Thursday, December 07, 2006

PAK AZIZ SATTAR NIKAH 16 DISEMBER



Pak Aziz dan anak-anak


Pak Aziz Nikah 16 Disember 06-12-2006 03:11:05 PM Zieman


Hari bahagia bintang lagenda Aziz Sattar akan diraikan dengan suasana meriah tapi tetap sederhana pada minggu hadapan.

Aziz Sattar yang lebih mesra dengan panggilan Pak Aziz, 81 akan melangsungkan perkahwinannya dengan pilihan hatinya, Hashimah Delan berusia 48 tahun pada 16 Disember 2006 jam 8 malam bertempat di Restoran Puteri, Lot 3074, Jalan Datuk Sulaiman, Sg Penchala di Taman Tun Dr Ismail.

Persatuan KARYAWAN mengambil inisiatif untuk menganjurkan majlis perkahwinan ini.

"Pak Aziz adalah ahli Exco kita dan beliau juga adalah satu bintang lagenda yang seangkatan dengan P.Ramlee. Jadi, bila Pak Aziz menyatakan hasrat untuk mendirikan rumahtangga kami rasa terpanggil untuk menganjurkannya," jelas Presiden KARYAWAN, Freddie Fernandez di satu sidang akhbar bagi mengumumkan persiapan yang sedang diusakan oleh persatuan tersebut.

Bintang lagenda Aziz Sattar, terharu dengan sumbangan dan penghargaan yang diberikan oleh kawan-kawan dan Persatuan Karyawan yang sudi mengatur dan menyumbang pada majlis persandingannya. Menurut Freddie lagi, penganjuran majlis itu dijalankan bersama orang-orang kuat Persatuan lain dengan dibantu oleh semua exco dan ahli KARYAWAN.

"Niat yang baik harus diberi sokongan. Lagipun ini adalah hari yang cukup bermakna buat Pak Aziz. Kami tidak mahu ketinggalan untuk meraikannya. Kami telah memikirkan tema yang menarik untuk memeriahkan lagi majlis itu nanti," jelas Freddie yang turut bertindak sebagai ‘bapa pengantin’ dengan dibantu oleh ‘emak pengantin’ dibantu oleh ahli exco lain.

Pak Aziz telah menyatakan niatnya untuk berkahwin setelah 25 tahun menduda, kepada artis veteran Datuk Sarimah Ahmad dan Yusni Jaafar, pada bulan puasa yang lepas, ketika mengikuti rombongan KARYAWAN membuat lawatan ke Rumah Anak-anak Yatim di Sungai Buaya, Banting, Selangor.

"Sebenarnya saya hendak buat kecil-kecilan saja tapi kawan-kawan di Karyawan berhajat hendak sempurnakan majlis kahwin saya. Saya cukup terharu dan bersyukur dengan semangat setiakawan yang ditunjukkan," ujar Pak Aziz yang turut ditemani oleh tiga orang anak perempuannya, Ruzaidah, Dalina dan Sandakiah ke sidang akhbar tersebut.

Kad undangan perkahwinan telah ditaja oleh pelakon dan penyanyi Betty Banafe, yang juga merupakan ahli exco KARYAWAN dan semua warga KARAWAN sedang membuat persiapan untuk meraikan majlis yang dijangka akan dihadiri oleh ramai orang kenamaan, artis dan peminat setia Pak Aziz.

Di majlis itu juga, Pak Aziz turut merakamkan penghargaan kepada semua orang termasuk persatuan dan orang kenamaan yang telah bermurah hati menaja barang-barang keperluan dan persiapan untuk hari bahagia Pak Aziz seperti bunga telur, telur pindang, wajik, pelamin, beg cenderahati dan banyak lagi.

Di antara mereka adalah pelakon, penyanyi dan penerbit filem Hajjah Ruhani Abdul Rahman, Habsah Hassan, Rubiah Suparman, Syanie Datuk Hisham, Jalaluddin Hassan, Rosyam Nor, Ziela Jalil, Deja Moss, Rahimah Rahim, Noniswara, Nash Lefthanded, A.Wahid Nasir, Helmi Gimmick, Zaibo, Azmi Make-Up Artis, Radhi Khalid, Kamal Aziz, Imuda, Salwa Abdul Rahman, Yusni Jaafar, Prof Fitri, Tim’s Catering dan ramai lagi.

Pak Aziz akan melangsungkan pernikahannya di Masjid Negeri Shah Alam pada 16 Disember, jam 11pagi. Adinda Sultan Selangor, Tengku Panglima DiRaja Sulaiman Shah telah berkenan menjadi saksi untuk pernikahan Pak Aziz itu nanti sementara kedua pengapit yang akan mengiringi pasangan pengantin itu ialah Radhi Khalid dan Betty Banafe.

Pengerusi Eksekutif Saloma Theatre & Bistro Restaurant Datuk Syed Yusof Tun Syed Nasir (Jojo) turut bermurah hati menyediakan kereta Rolls Royce kepunyaannya serta khidmat pemandu untuk kemudahan Pak Aziz dan isteri pada hari bahagia itu.

Menurut Freddie lagi, sebuah kalender eksklusif tentang penglibatan Pak Aziz dalam filem akan diberi sebagai cenderahati di majlis tersebut. Kalender ini adalah ihsan dan tajaan penerbit Metrowealth Movie Productions (MMP) David Teo.

Pasangan pengacara popular Ahmad Daud dan Salih Yaakob telah sudi mengacara majlis kahwin Pak Aziz sementara beberapa orang artis popular seperti Rahimah Rahim, Nas Adila dan Diddy AF4 akan diundang membuat persembahan di majlis itu.

Pelakon dan pelawak terkenal Zaibo akan bertindak sebagai penerbit persembahan dengan dibantu oleh Yusni Jaafar, Dee Ibrahim dan Syanie Hisham. Urusetia menyambut tetamu pula akan diketuai oleh Prof Fitri, Jai Hashim dan Wahid Nasir.

Menurut Pengurus Eksekutif KARYAWAN Jai Hashim, pihak persatuan turut mengundang 50 orang peminat ke majlis tersebut.

"Hanya 50 peminat yang terawal menghubungi pejabat Karyawan akan diundang. Sesiapa yang berminat untuk menyaksikan Pak Aziz kahwin, sila telefon 79552967 pada waktu pejabat," jelas Jai lagi.

Rombongan Pak Aziz dari Singapura akan turut serta memeriahkan majlis kahwin itu nanti. Seramai 50 orang ahli keluarga Pak Aziz diketuai oleh adiknya Zaini Sattar akan menginap di Hotel Concorde Kuala Lumpur.

Sementara itu Yusni Jaafar yang mengetuai gotong royong sempena majlis perkahwinan itu memberitahu bahawa pihak KARYAWAN akan berkampung selama dua hari di pejabat mereka di Seksyen 19, Petaling Jaya dua hari sebelum majlis itu nanti.

"Banyak persiapan terakhir yang terpaksa dilakukan. Kami mengalu-alukan mana-mana artis yang ingin menghulurkan bantuan," jelas Yusni lagi.

No comments: