Saturday, November 25, 2006

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB AHLI MAJLIS PBT



Pengetahuan tentang peranan dan tugas yang perlu dan boleh dimainkan oleh ahli majlis di dalam bidang perancangan dan pembangunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah penting memandangkan perlantikan seseorang ahli majlis itu adalah bertujuan untuk membantu PBT di dalam membuat dasar, merancang dan mengawasi pelaksanaan program pembangunan di peringkat PBT.

Apabila Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Abdul Bakir Zin memberi amaran kepada semua ahli MPK yang baru mengangkat sumpah agar mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang kontroversi, ia jelas menunjukkan betapa seriusnya gelagat negatif ahli majlis masa kini.

Beliau juga berharap ahli-ahli MPK memikul tanggungjawab dengan amanah dan jujur serta bekerja keras untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi memuaskan hati penduduk dan meminta semua ahli majlis faham dengan peranan masing-masing dan dapat menjalankan tugas dengan lancar dan cemerlang.

Adalah wajar rakyat perlu tahu tugas dan tanggungjawab ahli majlis di kawasan tempatan mereka kerana mereka beranggapan ahli majlis adalah penghubung antara rakyat dan PBT. Mereka mahukan ahli majlis lebih mengetengahkan masalah rakyat yang berkaitan dengan perkhidmatan dan pengurusan yang diberikan oleh PBT.

Namun begitu, ahli majlis juga mempunyai had dan bidang kuasanya yang tersendiri. Rakyat perlu didedahkan dengan apakah sebenarnya peranan dan tanggungjawab ahli majlis agar semua pihak mendapat keadilan dan tanggapan yang saksama. Kekaburan tentang fungsi ahli majlis perlu diperjelaskan kerana rakyat sebagai pembayar cukai juga mempunyai hak untuk mengetahui.

Ahli majlis memainkan peranan penghubung di dalam hubungan di antara kerajaan dengan rakyat melalui bentuk kerajaan ketiga iaitu Kerajaan Tempatan. Ahli majlis menjadi rujukan dan penyebar kepada dasar dan matlamat kerajaan, pengubahan dasar dan undang-undang yang bersesuaian untuk kepentingan dan kesejahteraan awam.

Antara peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan ahli majlis adalah seperti berikut:-

(a) Sebagai penyampai dan jurucakap PBT
Penglibatan mereka adalah untuk mewakili kepentingan-kepentingan orang ramai dan masyarakat setempat. Mereka dianggap sebagai alat untuk menyampaikan kehendak orang ramai atau mendapat maklumbalas dari orang ramai terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh PBT dan yang bukan berasaskan perkhidmatan. Mereka juga bertindak selaku jurucakap dan jentera penerangan kepada PBT.

Apabila sesuatu dasar atau tindakan yang melibatkan orang ramai hendak diambil adalah menjadi tanggungjawab ahli majlis memberi kefahaman dan penjelasan. Ini mungkin termasuk penjelasan mengenai pengutipan cukai, kesedaran menggunakan segala kemudahan sosial yang disediakan, sebab-sebab sesuatu perkhidmatan tidak dapat disediakan dengan lebih memuaskan dan lain-lain.

(b) Membentuk dasar
Biasanya dasar yang dibuat oleh PBT mestilah dikaitkan dengan kehendak dan matlamat dasar negara seluruhnya. Memandangkan dasar merangkumi aspek-aspek yang luas maka ianya memerlukan pengalaman dan pengetahuan yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang hendak dijadikan dasar. Tujuannya bagi menjamin dasar yang dibentuk oleh PBT tidak banyak menimbulkan sungutan di kalangan orang ramai dan juga pihak kerajaan. Untuk mencapai tujuan ini, ahli majlis hendaklah tahu dasar kerajaan supaya dasar PBT tidak bercanggah dengan dasar kerajaan pusat dan negeri.

(c) Menyemak kemajuan pengurusan pentadbiran PBT
Ahli majlis hendaklah menentukan bahawa pengurusan pentadbiran berjalan mengikut prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh PBT dan kerajaan. Ini termasuk:-
(i) membahas dan meluluskan anggaran belanjawan.
(ii) mengambil kakitangan baru atau penambahan jawatan baru selaras dengan dasar Kerajaan.
(iii) kekesanan projek, perlanjutan atau penangguhan sesuatu projek yang didapati tidak sesuai.
(iv) peruntukan dibelanjakan mengikut keutamaan.

d) Membuat dan meluluskan Undang-Undang Kecil
Undang-Undang Kecil dibuat dengan tujuan untuk mengatasi pelbagai masalah seperti Undang-Undang Kecil mengenai mengkompaun kesalahan, iklan, tempat letak kereta, bayaran pelan, taman dan lain-lain. Undang-Undang Kecil ini dapat menentukan perihal dan peraturan atau tatacara sesuatu aktiviti itu ditadbirkan dengan cemerlang. Adalah menjadi tugas ahli majlis untuk mengadakan Undang-Undang Kecil ini supaya dapat dijadikan asas dan panduan oleh pihak pengurusan untuk bertindak dalam menyelesaikan sebarang masalah.

Ahli majlis perlu memainkan peranan yang lebih aktif di dalam perancangan dan pembangunan PBT. Ahli majlis perlu mengambil bahagian secara langsung dalam aktiviti-aktiviti PBT terutamanya di dalam mesyuarat-mesyuarat dan kumpulan-kumpulan kerja. Penglibatan begini boleh dilakukan dengan menghadiri setiap kali mesyuarat Majlis Penuh (Full Council) diadakan. Ini kerana ianya sebagai organisasi PBT yang terpenting sekali.

Perbincangan-perbincangan yang menghendaki semua ahli majlis menghadirinya tanpa ponteng adalah mengikut Seksyen 20 dan 21 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Perbincangan ini merupakan mesyuarat biasa PBT yang mesti diadakan tidak kurang dari sekali sebulan.

Ahli majlis juga dilantik menduduki mana-mana jawatankuasa bersama dengan lain-lain anggota yang dilantik. Ia melibatkan kerja-kerja perancangan dan polisi di peringkat awal. Keputusan-keputusan yang dicapai perlu dibawa kepada mesyuarat Majlis Penuh untuk diterima atau ditolak sebelum sebarang perakuan dilaksanakan oleh pihak pengurusan.
Ahli majlis perlu memainkan peranan sebagai "pemeriksa" terhadap kuasa dan budi bicara Yang Di Pertua (YDP), pegawai dan kakitangan PBT dalam menjalankan tugas. Ianya penting untuk memastikan sistem yang ada tidak akan memberi ruang kepada perlakuan salah guna kuasa dan terdedah kepada rasuah, semasa membuat keputusan. Tujuannya memastikan etika perkhidmatan awam dapat dibudayakan secara berterusan. Ini disebabkan banyak perkara yang berlaku di dalam pengurusan PBT yang menimbulkan keraguan oleh rakyat dan secara umumnya tempias tiada ketelusan dan rasuah mengakibatkan imej ahli majlis terbabit sama.

Penglibatan secara tidak langsung iaitu melalui pergaulan seharian untuk menerangkan kemajuan-kemajuan yang dicapai, masalah yang dihadapi, polisi-polisi dan sebagainya untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai, adalah amat penting di dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab ahli majlis yang berwibawa.

Ahli majlis tidak berupaya bertindak secara peribadi dan persendirian di atas satu-satu hal yang menjadi dasar atau polisi kepada sesuatu PBT melainkan melalui keputusan sesuatu mesyuarat. Jika ini berlaku, ia akan mengakibatkan kemarahan rakyat seperti yang berlaku di Selangor baru-baru ini. Integriti yang tinggi perlu disemat sepanjang masa memegang jawatan ahli majlis.

Setiap ahli majlis perlu memahami peranan dan tanggungjawabnya melalui pemahaman dan mendaulatkan perundangan. Kehendak perundangan mestilah dipatuhi untuk menjadi contoh kepada rakyat. Antara perundangan tersebut ialah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Perancang Bandar dan Desa, dan Undang-Undang Kecil PBT.
Mungkin pihak pentadbiran PBT dapat membekalkan kepada ahli majlis naskah perundangan tersebut sebagai panduan dan pedoman sepanjang menjalankan tugas. Ini penting bagi memastikan ahli majlis bernilai dan dipandang mulia oleh pembayar cukai.

Ahli majlis juga wajib mengetahui mengenai objektif penubuhan PBT serta keutamaan-keutamaan yang diperlihatkan. Ini adalah untuk menentukan bahawa tindakan ahli majlis adalah bersesuaian dan selari dengan semangat objektif dan matlamat yang sedia ada. Ahli majlis juga diwajibkan mengetahui objektif, matlamat dan dasar-dasar Kerajaan Pusat seperti Rancangan Malaysia Ke 9. Ini adalah penting untuk menentukan bahawa dalam sebarang tindakan yang dilakukan, kepentingan dasar negara perlu diutamakan.

Ahli majlis juga mesti memahami matlamat dan rasional sesuatu tindakan yang diambil untuk mengelakkan sebarang percanggahan tindakan di antara ahli majlis dan PBT. Misalnya urusan penilaian semula harta hendaklah dianggap bukan semata-mata untuk mendapat hasil tetapi adalah untuk tujuan pendaftaran harta, mendapatkan jumlah nilaian harta kawasan dan kegunaan perancangan Majlis.

Adalah menjadi harapan kepimpinan negara untuk melihat semua PBT memberikan perkhidmatan dan prestasi yang terbaik untuk menentukan kualiti hidup penduduk tempatan terkawal. Ianya sejajar dengan amanat Perdana Menteri semasa merasmikan Konvensyen Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) 2006 di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Penglibatan yang jujur, ikhlas dan bersungguh-sungguh oleh ahli majlis sebagai pembuat dasar (policy makers) dan penasihat kepada PBT perlu ada pada setiap ahli majlis supaya kekesanan peranan ahli majlis dapat dilihat serta dapat menyumbangkan kepada pembangunan PBT.

Walaupun peranan dan tanggungjawab ahli majlis dilihat agak berat untuk dilaksanakan kerana mereka berkhidmat mengikut sistem penggal, namun kecemerlangan perkhidmatan tidak boleh diukur dan dibatasi dengan faktor masa. Perkhidmatan cemerlang kepada komuniti akan tetap disanjung walaupun berkhidmat selama satu penggal. Ini kerana ahli majlis telah memperakui terima jawatan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri.

Jika keberatan untuk melaksanakan tanggungjawab dan memberi perkhidmatan cemerlang kepada komuniti sekeliling, tiada siapa yang boleh menghalang jika anda menolak tawaran menjadi ahli majlis.

1 comment:

Anonymous said...

good info....