Tuesday, December 12, 2006

BIODATA SULTAN MIZAN - AGONG KE 13

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjadi Raja Melayu termuda menaiki takhta pada usia 36 tahun pada 1998, melakar sejarah negara sebagai antara Yang di-Pertuan Agong termuda.

Mengikut sistem penggiliran setiap lima tahun yang diamalkan sejak Merdeka, baginda akan menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 13 Disember, menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang menaiki takhta pada 13 Disember 2001.

Sultan Mizan, 44, ialah Yang di-Pertuan Agong kedua termuda selepas ayahanda Tuanku Syed Sirajuddin, Almarhum Tuanku Syed Putra Almarhum Syed Hassan Jamalullail, yang memegang jawatan itu pada 4 Januari 1961 ketika berusia 41 tahun.

Seorang raja yang amat mengambil berat kebajikan rakyat, Sultan Mizan sering menyertai solat Jumaat di masjid seluruh negeri untuk mendekati rakyat.

Baginda juga meneruskan amalan almarhum ayahandanya, Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang suka bersedekah kepada kanak-kanak dan fakir miskin pada setiap Jumaat.

Pada zaman remajanya, Sultan Mizan tidak kisah membuka baju bersama rakan lain dalam permainan bola sepak — satu amalan lazim di bandar kecil apabila pasukan yang menjaringkan gol pertama diberi ‘penghormatan’ berbuat demikian.

Keprihatinan baginda terhadap nasib rakyat Terengganu mendorong baginda menubuhkan Yayasan Diraja Sultan Mizan yang dilancarkan pada 19 Julai 2005 bersempena hari ulang tahun ke-43 keputeraan baginda.

Yayasan Diraja itu membantu menganjur dan membiayai pelbagai usaha termasuk dalam bidang penyelidikan, perhutanan, sains teknologi dan inovasi, pertanian, perikanan serta kemasyarakatan.

Sultan Mizan juga aktif dalam pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi seperti bola sepak, golf, taekwondo dan selam skuba.Namun, disebabkan kesibukan, baginda hanya menumpu kepada sukan berkuda yang sememangnya sebati dengan jiwanya selepas mula belajar menunggang pada usia enam tahun.

Sultan Mizan turut menubuhkan ’Royal Terengganu Endurance Stable’ (RTES) bagi menyertai pertandingan sukan berkuda itu sama ada di dalam atau luar negara.

Kehandalan baginda terserlah apabila menjuarai acara Wilga 80 km Endurance Ride, dan pertandingan berkuda di Harris River Ride, di Australia pada 2004.

Baginda turut terpilih mewakili negara pada Sukan Asia di Doha, Qatar, yang sedang berlangsung namun terpaksa menarik diri memandangkan tarikh kejohanan itu bertembung dengan upacara pengisytiharan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Dengan kesungguhan dan inisiatif baginda juga, Malaysia berjaya dipilih untuk menganjurkan ’World Endurance Championship’ di Lembah Bidong, Terengganu, pada tahun depan.

Sultan Mizan diputerakan pada 2 Januari 1962 dan menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman diikuti Sultan Menengah Sultan Sulaiman dan kemudian melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar School di Melbourne, Australia.

Pada 1981, baginda mengikuti kursus tentera selama tiga bulan di Kem Karah, Port Dickson dan kemudiannya kursus Pegawai Kadet, Pre SMC (E) di Army School of Languages dan menyambung kursus SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhurst, sehingga 9 Disember 1983.

Sultan Mizan menyambung pelajaran di US International University-Europe di London dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan hubungan antarabangsa pada 1988.Sepanjang kerjayanya, baginda pernah berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah, Pegawai Tadbir Tanah Daerah di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu dan Unit Perancangan Ekonomi negeri untuk menimba pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Baginda menamatkan zaman bujang apabila berkahwin dengan Permaisuri Nur Zahirah pada 28 Mac 1996 dan dikurniakan empat cahaya mata, Tengku Nadhirah Zahrah 10, Tengku Muhammad Ismail, 8, Tengku Muhammad Mua’az, 6 dan Tengku Fatimatuz Zahra’, 4.

Walaupun tinggal di dalam istana dengan dibantu oleh pegawai istana yang tidak kurang ramainya, pasangan diraja ini membesarkan putera dan puteri mereka dalam keadaan sederhana seperti kebanyakan keluarga lain.

Dalam satu temu bual pada 2002, Permaisuri Nur Zahirah berkata baginda akan memastikan dua anakandanya, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Muhammad Ismail bersiap untuk pembelajaran mereka di An Nur Child Development Centre di Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Penubuhan pusat pembelajaran itu diilhamkan baginda sendiri dengan harapan untuk meningkatkan mutu pembelajaran di peringkat taman bimbingan bagi kanak-kanak di negeri itu.

Baginda juga suka mengemas terutama bahagian dapur dan bilik terutama bilik anak-anaknya supaya kelihatan kemas dan menarik.

“Pada sebelah petang, saya menjalankan aktiviti rutin seperti ibu bapa lain menemani anakanda turun bermain dan beriadah dengan berjalan di kawasan istana,” titah baginda.

Apabila ada masa terluang, keluarga diraja itu akan keluar berkelah, dan destinasi yang sering dikunjungi adalah pantai di sekitar Kuala Terengganu.

2 comments:

ayukz said...

ensem.. <- my komen.. haha

Johari Zainal said...

Salam.Saudara. Boleh tak beri saya email DYMM Sultan Mizan. Dah lama saya cari ttp tak dapat. Ada hal sikit nak cakap dengan Tuanku. Urusan rakyat biasa yang perlu dibela... Kalau ada, tolong hantarkan ke szjohari@skmconsulting.comk.my & juga jzainal@yahoo.com.my

Terima Kasih