Saturday, November 25, 2006

MELAYU SINGAPURA MENCARI ARAH


Melayu S'pura masih mencari arah dalam dunia global

SINGAPURA: Masyarakat Melayu Singapura barubaru ini menjadi tumpuan media di sini apabila ada kalangan profesionalnya menyuarakan rasa bimbang terhadap masa depan masyarakat itu, semasa negara pulau tersebut sedang bergerak dengan laju dalam arus persaingan global.

Ada kalangan mereka tanpa berselindung lagi mendedahkan tentang kemungkinan masyarakat minoriti itu akan ketinggalan dan berhadapan dengan keadaan yang lebih buruk lagi berbanding sekarang.

Walaupun ada kalangan masyarakat Melayu di sini yang sudah menempa kejayaan dalam hidupnya, namun secara keseluruhannya fakta statistik masih tidak memihak kepada mereka.

Dari segi pendidikan, masyarakat Melayu yang membentuk kira-kira 14 peratus daripada kira-kira 4.2 juta penduduk Singapura, masih jauh ketinggalan berbanding masyarakat Cina, yang merupakan majoriti, dan juga masyarakat minoriti kaum India.

Menurut Kajian Am Isi Rumah 2005 yang dikeluarkan pada bulan Jun tahun ini, masyarakat Melayu menunjukkan peningkatan dari segi peratusan yang mendapat pendidikan politeknik atau universiti, iaitu daripada 4.9 peratus pada tahun 2000 kepada 8.6 peratus pada 2005.

Peningkatan itu bagaimanapun masih jauh ketinggalan berbanding kaum Cina, iaitu dari 20 peratus kepada 27 peratus dan masyarakat India daripada 20 peratus kepada 31 peratus bagi tempoh yang sama.

Dari segi purata pendapatan bulanan pula, statistik menunjukkan bahawa dalam tempoh itu terdapat pertambahan pendapatan daripada S$3,200 pada 2000 kepada S$3,400 pada 2005 bagi masyarakat Melayu, berbanding S$5,200 kepada S$5,600 bagi masyarakat Cina, dan S$4,600 kepada S$5,200 bagi masyarakat India.

"Semua tanda-tanda menunjukkan bahawa keadaan akan bertambah sukar," kata Pengerusi Persatuan Muslim Profesional (AMP), Imram Mohamed semasa berucap pada majlis meraikan ulang tahun ke-15 penubuhan persatuan itu, baru-baru ini.

Imram turut menyentuh tentang pentingnya orang Melayu mencari jalan bagi mengatasi trend itu jika mereka tidak mahu berakhir sebagai masyarakat kelas bawahan yang bergantung kepada pemberian orang lain.

Laporan media di sini juga menyebut bahawa jumlah orang Melayu yang menghuni penjara dan pusat pemulihan dadah, kalangan yang berpendapatan rendah, serta remaja bermasalah di Singapura juga adalah tinggi.

"Masyarakat Melayu tidak dapat menampilkan respond yang sewajarnya terhadap ekonomi baru, dan tidak bersedia menghadapi cabaran globalisasi mahupun persaingan hebat," kata Imram sebagaimana yang dipetik dari laporan akhbar The Straits Times.

Singapura pula pada masa yang sama bergerak amat laju dalam arus ekonomi global, di mana menurut laporan A.T. Kearney/Foreign Policy Magazine Globalization Index 2005, Singapura merupakan negara paling global di dunia, mengatasi Ireland, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Imram berkata beliau mahukan supaya masyarakat Melayu melakukan perubahan minda supaya lebih berdaya saing dan beliau turut menggesa supaya kerajaan menaikkan upah pekerja bergaji rendah bagi membolehkan mereka menyerap impak globalisasi.

Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan Dr Vivian Balakrishnan bagaimanapun berpendapat peningkatan upah dan perlindungan dalam persaingan bukanlah jalan penyelesaian.

"Penyelesaian jangka panjang, masih kekal kepada usaha memberi tumpuan dalam soal pendidikan dan mewujudkan lebih banyak kalangan professional," katanya dan menambah bahawa masyarakat Melayu-Muslim boleh bergerak lebih pantas dengan membabitkan diri sepenuhnya dalam peluangpeluang yang disediakan.

"Bagi membolehkan masyarakat minoriti bergerak maju dalam persekitaran berbilang kaum yang global, kita perlu saling berhubungan dengan lainlain komuniti, dan kita perlu menyatukan diri dalam kehidupan sosial di arus perdana.... itu caranya yang akan membolehkan anda bersaing dengan jayanya," kata beliau sebagaimana yang dipetik oleh The Straits Times.

Isu itu menarik perhatian para penganalisis dan aktivis sosial Melayu, antaranya Ramli Puteh yang mengatakan bahawa penganggur terbesar dari kalangan mereka yang berkemahiran rendah ialah orang Melayu.

"Kita seharusnya bersikap proaktif, mengatasi sesuatu sebelum menjadi masalah," menurut beliau dalam hasil penulisannya yang disiarkan akhbar Berita Harian.
Menurutnya usahausaha yang dilakukan setakat ini lebih menjurus kepada memulih mereka yang sudah terjerumus dalam masalah.

Banyak persatuanpersatuan Melayu yang sememangnya prihatin dengan nasib masyarakat itu termasuk AMP dan Mendaki, tidak hentihenti menganjurkan pelbagai program bagi membantu masyarakat kaum itu mengharungi persaingan.

Dr Vivian sendiri yakin dan menurutnya beliau sendiri sudah melihat bukti bahawa orang Melayu juga boleh berjaya dengan kemunculan ramai ahli profesional dari kalangan masyarakat itu.

"Kejayaan yang anda kecapi itu, diperolehi menerusi usaha anda sendiri... tanpa tindakan tegas tanpa kuota, tanpa peraturan khas," katanya.


No comments: