E mel dari Singapura ini dikirimkan oleh seorang rakan dari sebuah akhbar tempatan. Menariknya e mel ini ialah pengetahuan penulisnya tentang sejarah dan pelancongan di Selangor.
Tujuan rakan akhbar saya mengirimkan e mel ini ialah ianya ada menyebut perihal Al Marhum ninda saya, Adam bin Mat Yuda, sebagai orang yang membuka Tanjung Karang..Terima kasih..
Nampaknya orang luar lebih perihatin tentang sejarah dan pelancongan negara kita daripada kita sendiri..Fikir-fikirkan lah....
Wassalam.
MOHAMAD FIRDAUS MOHAMAD ZAIN
Assistant Director
Ministry of Tranport
460 Alexandra Road
#39-00 & #33-00 Storeys
PSA Building
Singapore 119963
Tel : 63757734
e mail : mfirdaus59@yahoo.com.sg
Assistant Director
Ministry of Tranport
460 Alexandra Road
#39-00 & #33-00 Storeys
PSA Building
Singapore 119963
Tel : 63757734
e mail : mfirdaus59@yahoo.com.sg
PELANCONGAN DI SELANGOR MASIH BELUM MAJU.
Cuti sekolah yang hampir serentak antara Malaysia dan Singapura, telah diambil kesempatan oleh keluarga saya untuk melawat Malaysia minggu lepas. Walaupun saya seorang rakyat Singapura secara automatik apabila Singapura keluar dari Malaysia, namun keturunan salasilah dan sanak saudara kebanyakannya di Malaysia terutamanya di Pontian Johor.
Saya dan keluarga pergi melancong dan melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah di negeri Selangor kerana sebelum ini kami asyik melancong ke negeri Johor, Pulau Pinang dan Melaka sahaja. Kali ini kami mengambil keputusan untuk melawat negeri Selangor selama seminggu.
Tempat pertama yang kami tuju ialah Shah Alam. Sungguh indah pemandangan dengan mengekalkan identiti Melayu dan keIslaman dalam seni bina disamping lanskap yang menarik di tasik. Shah Alam menjadi destinasi pertama kerana ianya ibu negeri dan kami berharap akan mendapatkan maklumat dan penerangan pelancongan negeri Selangor di sana.
Tetapi apa yang dirancang tidak menjadi dan menimbulkan kekalutan. Saya dimaklumkan negeri Selangor telah dinobatkan sebagai negeri maju yang pertama di Malaysia dan malah mendahului dari Malaysia sendiri untuk mengejar status negara maju. Malang sekali Selangor tidak mempunyai sebuah pun Pusat Penerangan Pelancongan (Tourist Information Centre) di Shah Alam. Sungguh tidak boleh dipercayai langsung.
Bangunan cantik di Dataran Shah Alam bukannya pusat maklumat pelancongan tetapi adalah sebuah agensi pelancongan swasta Tourism Selangor Sdn. Bhd. yang menawarkan perkhidmatan pelancongan inbound dan outbound.
Malah petugas yang cantik di syarikat itu gagal untuk memberikan risalah mengenai Selangor. Juga beliau gagal untuk memberikan panduan arah jalan raya ke Kuala Selangor dan dengan sombong memberi alasan “apa ada kat sana”. Lebih mengecewakan saya lagi syarikat yang menggunakan nama Selangor itu menawarkan kepada kami pakej melancong ke Langkawi dan Hatyai!!.
Seterusnya beliau mengarahkan kami ke seberang jalan untuk ke pejabat Darul Ehsan Tourist Centre. Ianya bukannya sebuah pusat penerangan pelancongan tetapi lebih kepada sebuah pejabat walaupun ada logo Tourism Selangor. Walaupun kami dibekalkan dengan risalah pelancongan negeri Selangor, tetapi ianya bukan risalah terkini dan risalah itu terbitan tahun 2000. Lebih malang lagi petugas di sini “tidak melayan” pertanyaan kami dan mengarahkan kami membaca sahaja risalah yang diberikan.
Daripada risalah yang dibekalkan, jelas menunjukkan negeri Selangor tidak memberikan promosi dan maklumat yang jelas dan terperinci mengenai destinasi pelancongan di Selangor. Risalah lebih menitik beratkan pelancongan mewah seperti pusat membeli belah, padang golf dan infrastruktur yang hebat seperti pelabuhan dan lapangan terbang KLIA sedangkan kami ingin menikmati keindahan semula jadi, pelancongan pertanian, dan kehidupan kampung.
Terima kasih kepada petugas di Hotel Concorde Shah Alam kerana merekalah yang sebenarnya dapat memberikan maklumat dan risalah terkini berkenaan negeri Selangor. Walaupun bukan tugas rasmi mereka, tetapi maklumat yang diberikan cukup lengkap mengalahkan petugas pusat pelancongan yang kami pergi sebelum ini.
Berkat risalah dan maklumat lengkap dari Hotel Concorde, kami akhirnya berjaya mengelilingi seluruh negeri Selangor dengan perasaan bercampur-campur. Gembira kerana masih ada lagi kawasan kampung dan tarikan pelancongan yang menarik. Kecewa kerana aset pelancongan di Selangor tidak dijaga, dikekalkan dan diselenggara dengan baik.
