Soros tidak terlibat, kata Dr Mahathir
Dulu musuh, sekarang kawan..bagus lah tu..
Melayu mudah lupa.............15-12-2006 06:20:03 PM
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini seolah-olah sudah berdamai dengan musuh ketatnya selama hampir 10 tahun -- dermawan dan jutawan Amerika Syarikat, George Soros.
"Saya terima bahawa Soros tidak bertanggungjawab terhadap krisis kewangan di Asia pada 1997/98," kata Dr Mahathir dalam satu sidang media bersama Soros selepas mengadakan perjumpaan kira-kira 40 minit dengan ahli kewangan Amerika itu di sebuah hotel di sini.
"Soros kata dia tidak terlibat dengan penurunan nilai mata wang malaysia, yang terlibat adalah orang lain. Itu saya terimalah," katanya dalam bahasa Malaysia.
Soros kemudian bertanya kepada Dr Mahathir apakah soalan yang dikemukakan.
Dr Mahathir kemudian mengulangi jawapannya itu dalam bahasa Inggeris tetapi dengan versi yang sedikit berbeza.
"Dia (wartawan) tanya saya jika saya sudah menukar pendapat saya tentang anda sebab saya benci sesetengah perkara tentang anda, saya (pernah) tuduh anda bertanggungjawab menurunkan nilai mata wang kami.
"Apa yang saya beritahu adalah anda tidak terlibat tetapi penurunan nilai itu dilakukan oleh pedagang lain. Saya terima bahawa anda tidak terlibat. Ia bukan soal memaafkan atau apa-apa perkara seperti itu, cuma anda tidak melakukannya dan saya terima yang anda tidak buat perkara itu, itu saja." kata Dr Mahathir.
Beliau yang kelihatan sihat juga mengakui tanggapannya terhadap orang yang pernah digelarnya sebagai "penyangak mata wang" itu telah berubah, tetapi penentangannya terhadap kegiatan spekulasi mata wang kekal sama.
"Saya bimbang kegiatan ini boleh memusnahkan ekonomi di banyak negara-negara miskin.
Sebab itulah saya masih menentangnya. Saya tidak fikir ini adalah satu tindakan yang perlu hanya untuk membetul keadaan ekonomi sesebuah negara," tegasnya.
Mengenai pandangan kritikalnya tentang Soros yang suatu ketika pernah mengejeknya dengan mengatakan beliau adalah seseorang yang berbahaya kepada Malaysia dan perlu meletakkan jawatan, Dr Mahathir berkata ia diasaskan laporan akhbar kerana beliau sendiri belum pernah bertemu Soros sehingga hari ini.
Soros, yang tergagap-gagap ketika diajukan soalan oleh pemberita, berkata beliau dan Dr Mahathir tidak berbincang tentang isu-isu kewangan, tetapi lebih menumpukan isu global, khususnya berhubung dasar luar Amerika Syarikat di Iraq dan Palestin.
Beliau juga mengakui tindakan Dr Mahathir yang memperkenalkan tambatan ringgit adalah satu tindakan yang betul dan berjaya mengurangkan kesan negatif daripada kegiatan spekulator mata wang.
Mengenai krisis kewangan dahulu, Soros berkata: "Ia bukan salah spekulator, tetapi pihak berkuasa kerana pihak berkuasalah yang sepatutnya membuat keputusan tentang bagaimana pasaran harus berfungsi".
Sebagai seorang spekulator, katanya, beliau hanya bertindak mengikut batasan peraturan-peraturan yang ada ketika itu.
"Tetapi, memandangkan keadaan pasaran, saya percaya ada kalanya wajar dikenakan sedikit sekatan ke atas pergerakan modal," katanya.
Mengulas pengurusan mata wang Malaysia, beliau berkata kerajaan silap kerana mengekalkan tambatan pertukaran mata wang terlalu lama.
Dr Mahathir tiba di Hotel JW Marriott pada jam 11.00 pagi seperti dijadualkan dengan ditemani anak perempuannya, Datuk Paduka Marina.
Soros, yang berada di Malaysia untuk mempromosi buku terbarunya The Age of Fallibility, akan menyampaikan ucapan pada majlis makan malam ulang tahun ke-20 Persatuan Alumni London School of Economics Malaysia malam ini.
No comments:
Post a Comment