Mukhriz: Saya kesal, tiada niat singgung Presiden
22-11-2006 12:54:07 AM
22-11-2006 12:54:07 AM
KUALA LUMPUR: Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir hari ini melahirkan rasa kesal ekoran kenyataannya berhubung ucapan dasar presiden semasa perhimpunan agung Umno 2006 minggu lepas.
Katanya kenyataan beliau itu tidak berniat menyinggung mana-mana pihak, terutama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno.
"Saya menerima baik teguran Yang Berhormat Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia terhadap saya tempoh hari.
"Saya berasa kesal dan ingin menyatakan bahawa saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak, terutama sekali Yang Amat Berhormat Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi mengenai kenyataan saya terhadap ucapan dasar beliau seperti yang telah dilaporkan oleh sesetengah media," katanya dalam satu kenyataan ringkas dua perenggan.
Komen Mukhriz pada 15 Nov lepas bahawa ucapan dasar presiden tidak mengandungi idea baru menimbulkan kemarahan barisan kepimpinan Pemuda Umno kerana ia dianggap memperlekehkan Abdullah.
Mereka juga menganggap komen itu sebagai keterlaluan, memalukan Pemuda Umno dan bercanggah dengan pendirian pergerakan itu, yang sentiasa menyokong keimpinan Abdullah dan pendirian menyokong ucapan dasar presiden pada perhimpunan agung parti itu.
Ketika mengulas komen Mukhriz minggu lalu, Hishammuddin dan barisan kepimpinan Pemuda Umno negeri-negeri meminta Mukhriz menyatakan kedudukannya sama ada masih bersama dengan pendirian pergerakan itu atau sebaliknya.
Mereka juga meminta Mukhriz memikirkan sendiri sama ada wajar bagi beliau melepaskan jawatan exco dalam pergerakan itu.
Mukhriz kini menyandang jawatan pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Pemuda Umno selain anggota jawatankuasa Umno bahagian Kubang Pasu.
Komen Muhkriz berhubung ucapan dasar presiden Umno itu turut dibidas beberapa pemimpin Umno lain yang dianggap keterlaluan dan tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan kepentingan Umno.
Sementara itu di SERDANG, ketika diminta mengulas kenyataan Mukhriz ini, Abdullah berkata: "Oh dia menyesal. Tak apalah. Biar apa dia nak cakap. Ikut suka dialah."
(Dibawah ini adalah apa yang dikatakan "Mukhriz Menghina Pak Lah")
Mukhriz: Pak Lah tak jawab soalan
15-11-2006 09:04:10 PM
KUALA LUMPUR: Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau "agak kecewa" dengan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana tidak mengemukakan apa-apa yang baru dalam ucapan dasarnya.
Mukhriz, yang juga perwakilan ke perhimpunan agung Umno itu, berkata ucapan pemimpin itu pagi tadi menimbulkan lebih banyak soalan daripada jawapan.
"Saya rasa ia adalah ucapan sama yang diberikannya tahun lepas. Saya mengharapkan sesuatu yang baru tapi mungkin beliau ada idea yang lain.
"Ucapannya bukanlah apa-apa yang tidak pernah diperkatakannya sebelum ini.
"Saya sedikit kecewa tapi saya hanya seorang sahaja, tidak apalah," katanya kepada wartawan selepas Abdullah selesai memberikan ucapannya.
Mukhriz berkata Abdullah perlu memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memuaskan hati orang ramai.
"Mereka mahukan jawapan supaya mereka boleh terus menyokong keputusan-keputusan yang diambil oleh kerajaan pimpinan Pak Lah.
"Kita terbuka dan mahu diyakinkan. Kita menunggu jawapan-jawapan. Kita masih menunggu jawapan yang bernas tentang keadaan sekarang. Sudah enam hingga lapan bulan kini dan kita masih menunggu," katanya.
Ditanya apakah kenyataannya mengundang reaksi negatif, Mukhriz berkata: "Jika saya faham ucapannya tadi, kita dibenarkan memberi kritikan yang membina. Saya rasa itulah yang saya buat. Jadi saya berharap apa yang dikatakannya itu adalah apa yang dimaksudkannya."
Dr Mahathir tidak dapat menghadiri perhimpunan itu hari ini kerana masih berehat selepas mengalami masalah jantung minggu lepas.
Mukhriz berkata ibunya menerima tepukan yang gemuruh apabila namanya disebut di perhimpunan tersebut.
Katanya, dia berterima kasih kepada Abdullah kerana meminta orang ramai mendoakan kesihatan bapanya.
"Saya tidak rasa mereka ada apa-apa perasaan marah terhadap satu sama lain. Apa yang menjadi persoalan adalah isu-isu semasa. Ramai orang menyangka persengketaan antara keduanya adalah peribadi, tidak sama sekali.
"Saya melihatnya sebagai masalah dasar dan pendekatan dan bukan perbalahan dua personaliti Umno," kata lagi.
No comments:
Post a Comment