Saya sungguh hairan kenapa kerajaan Selangor tidak berusaha bersungguh sungguh untuk menaikkan darjat industri pelancongannya. Apa yang dapat dilihat ialah penonjolan pihak swasta lebih daripada kerajaan sendiri. Swasta memangnya menonjolkan destinasi pelancongan mereka kerana ianaya melibatkan kos yang telah dikeluarkan dan sudah tentu mahukan pulangan keuntungan untuk penerusan perniagaan mereka.
Mungkin sebab itu risalah pelancongan Selangor lebih menitik beratkan aspek membeli belah dan sukan golf kerana ianya lebih menguntungkan kepada swasta. Contohnya Sunway Piramid, One Utama dan Tropicana Golf Club.
Kurang promosi dan penjagaan serius tempat pelancongan membuatkan ianya digambarkan tidak bernilai dan dipinggirkan. Taman Rimba Ampang, Bukit Malawati, Perkampungan Orang Asli Gombak, kawasan perkelahan Sungai Tekala dan sungai di Kuala Kubu (sebagai contoh) terus terpinggir tanpa promosi hebat dan tidak dijaga dengan teratur.
Malah apabila kami ke kawasan pertanian Selangor di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam, langsung tiada pusat penerangan berkenaan pelancongan pertanian. Sedangkan sawah padi, kebun kelapa dan kampung nelayan adalah aset pelancongan yang paling baik dan bernilai.
Sekurang-kurangnya Selangor patut ada muzium padi dan kelapa sebagai daya tarikan pelancongan desa dan pertanian. Inilah sebenarnya yang ingin dinikmati oleh pelancong dan bukannya disogokkan dengan pelancongan kemewahan seperti golf dan membeli belah.
Selain dari itu, arah papan tanda jalan ke tempat pelancongan juga tidak lengkap dan hampir tiada. Contohnya apabila kami sampai di Tanjung Karang, tiada satu pun papan tanda tempat pelancongan di sana. Apakah langsung tiada kesan peninggalan sejarah dan tempat menarik untuk di lawati?.
Mujurkah tuan punya restoran yang kami singgah untuk makan telah bermurah hati membawa kami melawat sekitar Tanjung Karang. Walaupun singkat, ianya begitu berfaedah sekali. Kami di bawa ke peninggalan kilang gula yang agak tersorok dan ditumbuhi belukar, rumah usang Tok Adam iaitu orang yang membuka Tanjung Karang dan melawat sawah padi.
Bagi kami tempat sebegini amat menarik tetapi tiada usaha untuk mengekalkannya sebagai unsur sejarah dan pelancongan. Malah di Tanjung Karang langsung tiada hotel dan agen pelancongan. Sungguh mengejutkan.
Kami sekeluarga dapat menyimpulkan bahawa negeri Selangor tidak betul-betul serius dalam membangunkan destinasi pelancongan. Jika ada pun ianya tidak menyeluruh dan lebih menonjolkan aspek pelancongan kemewahan. Bagi kami dari Singapura yang sememangnya dikelilingi oleh hutan batu, kami amat menagih dan berharapkan tempat yang ingin kami lawati mestilah berbeza dari negara kami.
Penyelenggaraan, kawalan dan pengurusan tempat pelancongan yang sedia adapun amat tidak memuaskan dan sambil lewa sahaja. Malah ada tempat pelancongan langsung tiada papan tanda maklumat tempat tersebut apatah lagi pusat penerangan seperti “lubang maut” bekas kem tentera Jepun di Sekolah Tinggi Kajang. Ianya menarik sebagai tempat pelancongan tetapi ramai yang tidak tahu.
Malah Kampung Jeram Kuala Selangor langsung tiada dalam risalah pelancongan Selangor sedangkan kampung tersebut adalah antara kampung yang paling tua di Selangor dan pernah disebut dalam buku Sejarah Melayu, “… Paduka Sri China, seorang putera Sultan Mansur Shah, Melaka, pernah dilantik sebagai Raja Jeram..” (R.O Winstedt, “A History of Selangor”, Journal of the Royal Asiatic Society Malayan Branch (JMBRAS), Jilid XII, Bhg. 3, 1934, hlm 1).
Begitu juga dengan kawasan penemuan bahan purba seperti perkakasan batu dan tembikar di tapak Neolitik Kampung Jenderam Hilir, lebih kurang 6 kilometer dari pekan Dengkil. Kawasan ini sekarang sudah menjadi belukar sedangkan ianya amat bernilai sejarah kerana banyak penemuan arkeologi dijumpai di sana dan kali terakhir di gali pada tahun 1982.
Harapan kami dimasa yang akan datang apabila kami melawat lagi ke negeri Selangor akan ada perubahan dalam memelihara tempat-tempat menarik pelancongan. Walaupun kami orang Melayu Singapura, kami masih menghargai aspek dan tarikan pelancongan di Malaysia. Kami juga masih mendidik anak-anak kami bahawa asal usulnya adalah orang Melayu di Malaysia. Itu sebabnya saban tahun saya akan membawa seluruh keluarga saya melancong pandu sendiri ke Malaysia.
Cuma kali ini penjelajahan seminggu di Selangor tidak semanis dan menarik seperti di Melaka, Terengganu dan Pulau Pinang. Kepada kerajaan Selangor, jangan malu dan segan untuk belajar cara-cara menguruskan pelancongan dari negeri-negeri yang “lebih maju” dalam aspek pelancongan walaupun negeri Selangor telah mendahului negeri-negeri lain dalam Malaysia sebagai negeri maju. Pada saya ianya lebih jimat belanja dari “belajar” ke luar negara seperti Itali dan Jerman.
No comments:
Post a Comment