TITAH UCAPAN D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR DI MAJLlS MENGHADAP OLEH PEGAWAI-PEGAWAI DAN KAKITANGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR PADA HARI RABU, 6 DISEMBER 2006 DI KOMPLEKS BELlA SEKSYEN 7, SHAH ALAM
Assalamualaikum Warahmatullahi WabarakatuhBismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan hidayah-Nya dapat Beta bersama-sama dengan Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Selangor, di Majlis Perjumpaan pegawai-pegawai dan Kakitangan Kerajaan Negeri Selangor pada petang ini. Sekarang kita telah berada di penghujung tahun 2006 dan tidak lama lagi akan bertemu dengan tahun 2007. Oleh itu inilah masanya untuk pegawai dan kakitangan kerajaan menilai kembali kegagalan dan kejayaan-kejayaan yang telah diusahakan sepanjang tahun 2006 dan merancang semula apa yang perlu dilakukan pada masa akan datang.
Beta mengucapkan terima kasih kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang telah menganjurkan majlis ini dan berharap semoga perjumpaan seperti ini dapat dimanfaatkan demi kesejahteraan pegawai dan kakitangan kerajaan, rakyat dan penduduk-penduduk di Negeri Selangor yang kita kasihi ini.
Di sini Beta ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang kepada pegawai dan kakitangan awam yang baru ditukarkan untuk berkhidmat di Negeri Selangor ini dan bagi mereka yang telah lama berkhidmat di sini diharap dapat terus memberikan perkhidmatan mereka dengan lebih cemerlang lagi. Beta sebenarnya menaruh penuh kepercayaan kepada pegawai-pegawai kerajaan dan kakitangan yang berkhidmat di Negeri Selangor ini dan Beta sentiasa memantau perkembangan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan melalui pembacaan dan 'feed back' yang Beta terima daripada orang ramai.
Di sini Beta ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang kepada pegawai dan kakitangan awam yang baru ditukarkan untuk berkhidmat di Negeri Selangor ini dan bagi mereka yang telah lama berkhidmat di sini diharap dapat terus memberikan perkhidmatan mereka dengan lebih cemerlang lagi. Beta sebenarnya menaruh penuh kepercayaan kepada pegawai-pegawai kerajaan dan kakitangan yang berkhidmat di Negeri Selangor ini dan Beta sentiasa memantau perkembangan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan melalui pembacaan dan 'feed back' yang Beta terima daripada orang ramai.
Beta mahu semua pegawai dan kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Negeri Selangor ini, sentiasa peka dengan masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri Selangor dan sama-sama berusaha untuk menjayakan program-program yang telah diatur bagi mengatasi masalah di Negeri Selangor.
Pegawai dan kakitangan adalah jentera kerajaan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Beta. Ini kerana pegawai dan kakitangan kerajaanlah yang bertanggungjawab untuk melaksanakan segala dasar yang telah digubal oleh Kerajaan Beta demi untuk kepentingan semua warga Selangor. Sesungguhnya bagaimana elok sekalipun sesuatu dasar yang telah digubal ia tidak akan bermakna atau mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat jika pelaksanaannya tidak cekap dan kurang berkesan.
Beta gembira kerana hasil usaha gigih dan kerja kuat pegawai dan kakitangan kerajaan maka Negeri Selangor telah berjaya mencapai taraf sebuah negeri maju, namun ini tidak sekali-kali bermakna semua pihak sudah boleh merasa selesa atau berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Usaha perlu diteruskan bagi memastikan bukan sahaja kemakmuran sedia ada dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Beta secara adil dan saksama tetapi juga perancangan perlu dibuat bagi menentukan bahawa Negeri Selangor akan terus berupaya menjadi tempat tumpuan orang ramai mencari rezeki dan kesejahteraan hidup.
Dikesempatan ini juga Beta ingin menasihatkan kepada semua pegawai dan kakitangan kerajaan supaya sentiasa bersifat jujur dan amanah semasa menjalankan tugas. Disamping itu pegawai dan kakitangan kerajaan hendaklah berkerjasama dan saling membantu antara satu dengan lain untuk mencapai kejayaan yang di harapkan. Beta tidak mahu mendengar rungutan di mana terdapat pegawai dan kakitangan kerajaan yang hanya berkerja untuk kepentingan diri sendiri, berpuak-puak, menyeleweng dan menyalah gunakan kuasa yang telah di berikan.
Kini Kerajaan dan rakyat Beta sedang melalui fasa awal Rancangan Malaysia Ke Sembilan. Untuk itu, tadbir urus yang baik hendaklah sentiasa diamalkan dalam setiap perancangan, sistem dan prosedur, untuk memastikan pembangunan di Negeri Selangor berjalan dengan baik dan lancar. Pendekatan untuk menerapkan nilai-nilai Islam seperti jujur, amanah, tidak mengamalkan rasuahdan berbudi bahasa dalam pentadbiran awam dan sektor korporat secara bersepadu adalah amat perlu kerana ia dianggap sebagai salah satu dari langkah utama untuk mengekalkan status Negeri Selangor sebagai negeri maju tanpa mengabaikan nilai-nilai agama.
Perkhidmatan awam di Negeri Selangor perlu lebih cekap, efektif, dinamik dan inovatif dengan memiliki standard yang tinggi, kerana kita kini telah berada pada satu tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini. Beta berharap idea-idea baru dapat diterapkan dalam semua peringkat pentadbiran dan pengurusan dengan penekanan terhadap produktiviti dan kualiti perkhidmatan. Untuk merealisasikannya, ia perlu mempunyai objektif seperti mewujudkan penjawat awam yang progresif, jujur dan amanah, memberi sepenuh perhatian tentang masalah rakyat yang berbilang kaum, mutu perkhidmatan yang berkualiti, pembangunan modal insan, kecekapan, kecemerlangan dan pembangunan yang seimbang serta mewujudkan negeri maju yang stabil.
Salah satu perkara yang membimbangkan Beta adalah jurang pendapatan yang semakin melebar antara mereka yang tinggal di bandar dan desa. Nisbahnya sudah kembali melebar seperti mana sebelum pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Walaupun hanya sepuluh peratus rakyat Beta yang tinggal di luar Bandar namun ia tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan ketidakadilan sosial.
Beta ingin mengingatkan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan agar bersikap adil dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat Beta tanpa mengira kaum dan agama. Projek-projek untuk kemudahan rakyat terutamanya di luar bandar mestilah diutamakan supaya kemudahan dan kekayaan serta kemakmuran negeri ini dapat dinikmati bersama. Bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang mapan beta mahu usaha-usaha untuk menarik pelaburan asing dan tempatan diperkukuhkan lagi. Beta tidak mahu mendengar sebarang rungutan para pelabur tentang masalah birokrasi dan rasuah yang boleh menyebabkan mereka merasa menyesal atau serik untukmelabur di negeri Selangor.Sebagai pelaksana dasar, pegawai dan kakitangan kerajaan seharusnya memainkan peranan utama sebagai pemudah cara kepada para pelabur dan bukannya menjadi penghalang kepada aliran masuk pelaburan. Para pegawai dan kakitangan kerajaan harus menyedari bahawa jika para pelabur terlalu banyak menghadapi masalah di Selangor mereka boleh menanam modal serta mendirikan perusahaan mereka di negara-negara seperti Thailand, China, India atau Vietnam yang hari ini telah muncul sebagai negara yang menjadi tumpuan para pelabur dunia. Beta bimbang jika kita meneruskan sikap seperti katak di bawah tempurung maka kita akan ketinggalan dalam persaingan rantau dan global seterusnya menyebabkan Negeri Selangor menjadi statik.
Beta juga mahu Negeri Selangor menjadi tapak kepada bercambahnya kegiatan ekonomi yang berteraskan inovasi dan kreativiti. Warga Selangor perlu dididik menjadi seorang optimis yang berani menyoal jika orang lain boleh melakukan sesuatu yang baik dan boleh dibanggakan, kenapa saya tidak? Beta tidak mahu warga Selangor menjadi warga yang pesimis dan cepat mengaku kalah sebelum mencuba.
Beta juga suka menyarankan di sini supaya pegawai dan kakitangan kerajaan dapat menjalankan tugas-tugas mereka dengan cepat dan tepat, supaya tidak berlaku 'back logs' dan mendatangkan masalah kepada orang ramai. Pegawai dan kakitangan kerajaan perJuJahbersifat mesra dan cuba memahami masalah yang dikemukakan oleh rakyat dan berusaha untuk menyelesaikannya. Betaberharap pegawai dan kakitangan kerajaan menghilangkan anggapan bahawa bekerja dengan kerajaan bermakna masa rehat yang panjang, banyak kerja yang boleh ditangguhkan dan wujudnya amalan birokrasi. Anggapan-anggapan tersebut sudah tidak lagi relevan pada masa sekarang ini.
Setiap pegawai dan kakitangan kerajaan perlu berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kepakaran, kemahiran, menguasai teknologi informasi, mempunyai kekuatan emosi, ketinggian budi dan bersih jiwa serta sentiasa menerapkan budaya belajar sepanjang hayat. Sesungguhnya tidak ada titik noktah kepada usaha mempertingkatkan kualiti diri. Beta mahukan pegawai dan kakitangan kerajaan Negeri Selangor menjadi pegawai dan kakitangan kerajaan terbaik dengan imej seorang yang diyakini integritinya, bersihnya, amanahnya serta kecekapannya.
Beta suka menasihatkan agar para pegawai dan kakitangan awam mengelakkan gejala keangkuhan kuasa. Sebagai hamba Allah Subhanahu Wata'ala kuasa dan kedudukan seharusnya dijunjung dengan penuh rasa amanah dan rendah diri bukannya dipertunjukkan secara angkuh. Sikap angkuh bukannya melambangkan kemuliaan tetapi hanya mempamerkan sesuatu yang tidak sesuai dengan taraf seorang pemimpin atau pegawai kerajaan.
Semua pegawai dan kakitangan awam harus insaf bahawa tidak ada sesiapa yang berada di atas undang-undang, Beta mahu semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
Mereka yang memegang jawatan sebagai penggubal undang-undang di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Kerajaan Tempatan seharusnya menjadi mereka yang menghormati dan mempertahankan undang-undang yang mereka buat dengan nama Beta bukannya menjadi orang yang pertama melanggarnya. Beta mahu pihak yang berwajib tanpa rasa takut mengambil tindakan yang tegas terhadap golongan ini yang melanggar undang-undang tanpa mengira kedudukan pihak yang bersalah.
Para pegawai dan kakitangan kerajaan perlulah sentiasa menjaga maruah mereka dan perlu sentiasa meningkatkan integriti diri, pegawai dan kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Negeri Selangor perlu benar-benar bersih. Kebelakangan ini banyak isu-isu yang berkaitan dengan rasuah telah diperkatakan oleh masyarakat. Rasuah bukan sahaja akan membuat Negeri Selangor ini mundur, tetapi juga akan menjadikan pegawai-pegawai dan juga mereka yang bertanggungjawab menjadi tamak, haloba dan mementingkan diri sendiri. Beta mahu gejala rasuah dan salah guna kuasa dibendung dan ditangani dengan serius. Jika ia tidak dilakukan Beta bimbang akan menyebabkan keresahan rakyat dan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku yang boleh mencemarkan nama baik dan kemajuan Negeri Selangor.
Beta juga banyak mendengar keluhan rakyat jelata terhadap mutu perkhidmatan sektor awam di Negeri Selangor terutamanya yang membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan yang dipaparkan melalui media elektronik dan media cetak. Beta berharap pegawai dan kakitangan kerajaan tidak melihat perkara ini secara negatif sebaliknya jadikanlah ia sebagai satu teguran untuk menambah baik prestasi dan keberkesanan pengurusan.
Sebelum Beta akhiri titah ucapan ini, Beta sekali lagi menyeru kepada semua pegawai dan kakitangan kerajaan Negeri Selangor supaya dapat melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang, jujur, amanah dan penuh ikhlas. Beta berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Negeri Selangor yang kita kasihi ini diberi rahmat serta dikurniakan dengan kesejahteraan dan kemakmuran dan rakyat jelata yang berbilang kaum dapat hidup di dalam keadaan yang penuh harmoni.
Sekian
Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
1 comment:
daaulat tuanku..daulat tuanku..daulat tuanku...
Post a Comment