Titah Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan ke-61
11-12-2006 ISTANA ALAM SHAH, KLANG.
11-12-2006 ISTANA ALAM SHAH, KLANG.
Assalamualalkum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim
Hari ini adalah merupakan sambutan Hari Keputeraan Beta yang ke-61 dan Beta telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Selangor selama lima tahun. Dalam masa lima tahun, Beta dapati Negeri Selangor telah mencapai kemajuan yang pesat sehingga diiktiraf sebagai negeri maju. Tetapi pada hemat Beta, banyak lagi perkara-perkara yang penting yang boleh dilakukan untuk menambah baik untuk dinikmati oleh rakyat Beta, yang berbilang kaum di Negeri Selangor ini, bagi mencapai kualiti hidup yang baik, sempurna dan selesa.
Bagi Beta, tiada gunalah dilaungkan Selangor itu maju, mempunyai bangunan-bangunan yang cantik dan kilang-kilang perusahaan yang besar, tetapi tahap kualiti perkhidmatan, kepada rakyat, masih belum memuaskan. Aduan-aduan dan rintihan-rintihan daripada masyarakat, belum dapat diatasi dengan segera, menyebabkan sebahagian daripada masyarakat di Selangor tinggal di dalam keadaan yang tidak selesa. Untuk mengatasi masalah ini Beta mahukan Wakil Rakyat, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan Kakitangan Awam, Penghulu, Ketua Kampung, Ahli-ahli Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Ketua-Ketua Masyarakat dan seluruh rakyat yang berbilang kaum di Negeri Selangor ini, berkerjasama dan bermuafakat serta menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan memberikan perkhidmatan dengan lebih cemerlang.
Wakil-Wakil Rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk membantu dan menolong rakyat seharusnya memberikan tumpuan yang sepenuhnya menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan segera, seperti isu-isu yang berkaitan dengan perumahan, jalanraya, sekolah-sekolah, insfrastruktur, masalah banjir, masalah tanah runtuh dan pencemaran alam sekitar, supaya rakyat dapat menjalani hidup dengan sempurna. Janganlah Wakil-Wakil Rakyat mementingkan diri sendiri dan mengambil kesempatan di atas jawatan yang dipegang untuk mendapat kesenangan bagi diri, kelompok dan puak-puak mereka sahaja. Beta khuatir perbuatan seperti ini bukan saja akan rnenimbulkan ketidakpuasan kepada rakyat, malah ia juga boleh menimbulkan perkara-perkara yang tidak elok di mana rakyat akan menderita.
Selain dari itu terdapat Wakil Rakyat yang dilantik menjadi Ahli Majlis Perbandaran atau Ahli Lembaga di Syarikat-Syarikat Kerajaan seharusnya mengikuti dan mematuhi undang-undang yang telah diwartakan dan undang-undang yang telah ditetapkan bagi sesuatu perkara. Beta tidak mahu kuasa yang diberi untuk menerajui dan menduduki tempat yang penting ini disalahgunakan, dan mereka beranggapan boleh membuat sesuka hati mereka, dengan tidak merasa takut melanggar undang-undang, seolah-olah mereka ini "untouchable" atau "above the law". Pemikiran seperti ini jika ada pada Wakil Rakyat hendaklah dihapuskan dan bekerjalah dengan sepenuh hati untuk Rakyat Negeri Selangor supaya semua rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum, agama dan ideologi dapat menikmati kemakmuran Negeri Selangor ini bersama.
Kepada Pegawai dan Kakitangan Kerajaan, Beta berharap agar dapat menyelesaikan sesuatu kerja yang dilakukan menggunakan fikiran yang matang, dan jangan terlalu berfikiran sempit dalam menghadapi sesuatu masalah. Ini bukan bermakna Beta meminta Pegawai dan Kakitangan Kerajaan melanggar peraturan tetapi menggunakan kebijaksanaan mereka dalam membuat sesuatu keputusan. Beta percaya sesetengah masalah boleh diatasi dengan budibicara serta pengalaman yang ada tanpa menyusahkan rakyat jelata.
Begitu juga Beta mahu Pegawai dan Kakitangan Kerajaan, agar tidak melengah-lengahkan kerja dengan alasan terlalu mengikuti birokrasi atau disengajakan dengan menyimpan atau menyorokkan fail sehingga sesuatu projek yang walaupun telah diluluskan oleh Kerajaan tetapi tidak dapat di selenggarakan, kerana ada di antara mereka yang cuba mengambil kesempatan dalam perkara ini. Beta mahukan Pegawai dan Kakitangan Kerajaan sentiasa berdampingan dengan rakyat dan bersikap terbuka, untuk membantu kehendak dan keperluan rakyat Negeri Selangor yang kita kasihi.
Sebagai sebuah negeri yang maju, Selangor menerima banyak penghijrahan penduduk, dari negeri-negeri lain ke negeri Selangor, untuk mencari rezeki. Walaubagaimanapun, Beta dapati ada di antara mereka yang datang dari negeri lain ini membawa masuk bersama mereka ke Negeri Selangor gejala-gejala yang tidak baik seperti ajaran sesat yang mana ini menimbulkan masalah kepada rakyat di Negeri Selangor. Mereka mengelirukan rakyat di Negeri Selangor, dengan agama sesat yang mereka bawa semata-mata untuk kepentingan mereka sendiri. Beta tidak menghalang rakyat negari lain datang ke Negeri Selangor, tetapi jika mereka datang ke Negeri Selangor untuk menimbulkan masalah kepada negeri ini, Beta akan menitahkan supaya pihak Polis dan Jabatan Agama Islam Selangor mengambil tindakan keras terhadap mereka ini. Beta berharap jika ada pihak-pihak dan individu yang berhasrat untuk melakukan perkara-perkara yang tidak elok dan menimbulkan masalah, dapat membatalkan cita-cita mereka itu.
Kepada Waris-Waris dan Kerabat Diraja Negeri Selangor, Beta berharap dapat menjaga nama baik Kerabat dan Negeri Selangor yang kita kasihi ini. Janganlah menggunakan kedudukan mereka itu untuk melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang yang mana akhirnya akan memburukkan nama baik Kerabat dan Institusi Raja di Selangor. Beta menyeru kepada semua Waris-Waris dan Kerabat Diraja Negeri Selangor, supaya dapat bermuafakat untuk kemajuan dan kesejahteraan bersama. Bagi mereka yang telah diberi penganugerahan dan gelaran diharap dapat menjalankan tugas yang telah diberikan kepada mereka dengan baik.
Beta sentiasa bersikap terbuka kepada cadangan-cadangan dan idea-idea untuk memperbaiki dan menaikkan nama baik Negeri Selangor yang kita kasihi. Walaubagaimanapun, Beta harap mereka benar-benar ikhlas memberikan pandangan dan pendapat dan bukan hanya pandai bercakap di belakang sahaja, tetapi mendiamkan diri apabila diminta ke tengah, untuk memberikan pendapat dan buah fikiran. Begitu juga tidak ada gunanya jika hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakan segala apa yang diperkatakan.
Pada Beta, hadiah yang paling berharga pada Hari Keputeraan Beta ini ialah Negeri Selangor yang aman dan makmur serta rakyatnya yang berbilang kaum hidup dengan harmoni dan mempunyai kehidupan yang berkualiti. Tidak ada gunanya Beta menduduki diatas takhta ini jika rakyat Negeri Selangor berada daiam keadaan yang tidak selesa dan hidup dengan penuh masalah.
Beta impikan sebuah negeri di mana setiap penduduknya mempunyai peluang untuk berjaya dan setiap ibu bapa mengimpikan untuk menjadikan Negeri Selangor ini sebagai tempat untuk membesarkan anak-anak mereka. Beta juga mahukan supaya setiap anak-anak yang dilahirkan di Negeri Selangor ini diberikan harapan bahawa dengan usaha gigih, mereka juga berpeluang untuk mencapai kejayaan yang mereka impikan. Beta mahu Negeri Selangor menjadi negeri impian kepada setiap rakyat yang mahukan pembangunan dan cintakan keamanan.
Beta mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Selangor yang telah menyembahkan taniah sempena keputeraan Beta dan yang mendoakan kesejahteraan Beta.
Sebelum Beta mengakhiri ucapan Beta ini, Beta berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala supaya memberi rahmat dan melindungi Negeri Selangor ini daripada apa jua malapetaka serta dikurniakan kesejahteraan.
Sekian.
Wabilahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment