata anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz, akan menghadiri majlis pecah tanah masjid itu, yang mempunyai kapasiti bagi 350 jemaah, di Kampung Pasir Jawa, Teluban, pada Isnin.

Beliau berkata Perdana Global Peace Organisation (PGPO), diterajui Dr Mahathir, akan menanggung kos pembinaannya manakala bahan-bahannya adalah dari sumber tempatan untuk memastikan penyertaan masyarakat setempat dan mewujudkan peluang kerja.

"PGPO dan konsulat akan bekerjasama rapat dengan Gabenor Pattani untuk memastikan kejayaannya.

"Semua wang akan disalurkan ke pejabat gabenor bagi pemantauan serta bagi memastikan hasrat murni kami tidak disalah tafsir," katanya semasa dihubungi hari ini.

Katanya juga terdapat perancangan untuk membaiki dan menaik taraf masjid-masjid lama di kawasan lain.

Beliau berkata majlis pecah tanah itu akan disusuli dengan upacara solat khas melibatkan kira-kira 3,000 orang untuk mendoakan keamanan di selatan.

Cadangan untuk membina masjid itu diilhamkan semasa rundingan damai antara pemberontak dan kerajaan Thailand awal tahun ini yang diusahakan oleh Dr Mahathir dan diri beliau sendiri, katanya.

"Beberapa anggota delegasi meminta bantuan Tun untuk membina masjid. Tun berjanji yang beliau akan menyumbang ke arah itu sebaik sahaja rundingan damai itu selesai," katanya.

PGPO menamatkan rundingan pada Ogos dan telah menyerahkan draf damai kepada kerajaan Thailand untuk tindakan lanjut.

Dr Mahathir mengusahakan pelan damai di selatan Thailand ekoran lawatan beliau ke Bangkok pada November tahun lepas dengan beliau mengadakan pertemuan dengan Raja Thailand Bhumibol Adulyadej dan perdana menteri pada ketika itu Thaksin Shinawatra.

Lebih 1,800 orang terbunuh sejak keganasan meningkat dua tahun lepas di wilayah majoriti penduduk Islam di Yala, Pattani dan Narathiwat.

No comments: