DOHA, 15 Dis (Bernama) --
Biarpun meraih pingat emas terbanyak dalam sejarah penyertaan negara dalam Sukan Asia sejak 1954, Malaysia gagal mencapai sasaran sembilan emas yang disasarkan pada edisi ke-15 di sini yang berakhir hari Jumaat.
Ketika Doha melabuhkan tirai temasya sekali ini, dan Guangzhou, China pula bersedia untuk edisi ke-16 pada 2010, Kementerian Belia dan Sukan terutamanya Majlis Sukan Negara perlu menilai semula pencapaian atlit negara.
Bagi Doha, MSN menyasarkan sembilan emas menerusi boling (2), skuasy (2), karate (1) bina badan (1), perahu layar (1), wushu (1) dan berbasikal (1) tetapi peserta Malaysia merangkul lapan emas selain 17 perak dan 17 gangsa.Dengan tiga emas, boling menjadi penyumbang terbanyak, diikuti skuasy (2) badminton (1), perahu layar (1) dan wushu (1).
Emas daripada acara boling disumbangkan oleh Esther Cheah (wanita individu), Beng Heng, Aaron Kong dan Daniel Lim (trio lelaki) dan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Wendy Chai, Esther Cheah, Sharon Koh dan Shalin Zulkifli (wanita lima sepasukan).
Emas bagi acara badminton adalah hasil kejayaan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong (beregu lelaki), perahu layar menerusi Rufina Tan (optimis wanita) dan wushu oleh Fong Chai Ying (taijijian wanita).
Pungutan emas terbanyak negara sebelum ini ialah tujuh di Bangkok pada 1966.
Pada Sukan Asia yang lepas di Busan, Korea, Malaysia meraih enam emas.Jumlah pingat perak dan gangsa di Doha juga mengatasi jumlah kutipan terbaik negara sebelum ini sebanyak 10 perak dan 14 gangsa di Bangkok pada 1998.
Pungutan pingat emas kali ini mungkin memberi gambaran yang baik bila Malaysia menyertai Sukan SEA di Thailand pada tahun hadapan tetapi jika dinilai daripada jenis sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik, hanya badminton dan perahu layar yang disenaraikan pada temasya sukan terbesar dunia itu di Beijing pada 2008.
Kejayaan pasangan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, yang baru sebulan digandingkan, merupakan bonus besar bagi Malaysia terutama bagi menghadapi Sukan Olimpik nanti.
Kien Keat, 21, dan Boon Heong, 19, pastinya semakin matang di persada antarabangsa menjelang Beijing 2008.
Rufina, yang genap 15 tahun, pada September lepas dan menggondol emas dalam acara optimis wanita, terpaksa berpindah ke kategori lain kerana dalam sukan perahu layar acara optimis tidak dipertandingkan di Olimpik.
Acara yang dipertandingkan pada temasya Olimpik ialah Laser Radial.
Mungkin sudah tiba masanya, MSN memberi lebih tumpuan kepada jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik terutamanya apabila menilai kembali acara-acara yang akan dimasukkan dalam lapan sukan teras.
Ketika ini lapan sukan teras ialah olahraga, badminton, boling, skuasy, hoki, akuatik, gimnastik dan bola sepak.
Malangnya, berdasarkan pencapaian atlit Malaysia di Doha, sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik seperti tinju, memanah, menembak dan bola sepak, tidak langsung menyerlah.
Kesemua sukan tersebut gagal menyumbang sebarang pingat di Doha.
Bahkan di peringkat Sukan SEA, acara-acara itu kian didominasi oleh negara rantau Asean yang lain seperti Thailand, Vietnam dan Myanmar.
Dalam kalangan negara Asean, Thailand mendahului tempat teratas dengan menduduki tempat kelima di Doha, lima tangga di hadapan Malaysia manakala Singapura dua tangga di belakang (12), Filipina (18), Vietnam (19), Indonesia (22), Myanmar (27), Laos (33) dan Brunei tanpa sebarang pingat.
No comments:
Post a Comment