Monday, December 04, 2006

MELAYU MASIH KURANG DALAM INDUSTRI PELANCONGAN


Apabila memperkatakan penyertaan Bumiputera khususnya orang Melayu dalam perniagaan, rata-rata akan membayangkan ahli perniagaan orang Melayu adalah yang terlibat dengan sektor pembinaan. Dengan kata mudah sebut sahaja orang Melayu berniaga, pastinya yang berlegar di fikiran ialah orang Melayu yang menjadi kontaktor binaan.

Sebabnya sektor itulah yang asyik diperkatakan oleh semua orang dari pihak tertinggi kerajaan sehinggalah ke persidangan parti politik. Apakah orang Melayu tidak berminat dengan sektor lain?. Ataupun kerana menjadi kontraktor adalah cara mudah untuk mendapatkan perniagaan dan menjanjikan keuntungan yang lumayan dan segera?.

Amat kurang Bumiputera terlibat dengan sektor perkhidmatan dan peruncitan. Yang paling ketara ialah penglibatan orang Melayu di dalam industri pelancongan negara. Sedangkan industri ini memberikan pulangan perniagaan yang agak lumayan.

Kementerian Pelancongan seharusnya perlu menyediakan pelan yang lengkap dan menyeluruh dalam merangka strategi yang terbaik membantu usahawan Bumiputera menceburi perniagaan berkaitan pelancongan di dalam mensasarkan tahap 30 peratus daripada keseluruhan nilai industri tersebut.

Berdasarkan maklumat dari Persatuan Syarikat Penggembaraan dan Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA), penglibatan Bumiputera dalam industri pelancongan negara hanya 12.5 peratus, iaitu lebih rendah dari angka petunjuk rasmi negara 18.9 peratus ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi secara keseluruhan.

Sedangkan kerajaan mensasarkan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) industri pelancongan dijangka menjana pendapatan RM 30 bilion. Jika tiada kesungguhan dari semua pihak, sampai bila pun Bumiputera akan terus ketinggalan dalam industri pelancongan. Apakah kita mahu melihat perancangan yang dirangka dan disuntik dengan begitu cemerlang dalam RMK-9, kaum Bumiputera hanya menjadi sebagai pemerhati tetap tanpa mengambil bahagian menjadi pemain dalam industri yang lumayan ini?.

Sebagai bukti BUMITRA hanya mempunyai ahli seramai 140 syarikat sedangkan Persatuan Agen-Agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mempunyai ahli seramai 2028 syarikat. Walaupun MATTA diiktiraf oleh kerajaan dan ahlinya meliputi hampir keseluruhan syarikat agen pelancongan yang ada di negara ini, dan jika mengambil kira ahli BUMITRA juga menjadi ahli MATTA, syarikat pelancongan Bumiputera hanya 6.9 peratus sahaja dari keseluruhan syarikat pelancongan yang berdaftar dengan MATTA.

Ini belum lagi kita melihat berapa peratus penyertaan Bumiputera dalam sektor lain di dalam industri ini seperti sewaan kereta, kargo, bas persiaran, bot dan kapal persiaran, hotel, ajen inbound dan outbound, resort dan ajen tiket penerbangan. Kesemua sektor ini termasuk syarikat pelancongan masih kurang disertai oleh Bumiputera khususnya orang Melayu.

Begitu juga dengan pekerjaan pemandu pelancong yang masih kurang anak muda khususnya Melayu menceburi bidang ini. Sedangkan kerjaya ini sangat menarik dan menyeronokkan disamping upah yang lumayan. Sebagai contoh Persatuan Pemandu Pelancong Sabah dan Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Kelantan yang dapat dilihat ramai kaum Melayu dan Bumiputera menyertai kerjaya ini.

Walaupun Majlis Pemandu-Pemandu Pelancong Malaysia (MPPPM) sering bekerjasama dengan institusi latihan pelancongan swasta dalam menarik minat orang ramai melibatkan diri dalam kerjaya yang menarik ini, namun peratusan Bumiputera masih kurang.

Golongan belia, siswazah menganggur dan ahli perniagaan Bumiputera seharusnyalah mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan untuk menceburi industri ekonomi nombor tiga penting di negara kita.

Tabung Khas Pelancongan, Tabung Infrastruktur Pelancongan dan Insentif Industri Pelancongan adalah antara dana yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan untuk menyuntik lebih ramai lagi pemain dalam industri ini. Namun masih ramai yang masih belum mengetahui kewujudan dana ini yang disalurkan ke SME Bank.

Peniaga Bumiputera seharusnyalah mempelbagaikan lagi cabang perniagaan mereka dengan menyahut seruan kerajaan untuk melihat lebih ramai lagi orang Melayu menceburi industri pelancongan.

Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) harus melihat peluang yang sudah tersedia ada ini untuk dimanfaatkan dengan sepenuhnya agar lebih ramai orang Melayu menceburi industri ini. Jangan asyik menitik beratkan industri pembinaan sahaja dan hanya membela kontraktor Melayu sahaja. Industri pelancongan juga dapat memberikan keuntungan yang baik jika diuruskan dengan betul dan berhemah. Cuma ramai yang masih tidak tahu dan takut untuk menceburi industri ini.

Dua badan utama orang Melayu dalam perniagaan ini sepatutnya bekerjasama denga lebih erat lagi dengan Kementerian Pelancongan di dalam membantu orang Melayu. Pelesenan pelancongan di kementerian berkenaan masih lagi menunggu lebih ramai Bumiputera untuk memohon lesen-lesen seperti lesen perniagaan pengendalian pelancongan dan agensi pelancongan, lesen bas persiaran dan kereta sewa pandu, lesen pemandu pelancong, lesen premis penginapan pelancong dan lesen institusi latihan pelancongan.

Selain daripada tujuan utama untuk menarik pelancong luar datang ke Malaysia dengan ditambah lagi dengan Tahun Melawat Malaysia(TMM) 2007, Kementerian Pelancongan dan agensi-sgensi di bawahnya seperti Pelancongan Malaysia dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri seharusnya mengadakan lebih banyak lagi seminar, persidangan dan bengkel untuk menarik lebih ramai lagi penglibatan Bumiputera dalam industri pelancongan. Dengan adanya perhatian serius dan penglibatan badan lain seperti BUMITRA, GABEM dan DPMM, nescaya industri ini akan memberi suatu kesedaran baharu kepada orang Melayu betapa pentingnya industri ini dalam ekonomi negara.

Tanpa usaha bersepadu dari semua pihak, nescaya industri pelancongan negara masih kekal dimonopoli oleh bukan Bumiputera. Sasaran menjana pendapatan RM30 bilion dalam RMK-9 pasti akan "terlepas" dengan banyaknya ke tangan bukan Bumiputera yang akan mengakibatkan petunjuk rasmi ekuiti Bumiputera dalam ekonomi pasti tidak akan berubah.

Mentaliti orang Melayu bahawa pelancongan dan melancong itu suatu yang mahal dan bertaraf tinggi perlu dihakiskan. Sikap sebegini mungkin salah satu penyebab mengapa industri pelancongan "sunyi" dengan orang Melayu. Lihat sahajalah pameran pelancongan yang diadakan setiap tahun oleh MATTA yang menawarkan pelbagai tawan pakej pelancongan dalam dan luar negeri yang menarik dan murah. Hampir 90 peratus pengunjung pameran adalah orang Cina.

Bayangkanlah TMM 2007 tahun depan yang dijangka akan menerima kehadiran 20 juta pelancong dari luar negara. Berapa ramaikah orang Melayu yang akan mendapat manfaat dan keuntungan perniagaan hasil dari TMM ini?. Sedangkan perangka dasar, pelaksana, badan penggalak dan promosi adalah daripada kerajaan yang rata-rata kebanyakannya Bumiputera.

Hasil akhirnya akan dinikmati oleh syarikat pelancongan, ejen pengembara, pemilik bas persiaran, pemilik hotel, pemilik sewaan kereta, pemilik restoran dan pemilik kedai kraftangan yang majoritinya dimonopoli oleh bukan Bumiputera. Di mana peranan Bumiputera dalam mengambil peluang rahmat kewujudan TMM itu?.

Penonjolan imej negara kita yang mempunyai 60 peratus penduduk Bumiputera terutamanya orang Melayu di mata pelancong asing mungkin akan dikaburi kerana pelancong asing akan melihat pemain dan pekerja industri ini majoritinya bukan Bumiputera. Mungkin mereka akan tertanya-tanya mengapa Bumiputera di Malaysia "malas" untuk menceburi industri pelancongan?.

Jawabnya orang Melayu takut untuk bersaing dalam perniagaan dan hanya ingin cepat mendapatkan keuntungan tanpa banyak membuat kerja.

No comments: